Jadilah ASPer 17 Yang Prihatin | PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » Jadilah ASPer 17 yang Prihatin

Jadilah ASPer 17 yang Prihatin

Suasana gelak ketawa, duduk semeja, bergegas beramai-ramai ke bilik kuliah dan berborak rancak sambil menunggu kehadiran bas UPM menjadi suatu yang kini diimpikan oleh para pelajar ASPer. Norma baharu yang sangat berbeza terpaksa dihadapi oleh para pelajar khususnya para pelajar ASPer 16 iaitu semenjak Malaysia dilanda pandemik Covid-19 pada Januari 2020 dan yang terkini terhadap para pelajar ASPer 17 yang baharu sahaja memulakan semester baharu Sesi 2021/2022.

Pendidikan di Malaysia telah bertukar corak daripada kaedah pengajaran dan pembelajaran bersifat konvensional kepada bercorak maya. Justeru itu, apakah yang perlu diprihatinkan oleh para pelajar ASPer 17?

Perkara utama adalah DIRI pelajar itu sendiri. Pelajar ASPer 17 perlu cepat mengadaptasikan diri dengan suasana pembelajaran di ASPer yang pantas dan padat iaitu perlu peka dengan maklumat kursus yang disampaikan terutama jadual kuliah, amali dan apakah bentuk penilaian kursus yang akan dilaksanakan.

Perjalanan pengajian di ASPer sangat berkait rapat dengan MASA. Pelajar ASPer 17 perlu arif menguruskan masa kendiri sepanjang tujuh hari dalam seminggu. Lima hari pengkuliahan merangkumi lapan jam yang penuh dengan aktiviti pembelajaran setiap hari, memerlukan pelajar ASPer 17 peka dengan jadual kuliah, amali dan tutorial. Suasana kini sangat berbeza, tiada rakan sebilik atau sekuliah yang dapat mengingatkan anda jika anda terlupa. 

Pembelajaran dalam talian memerlukan pelajar ASPer 17 mempunyai PERALATAN seperti komputer riba atau sekurang-kurangnya telefon pintar untuk memuat turun aplikasi tertentu seperti Google meet atau Zoom yang digunakan sebagai platform dalam pembelajaran secara maya. Namun, tidak semua aplikasi ini disokong oleh telefon pintar berbanding komputer riba. Justeru itu, kekangan ini harus difahami oleh pelajar dan pelajar perlu mendapat sokongan daripada pihak keluarga dan selain itu juga boleh menyuarakannya kepada pihak Pusat Asasi Sains Pertanian melalui Penasihat Akademik atau pengajar kursus masing-masing.

Meninjau PERSEKITARAN pembelajaran pelajar ASPer 17 yang kini tentunya banyak dihabiskan secara berhadapan dengan komputer riba atau sekadar telefon bimbit untuk mengikuti aktiviti pembelajaran. Namun, pelajar ASPer 17 perlu prihatin dengan suasana ini. Wujudkan satu lokasi pembelajaran dengan suasana yang kondusif iaitu dari segi faktor pencahayaan, pengudaraan dan ruang yang selesa. Persekitaran yang sihat akan mampu merangsang otak yang cerdas. Tatacara menghadapi kuliah maya juga seharusnya dipraktikkan iaitu contohnya membuka kamera jika diperlukan dan mempamerkan penampilan diri yang sebaiknya. Berinteraksi dengan pengajar apabila diminta agar suasana pembelajaran yang aktif diwujudkan.


Akhir sekali ASPer 17 harus juga prihatin dengan KESIHATAN MENTAL masing-masing. Beri ruang diri untuk rehat sebentar setelah satu tempoh pembelajaran yang padat. Lihat kehijauan tumbuh-tumbuhan, ambil sedikit kudapan, bangun daripada kedudukan anda dan berjalan sebentar, basuh muka, atau berbual sebentar dengan ahli keluarga akan dapat meringankan rasa tekanan setelah lama menghadap skrin komputer atau telefon bimbit.

Ambillah peluang anda selama setahun pengajian sebagai pelajar ASPer 17 ini untuk mengusahakan yang terbaik demi mencapai cita-cita anda dan harapan keluarga. Sentiasa peka dengan tindakan yang perlu dilaksanakan, memotivasikan diri anda, jaga kesihatan, dapatkan sokongan keluarga dan rakan-rakan serta jangan putus berdoa dan berusaha. Ingatlah, JADILAH ASPER 17 YANG PRIHATIN.

Gambar 1. Pembelajaran secara maya sebagai norma baharu dalam situasi pandemik Covid-19. 

 

Gambar 2. Suasana kondusif untuk menyokong proses pembelajaran secara maya yang lebih efektif.


Gambar 3. Rehatkan minda seketika di antara tempoh kuliah. Sediakan secawan air untuk diminum agar dapat menyegarkan tubuh badan dan kembali bertenaga.  

Disediakan Oleh:

Prof. Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah 

Pengarah, Pusat Asasi Sains Pertanian, UPM

Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan 2021 Bertemakan "Malaysia Prihatin"

10 Ogos 2021

 

Tarikh Input: 10/08/2021 | Kemaskini: 12/08/2021 | emma

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
SXETLAE~