Perkongsian Alumni Bacelor Sains Dan Pengajian Makanan | Centre of Foundation Studies for Agricultural Science
» ALUMNI ASPER » Perkongsian Alumni Bacelor Sains dan Pengajian Makanan

Perkongsian Alumni Bacelor Sains dan Pengajian Makanan

Success Story of Tangan Berduit

“ Everything that you do, you do it GREAT, and full of PASSION, until it creates HISTORY, and you will be a LEGEND.”

Usaha Tangga Kejayaan

Bismillahirrahmanirrahim. Nama diberi Nor Eizzah Yusoff, atau orang panggil saya Tangan Berduit. Saya merupakan anak bongsu daripada lima orang adik beradik dan berasal dari Kelantan. Sehingga kisah ini ditulis, saya telah pun bergraduat pada tahun 2016 dan mempunyai 3 buah kedai di dalam UPM serta 9 orang pekerja.

Tujuan perkongsian saya kali ini tidak lain tidak bukan adalah untuk menginspirasikan pelajar bahawa kita boleh menjadi INSAN LUAR BIASA HEBAT tak kira latar belakang kita.

 

Saya bukannya lahir terus menjadi orang yang berjaya. Kejayaan adalah suatu proses yang panjang, umpama mendaki tangga dan perlahan-lahan, kita pasti akan sampai ke puncak.

Hidup saya ketika zaman persekolahan langsung tidak membanggakan. Saya bukan pelajar cemerlang, bukan juga seorang pengawas. Saya di sekolah dikenali sebagai pelajar yang sering melanggar peraturan dan bergaduh dengan cikgu. Sewaktu di sekolah menengah, saya sering merasakan saya tiada bakat. Tiada yang istimewa dalam diri saya.

Tetapi saya tahu, dalam diri saya, ada sikap BERANI dan BERSEMANGAT. Dan dua sifat inilah, yang mengubah kehidupan saya.

Sebaik habis SPM dan melangkah ke Asasi Sains Pertanian, apa yang terlintas di fikiran saya ialah, saya mesti belajar tinggi-tinggi, masuk ke IPTA, dapatkan pointer yang bagus, sekurang-kurangnya 3.5 ke atas, dapatkan kursus yang bagus, sama ada veterinar, Medic atau engineering dan seterusnya bekerja.

Tetapi saya tahu dalam hati saya ketika itu, saya mahu menjadi doktor hanya sekadar mahu membanggakan ibu ayah dan menunjuk-nunjuk dengan orang lain.

“ kerja apa?

“kerja doktor!” Nah! Pasti terselit perasaan bangga. Dan ketika saya gagal masuk ke fakulti perubatan kerana pointer saya hanya 3.3, saya tahu saya sedikit banyak telah mengecewakan hati ibu ayah saya yang mahukan saya menjadi doktor.

Ø  Saya percaya, jika kita melakukan sesutau mengikut minat kita dan buat dengan hebat, pasti kita akan berjaya.

 

 

(Perjalanan sebagai seorang Usahawan bermula)

Semasa saya di Asasi sem 2, saya didedahkan dengan dunia MLM. Di situ saya belajar apakah yang dimaksudkan dengan KEKAYAAN. Saya terpesona dengan kekayaan dan menyertainya. Kerugian dalam MLM sahaja telah mencecah 15 ribu. Habis duit simpanan saya. Ketika itu, dalam poket saya, mahu beli nasi lemak RM 1 pun saya terkulat-kulat mencari duit. Akhirnya saya sedar, MLM bukanlah perniagaan tetapi lebih kepada penipuan.

Maka saya pun melangkah ke degree, Bac. Sains (Pengajian Makanan) dalam keadaan saya tiada wang simpanan. Jiwa saya ketika itu, saya mahu buat bisnes supaya kehidupan saya selepas habis belajar stabil. Saya katakan pada diri saya, saya tidak mahu menganggur! Saya mahu mempunyai bisnes yang kukuh dan sudah ada pendapatan saya sendiri. Malah, saya target, simpanan ketika tamat belajar haruslah mencecah 50 ribu sebulan. Itulah target saya. Target itu saya simpan dalam hati. Ramai rakan rakan saya menyifatkan saya sebagai orang yang suka berangan. Apabila saya beritahu saya mahu ada kedai, mereka kata, “ Student mana boleh ada kedai, kita kena belajar”. Ketika tahun 1, saya telah pun menjalankan perniagaan kecil kecilan iaitu menjual jajan di bawah tangga blok kolej 13. Modal 30 sen, saya jual 50 sen, untung 20 sen saya simpan. Begitulah saya hari-hari. Jika ada 6 kotak di situ, semua kotak adalah kepunyaan saya. Sebelum pergi ke kuliah, saya akan pastikan stok makanan penuh dan habis sahaja kuliah pada waktu petang, saya akan mengira semua duit. Duit itu saya simpan secara konsisten dari tahun pertama degree hinggalah tamat pengajian.

Tips urus duit : Pecahkan duit kepada 3 bahagian iaitu upah diri, simpanan, dan duit modal. Simpan duit dalam bank yang susah untuk kita keluarkan misalnya Tabung haji. Paling penting, SIMPAN dan LUPAKAN.

Saya kuatkan hati saya, walaupun hari ini saya sekadar menjaja di bawah kaki lima, tapi suatu hari nanti saya pasti mempunyai kedai sendiri! Ketika itu, memang ramai yang bermula seperti saya, berniaga dalam kotak, tetapi beza mereka dengan saya ialah DREAM BIG. Mereka buat bisnes sekadar untuk hidup, sedangkan saya benar-benar buat bisnes sebagai sumber rezeki saya insyaAllah.

Kedai Pertama

Akhirnya, berbekalkan azam dan keberanian yang tinggi, saya menjadi pelajar pertama yang mengikat kontrak dengan UPM Holding. Kedai pertama saya adalah Asasi, FoodFIRE. Pasti ramai budak asasi yang tahu kerana pernah membeli di situ. Konsep saya sangat mudah, saya letak seorang pekerja dan tolong jualkan makanan yang dihasilkan oleh orang lain. Adik-adik pasti boleh lakukan perkara yang sama! Kedai yang berkayu itu memang banyak berjasa kepada saya! Kejayaan saya menjadi inspirasi kepada pelajar lain bahawa pelajar juga boleh berniaga dan mempunyai kedai meskipun terikat dengan banyak komitmen lain.

Kemudian, setiap tahun, saya akan menambah cawangan di setiap fakulti. Ada yang berjaya, dan ada yang gagal. Gagal tidak bermakna kita perlu putus asa, tetapi, adakalanya kita perlu berundur selangkah untuk maju dua tapak ke hadapan.

Antara Belajar dan Berniaga

Pernah saya mahu berhenti belajar kerana terlalu asyik dengan bisnes. Tetapi, penyarah saya beritahu saya, “ Eizzah, awak Cuma ada 4 tahun sahaja di UPM, habiskan pelajaran dengan cemerlang di samping buat bisnes!” Dan saya tekad, saya mahu menjadi inspirasi kepada anak bangsa saya bahawa walaupun sibuk berniaga, saya tetap berjaya menghabiskan pelajaran. Alhamdulillah saya berjaya.

Setiap malam sebelum tidur, saya akan membuat jadual untuk tugasan esok hari. Ada kolum perniagaan dan akademik. Misalnya, kolum akademik, apakah tugasan yang patut saya siapkan, lecturer mana yang saya patut pergi jumpa dan lain-lain.Untuk kolum perniagaan, apakah tugas-tugas yang saya belum selesaikan akan saya selesaikan secepat mungkin. Misalnya, menyerahkan duit kepada pembekal dan lain-lain.

Memendekkan percutian ke kampung

Sepanjang saya berada di universiti, jika cuti sem seminggu, saya hanya akan pulang ke rumah 3 hari. Baki selebihnya saya akan terlibat dengan banyak kursus-kursus dan aktiviti anjuran UPM. Pelajar masa kini lebih manja, Sabtu Ahad sudah menghilang. Alangkah baiknya masa itu digunakan untuk menambah baik diri sendiri.

Sabtu dan Ahad saya sering terisi dengan kelas perniagaan dan kelas masakan kerana saya minat memasak. Paling penting, jangan MALAS dan TIDUR sahaja di rumah. Para pelajar juga boleh bekerja secara part time untuk mengambil pengalaman bekerja.

Pesanan buat Mahasiswa

Untuk adik-adik yang masih belajar, fokus kepada pembelajaran. Tetapi fikirkan, bagaimana mahu mengaplikasikan pembelajaran itu kepada perniagaan. Jika pada hari ini anda adalah bakal pelajar jurusan veterinar, tanamkan azam bukan untuk pekerja selama-lamanya tetapi pasti mempunyai sebuah klinik haiwan sendiri.

Jika hari ini anda ialah pelajar Sains Komputer, ciptalah suatu alat atau software yang memudahkan urusan ramai orang.

Jika hari ini anda seorang arkitek, berazamlah untuk mempunyai syarikat dan mebina sebuah bangunan yang bercirikan Islam.

Seorang Mahasiswa harus bercita-cita besar untuk bangsa, Negara dan agamanya! Zaman sekaran zaman yang menuntut pembelaan ekonomi oleh bangsanya. Dan ia dimulakan dengan keazaman menjadi orang yang LUAR BIASA HEBAT!

Selamat berjuang dan bertemu kita sekali lagi di PUNCAK KEJAYAAN! InsyaAllah!

Updated:: 18/04/2017 [hasniah]

MEDIA SHARING

C1511278766