KAMILAH PENYAMBUNG WARISAN | PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » KAMILAH PENYAMBUNG WARISAN

KAMILAH PENYAMBUNG WARISAN

Ku ingin kotakan seribu janji
Sepanjang kedewasaan ini
Ku ingin sampaikan pesanan
Akulah penyambung warisan
(Warisan, Sudirman)
 
Bait-bait indah dan lenggok melodi yang menyentuh jiwa dari lagu Allahyarham Sudirman Haji Arshad pasti memberikan kesan yang mendalam kepada sesiapa yang mendengar. Bukan sekadar nyanyian biasa, tetapi penuh jiwa bagi menunjukkan betapa perlunya rasa cintakan tanahair itu ada dalam jiwa setiap anak Malaysia. Selari dengan tema Hari Kebangsaan bagi tahun 2018, "Sayangi Malaysiaku' jelas menunjukkan tidak kira siapa kita walau berlainan bangsa, agama, latar belakang pendidikan berbeza, mahupun berbeza fahaman dan budaya kita tetap dalam satu kelompok yang sama iaitu kita anak Malaysia.
 
Kemerdekaan 61 tahun ini merupakan milik kita bersama dan merupakan satu bentuk kebebasan yang diwariskan kepada kita atas susah payah dan pengorbanan nenek dan moyang kita satu ketika dulu. Angka 61 tahun yang telah melewati hampir separuh abad ini bukan satu tempoh yang singkat dan boleh dikira sebagai satu tempoh yang cukup matang. Oleh kerana itu, sambutan kemerdekaan ini wajar dihayati oleh setiap lapisan masyarakat untuk memperingati bagaimana tanah air kita satu ketika dulu menghadapi fasa kritikal untuk mencapai kemerdekaan.
 
Bulan Ogos merupakan bulan yang istimewa kepada seluruh rakyat Malaysia dan atas rasa cinta dan sayangkan tanah air. Pusat Asasi Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia telah menyusuri Sambutan Minggu Kemerdekaan ke-61 yang bermula pada 27 Ogos sehingga 30 Ogos 2018 yang diisi dengan pelbagai pertandingan dan aktiviti yang menyuntik elemen patriotik dan sentimen cintakan negara seperti deklamasi sajak, nyanyian lagu patriotik serta pakaian tema kemerdekaan.
 
Penyertaan dari pelajar Program Asasi Sains Pertanian sesi 2018/2019 jelas menunjukan betapa jiwa patriotik ada dalam jiwa anak muda kita hari ini. Jika dihitung, mereka ini merupakan generasi yang lahir pada era 20an namun kita tidak menghalang untuk mereka sama-sama menyanyikan lagu-lagu patriotik yang mula didendang di kaca televisyen pada era zaman 90an lagi. Pilihan lagu-lagu seperti Sejahtera Malaysia, Bahtera Merdeka, Warisan dan Jalur Gemilang didendangkan dengan penuh semangat selain diselang-selikan dengan lagu-lagu patriotik dengan genre yang lebih segar seperti Negaraku, Gemilang dan lagu tema hari kemerdekaan ke-61 iaitu Sayangi Malaysiaku.
 
Pelbagai gaya diolah dengan penuh kreatif bagi memastikan setiap penyertaan ini mampu menarik hati juri yang menilai. Tempat pertama dimenangi oleh pelajar dari kuliah 1 dengan persembahan yang sangat menarik sewaktu menyampaikan lagu berjudul Jalur Gemilang. Aksi dan gaya spontan berjaya mencuri hati juri dan menjasikan mereka sebagai juara. Manakala kumpulan kuliah 17 berjaya merebut Anugerah Gubahan Lagu menerusi persembahan nyanyian lagu-lagu patriotik secara madley.
 
Pertandingan deklamasi sajak tidak terkecuali hebatnya. Terasa madah-madah sajak yang diutarakan menusuk sehingga ke sanubari. Usia bukan penghalang buat mereka walau jika dinilai usia masih setahun jagung dengan usia sajak yang dideklamasikan. Ada juga di antara peserta memilih mendeklamasikan sajak olahan mereka sendiri. Bagi pertandingan sajak ini, tempat pertama telah dirangkul oleh gabungan bersama Nur Syahira binti Zaid dan Muhammad Jufri Firdaus bin Mahathir. Manakala bagi tempat kedua dimenangi oleh Anna Maisarah binti Mohamad Ariff, Syarifah Balqis binti Syed Ali dan Nur Ain binti Abd. Rahim menerusi penyampaian sajak secara berkumpulan.

Bagi pertandingan tema kemerdekaan iaitu acara paling dinanti oleh Warga Asasi Sains Pertanian dengan 35 penyertaan pelbagai pakaian yang diperagakan bercirikan kemerdekaan, keharmonian serta keunikan Malaysia itu sendiri. Pakaian tradisional dari keunikan bangsa yang ada di Malaysia diperagakan selain pakaian tema kemerdekaan atas kreativiti pelajar sendiri.

Salah seorang peserta Nur Raimi binti Ab Razak telah menjahit sendiri busana yang ingin diperagakan dengan mengambil elemen warna-warna dari Jalur Gemilang dan inisiatif ini membuahkan kejayaan apabila beliau dan sahabatnya Shaanaav Danial Shenbagan telah dinobatkan sebagai juara bagi Pertandingan Pakaian Tema Kemerdekaan ini. Manakala bagi tempat kedua disandang oleh Ng Yu En, Nursyafiqah binti Said dan Reena Raj a/p C Rajaram dan tempat ketiga gabungan berdua oleh Nur Hidayah binti Ahmad Hapez dan Muhammad Haziq bin Rajak. Yang lebih menarik, sepanjang hari pada tanggal 30 Ogos 2018, setiapwarga Asasi UPM tidak kira staf atau pelajar digalakan memakai pakaian dengan tema warna kemerdekaa dari Jalur Gemilang.

Pengarah Pusat Asasi Sains Pertanian, Prof. Dr. Norihan Md. Arifin menyatakan program seperti ini merupakan julung kali diadakan dan ternyata sambutan dari pelajar sangat menggalakan. Program seperti ini bukan sahaja menyuntik semangat patriotik di kalangan peserta tetapi turut menjadi medan mencungkil bakat-bakat muda di kalangan pelajar Program Asasi Sains Pertanian. Bahang semangat menyambut hari kemerdekaan jelas terasa oleh warga Asasi dan ternyata mesej yang disampaikan dapat dihayati bersama. Diharap program seperti ini dapat dijadikan program tahunan dengan skala penganjuran yang lebih besar.

Minggu Sambutan Hari Kemerdekaan ke-61, Pusat Asasi Sains Pertanian berakhir dengan Aktiviti Kayuhan Kemerdekaan yang turut disertai oleh YBhg. Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Roslan Sulaiman. Kayuhan kemerdekaan ini selain merupakan satu gaya hidup sihat dengan berbasikal di sekitar kampus ianya juga bagi menyuntik semangat patriotik di kalangan seluruh warga kampus yang sama-sama melambai dan menyaksikan kontijen ini berbasikal. Kayuhan bermula dari Bangunan Pusat Asasi Sains Pertanian dengan penglibatan hampir 30 orang staf, pelajar dan alumni yang berpakaian mengikut pilihan dari warna bendera Malaysia serta diletakan bendera kecil sama ada di helmet atau pun di basikal masing-masing. Kibaran bendera ini mengimarahkan lagi semangat patriotik selain laungan Merdeka di setiap lokasi berhenti kontijen berbasikal ini.

Rata-rata staf yang menyertai kayuahan ini menzahirkan rasa agar kayuhan kemerdekaan seperti ini wajar diteruskan lagi pada masa akan datang. Jika kita tidak mampu menjunjung senjata menjadi banteng kepada negara tetapi zahirkan dengan semangat dan rasa cintakan negara menerusi kibaran bendera dan sama-sama menghayati laungan keramat dan erti kemerdekaan itu. Kami adalah penyambung warisan.

 

Tarikh Input: 25/09/2018 | Kemaskini: 20/11/2019 | hasniah

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
SXDcUAS~