WEBINAR ALAM HAIWAN | PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » WEBINAR ALAM HAIWAN

WEBINAR ALAM HAIWAN

Biodiversiti merupakan salah satu komponen yang diajar dalam subjek Biologi Semester 1 Asasi Sains Pertanian (ASPer). Ia meliputi lima topik yang menekankan tentang kepelbagaian organisma hidup seperti bakteria, arkea, protis, kulat, tumbuhan dan juga haiwan. Topik-topik ini menerangkan tentang bagaimana organisma hidup dikategorikan dalam pelbagai kumpulan berdasarkan sifat dan hubungkait evolusi mereka. Dari generasi ke generasi, organisma hidup mengalami proses adaptasi dan evolusi yang telah memberikan sifat-sifat unik yang membezakan satu organisma dengan organisma yang lain. Organisma hidup ini juga berinteraksi dengan satu sama lain dalam pelbagai ekosistem.

Dengan mempelajari biodiversiti, kita dapat memahami bagaimana organisma hidup saling memerlukan di antara satu sama lain. Malahan, menurut satu kajian oleh Naeem et al. (2016), menjaga dan memulihara biodiversiti dapat meningkat kesejahteraan hidup manusia dari sudut jaminan kesihatan, kekayaan, dan juga keselamatan.

Pengetahuan mengenai biodiversiti dan juga habitatnya dapat meningkat tahap kesedaran tentang pentingnya menjaga biodiversiti ciptaan Tuhan ini. Oleh yang demikian, Unit Biologi ASPer telah menganjurkan amali dalam talian menerusi dua siri webinar yang dijalankan serentak pada 24 November 2021 yang berkisarkan tentang alam haiwan. Antara matlamat utama webinar ini adalah untuk menjadi satu medium pemindahan ilmu pengetahuan dan pengalaman daripada agensi luar kepada pelajar dan staf UPM serta komuniti luar. Webinar yang menggunakan platform Webex ini berlangsung selama satu jam setengah dan telah mendapat penyertaan seramai lebih 700 orang pelajar, staf dan juga komuniti luar.

Webinar pertama yang bertajuk Up-Close with Zoo Verterbrates telah disampaikan oleh Dr. Muhamad Ridhwan Affendi, seorang pegawai veterinar yang bertugas di Zoo Taiping, yang juga merupakan seorang alumni UPM dalam bidang perubatan veterinar. Sepanjang webinar berlangsung, beliau berkongsi maklumat mengenai konservasi dan juga kepelbagaian biologi, terutamanya haiwan vertebrat. Beliau juga menceritakan serba sedikit mengenai asal usul zoo dan bagaimana ia berubah dari tempat yang bersifat pameran semata-mata kepada pusat kajian dan konservasi haiwan liar.

Webinar 1: Up-Close with Zoo Verterbrates

Beliau juga menerangkan secara lanjut tentang haiwan-haiwan yang terlibat dengan program konservasi di Zoo Taiping seperti, harimau Malaya, burung Enggang Badak, kambing gurun dan lain-lain lagi. Panel pakar ini turut menceritakan pengalaman berharga beliau semasa menjalankan pelbagai aktiviti konservasi di Zoo Taiping. Sesi penyampaian ilmu ini juga diakhiri dengan sesi soal jawab dari pelajar-pelajar ASPer yang untuk terlibat dalam bidang veterinar dan perlindungan haiwan.

Penerangan mengenai Harimau belang, Panthera tigris

 

Penerangan mengenai burung enggang badak, Buceros rhinoceros

 

Sesi perkongsian pengalaman menangkap hidupan liar oleh Dr. Muhamad Ridhwan Affendi, pegawai veterinar.

Webinar kedua pula bertajuk Exploring Invertebrates of Batu Caves yang disampaikan oleh seorang panel pakar kajian gua (speleologi) iaitu Encik Zarris Kem Hymeir daripada IUCN Scorpion Spider Specialist Group dan Malaysia Cave and Karst. Beliau berpengetahuan luas tentang kajian haiwan invertebrata yang ada di dalam gua di Malaysia khususnya Gua Batu Caves.

 

Perkongsian ilmu dan pengalaman tentang ekologi dan biologi invertebrata unik yang berada di dalam gua telah disampaikan dengan begitu menarik. Pelbagai spesies unik invertebrat yang hidup di dalam gua seperti labah-labah, kala jengking, lipan, ulat gonggok dan pelbagai jenis invertebrata kecil lain yang tidak dapat dijumpai di habitat lain. Selain itu, terdapat ilmu berkaitan pembentukan formasi gua yang berlaku sejak jutaan tahun yang lalu turut diulas oleh beliau. Beliau menerangkan setiap gua mempunyai mikroiklimnya yang tersendiri yang mampu menampung pelbagai jenis hidupan gua. Ilmu mengenai gua ini adalah satu cabang yang sangat menarik yang jarang dapat diketahui walaupun melalui pembacaan. Sesi perkongsian ini juga telah ditutup dengan maklum balas dan pertanyaan daripada pelajar-pelajar ASPer yang begitu teruja dan seronok dengan perkongsian panel pakar

 

Panel menerangkan pelbagai hidupan boleh ditemui di dalam ekosistem gua.

Troglobite ialah spesies haiwan, atau populasi spesies yang terikat dengan habitat bawah tanah, seperti gua.

Ciri-ciri mikroklimat gua yang diterangkan oleh Encik Zarris Kem Hymeir, ahli speleologi.

Sesi soal jawab yang berlangsung di dalam sesi perkongsian ini.

 

Sesi bergambar bersama peserta dan penceramah.

Sesi bergambar bersama peserta webinar.

Berdasarkan maklum balas dari para peserta, program webinar ini berjaya menambah ilmu pengetahuan tentang pelbagai jenis haiwan vertebrata dan invertebrata yang terdapat di Malaysia. Webinar ini juga meningkatkan kesedaran tentang haiwan, habitat dan peranan penting yang dimainkan oleh haiwan tersebut dalam alam sekitar. Para peserta juga memberikan maklum balas yang positif dan berharap program seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang. Antara impak lain di sebalik program ini adalah komuniti mula terdedah dengan kepentingan memelihara kesejahteraan biodiversiti.  Ini memberi gambaran bahawa program ini berjaya menjadi landasan kepada pemindahan dan perkongsian ilmu daripada pakar panel dari pelbagai agensi. Selain itu, program ini juga diharapkan dapat menjadi penyambung kepada kerjasama komuniti luar dengan pihak UPM dan NGO pada masa akan datang. Unit Biologi ASPer juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program webinar ini.

 

Laporan oleh,

Muhammad Amiruddin bin Ibrahim, Unit Biologi ASPer

Editor: Prof. Madya Dr. Marina Mohd Top @ Mohd Tah & Dr. Nadiatul Hafiza Hassan

21 Disember 2021

 

Rujukan:
Naeem, S., Chazdon, R., Duffy, J. E., Prager, C., & Worm, B. (2016). Biodiversity and human well-being: an essential link for sustainable development. Proceedings. Biological sciences, 283(1844).

 

Tarikh Input: 24/12/2021 | Kemaskini: 24/12/2021 | hasniah

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
SXDdTAp~