Perkongsian Alumni Bac. Sains Pertanian | PUSAT ASASI SAINS PERTANIAN
» ALUMNI ASPER » Perkongsian Alumni Bac. Sains Pertanian

Perkongsian Alumni Bac. Sains Pertanian

Ermelia Rohayu Binti Ramlan
ASPer Sesi 2009/2010
 
Sejujurnya, membesar di kota metropolitan Kuala Lumpur sedikit sebanyak membataskan pengetahuan saya tentang bidang pertanian. Namun semuanya berubah apabila saya menerima tawaran kemasukan ke Program Asasi Sains Pertanian bagi sesi 2009/2010 dan bergelar sebagai Pelajar ASPer.
 
Minat saya terhadap bidang pertanian mula tersemai dan bercambah setelah melalui aktiviti-aktiviti amali ladang dan setelah mendegar taklimat ringkas berkaitan kursus-kursus yang ditawarkan di Faklulti Pertanian yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Syed Omar Syed Rastan dan akhirnya saya telah menjadikan Bacelor Sains Pertanian sebagai pilihan pertama saya untuk menyambung pengajian ke peringkat seterusnya. Bidang pertanian merupakan bidang yang amat luas dan sentiasa diperlukan. "Agriculturist feed the world", adalah di antara kata-kata yang dapat mengambarkan betapa pentingnya bidang ini kerana pertanian merupakan sumber makanan dan fabric dunia kepada setiap manusia. Selain itu, UPM sememangnya dikenali dengan bidang pertanian sebagai bidang pengajian utama semenjak asal penubuhnannya.
 
 
Setiap hari memberi pengalaman baru yang amat berharga buat saya. Peluang untuk menuntut ilmu berkaitan aspek pertanian seperti tumbuhan, tanah serta organisma lain membuatkan saya lebih bersyukur terhadap ciptaan-Nya. Alhamdulillah, saya bertuah kerana dapat menuntut ilmu daripada pakar-pakar pertanian di Malaysia sepanjang pengajian saya di UPM.
 
Selain itu, saya juga berpeluang ke luar negara atas tiket program pertukaran pelajar sebanyak dua kali dan saya juga berpeluang untuk melaksanakan latihan industri saya di luar negara. Pada tahun kedua pengajian, saya telah ke negara matahari terbit, Jepun sebagai peserta Program Latihan Sains Lapangan Antarabangsa 2012 (IFST 2012) yang dianjurkan oleh University Kochi dan berlangsung selama dua minggu. Tidak lama selepas itu, saya mendapat peluang ke dua ke Jepun di mana saya telah berpeluang untuk melawat ke Universiti Kochi dan Universiti Hiroshima. Pengalaman yang diperolehi ketika melawat negara maju ini sememangnya memberikan pengajaran yang amat bermakna, kerana Jepun pernah menghadapi kejatuhan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom oleh bom atom yang meninggalkan kesan yang amat besar semasa Perang Dunia Kedua.
 
Penjelajahan saya untuk mencari ilmu di negara seberang tidak terhenti di sana. Saya telah menjalankan keperluan latihan industri saya di Belgium selama tiga bulan pada semester terakhir pengajian. Saya dan rakan-rakan telah menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk mempelajari sebanyak mungkin ilmu di sana. Kami berpeluang untuk mempelajari teknik pengurusan ladang organik dengan menggunakan kaedah permakultur untuk mewujudkan sistem pertanian yang mampan dan produktif. Bak kata pepatah " kita tidak mewarisi bumi kita  ini daripada nenek moyang kita, tetapi sebaliknya kita hanya mampu meminjamnya daripada anak cucu kita ,". Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mengekalkan ekosistem alam bagi kegunaan generasi akan datang.
 
Sejak tahun pertama saya di UPM, saya mula mencari- cari aktiviti yang boleh dilakukan di universiti. Kelab Kepimpinan Putra (KEPUTRA) ialah kelab pertama yang telah saya ceburi sejak saya bergelar pelajar Asasi Sains Pertanian lagi. Menerusi kelab ini saya berpeluang menjadifasilitator dalam beberapa program yang telah diadakan di beberapa sekolah menengah di Pahang dan Kedah.
 
Selain itu, saya juga bergiat aktif di peringkat fakulti di mana saya telah dilantik sebagai Setiausaha Persatuan ASASI. Menerusi persatuan ini, pelbagai aktiviti melibatkan pelajar - pelajar Pusat Asasi Sains Pertanian dapat dijalankan dengan lebih teratur dan efisien seperti Majlis Apresiasi ASPer dan Hari Sukan ASPer.
 
Hujung minggu saya tidaklah sekadar duduk di bilik sahaja. Saya tidak melepaskan peluang untuk bergiat aktif di peringkat kolej kediaman iaitu Kolej Tiga Belas. Setelah menyertai Kem Kepimpinan Mahasiswa ke-5 pada tahun 2009, saya telah dilantik sebagai Pengerusi 3 Skretariat & Komunikasi Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Tiga Belas bagi sesi 2010/2011. Alhamdulillah berkat kerjasama yang diberikan oleh setiap ahli MTM, pelbagai aktiviti telah berjaya kami anjurkan. Saya telah dilantik sebagai Pengerusi 2 Sekretariat Akademik Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej 13 Sesi 2011/2012 dan seterusnya sebagai Presiden Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Tiga Belas Sesi 2012/2013.
 
Sesungguhnya pelbagai kejayaan mahupun kegagalan telah saya lalui bersama ahli Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Tiga Belas sepanjang 3 sesi dan hubungan kami amat rapat kerana merekalah keluarga saya di UPM. Antara kejayaan kami ialah berjaya menganjurkan Program Transformasi Pendidikan Lanjutan Jepun sebanyak 3 sesi dan menjadikan Felda Mengkuang, di Triang, Pahang sebagai Felda Angkat bagi Kolej Tiga Belas. Kami juga berjaya membawa pasukan kolej Tiga Belas menjuarai pelbagai pertandingan kebudayaan dan juga sukan di peringkat interkolej.
 
Saya juga telah mengambil bahagian sebagai ahli jawatan kuasa bahagian akademik program "33rd International Agricultural Student Symposium (IASS)" dan 4th International Agricultural Student Symposium (IASS)" yang telah dianjurkan oleh Fakulti Pertanian, UPM. Pengalaman ini amat membuka mata saya terhadap bidang pertanian di luar negara melalui pembentangan -pembentangan yang diberikan oleh peserta-peserta antarabangsa.
 
Menyedari pentingnya setiap kuliah, saya sentiasa memastikan agar sata sentiasa bersedia dan hadir ke setiap kelas mengikut jadual. Saya yakin penerangan yang diberikan oleh pensyarah-pensyarah ketika kuliah berlangsung amat membantu dalam memahami perkara yang sedang dipelajari dan secara tidak langsung kita menerima keberkatan menuntut ilmu.
Bergiat aktif dalam aktiviti-aktiviti di kampus telah mengajar saya untuk merancang waktu saya agar dapat menyiapkan tugasan-tugasan yang diberikan oleh para pensyarah mengikut masa yang ditetapkan disamping menyiapkan tugasan-tugasan berkaitan aktiviti kokurikulum. Bagi saya, kita harus berasa seronok dalam setiap perkara yang kita lakukan kerana ia dapat mengurangkan tekanan dan membantu kita untuk fokus dan komited dalam setiap perkara.
 
Kita juga harus rajin bertanya sekiranya terdapat perkara-perkara yang tidak difahami ketika kuliah. Jangan malu mencari ilmu kerana ia amat merugikan. Selain itu, kita boleh belajar secara berkumpulan dan ini merupakan salah satu kaedah yang sering saya gunakan sejak di bangku sekolah lagi. Melalui kaedah ini, kita dapat menguatkan lagi pemahaman tentang sesuatu perkara melalui perbincangan dan perkongsian.
 
Tambahan lagi, kita harus melakukan sesuatu perkara dengan sepenuh hati dan lakukan yang terbaik setiap masa agar tidak wujud sebarang sesakan di kemudian hari " Do the best with no regrets".Jangan perna putus asa sekiranya menemui kegagalan kerana ia merupakan pengalaman yang berharga dan menjadi pelajaran kepada kita untuk tidak mengulanginya pada masa hadapan. Inilah kata-kata yang menjadi pegangan saya sehingga kini.
 
Selain itu, jangan lupa untuk sentiasa menghubungi ibu bapa untuk bertanya khabar mahupun berkongsi rasa bersama mereka. Hampir setiap malam saya dan ibubapa saya akan berhubung walaupun sebentar. Menjadi amalan buat saya untuk memaklumkan kepada ibu bapa saya setiap aktiviti yang saya lakukan dan meminta restu dan doa dari mereka setiap kali ujian serta peperiksaan. Saya percaya doa mereka yang akan mengiringi saya sentiasa.
 
Alhamdulillah, sesungguhnya saya amat bersyukur dengan anugerah-anugerah yang telah diberikan kepada saya. Sejujurnya, saya tergamam apabila saya dimaklumkan mengenai kemenangan ini apatah lagi memenangi 4 anugerah utama Majlis Konvokesyen ke-39. Pada mulanya, ibu bapa saya juga sukar untuk mempercayai berita kemenangan saya tetapi alhamdulillah, saat itu merupakan saat yang paling bermakna buat saya apabila dapat mengembirakan insan-insan disekeliling saya terutamanya kedua ibubapa saya, ahli keluarga dan rakan-rakan. Sesungguhnya kemenangan ini adalah berkat doa, bimbingan serta tunjuk ajar mereka selama ini.
 
 
Sebaik sahaja saya menamatkan pengajian, saya telah menerima beberapa tawaran kerja sebelum majlis Konvokesyenberlangsung. Pelbagai pekerjaan yang telah saya lakukan termasuklah menjadi setiausaha, pembantu penyelidik dan penolong pengurus restoran. Bagi saya, tidak salah untuk bekerja di bidang yang berbeza dengan kelayakan yang diperolehi kerana graduan seharusnya berfikiran terbuka dan tidak terlalu selektif dalam memilih kerjaya. Ilmu adalah luas. Pada masa kini majikan mencari seseorang yang berpengetahuan luas dalam pelbagai perkara berbanding seseorang yang hanya berpengetahuan dalam satu bidang sahaja. Mereka mahu seseorang yang serba boleh dengan keupayaan untuk menganalisis maklumat, memprosesnya dan memberikannya kembali dalam bentuk yang berbeza.
 
Alhamdulillah, saya bersyukur kerana saya telah menerima tawaran untuk berkhidmat di alma mater saya, Universiti Putra Malaysia sebagai salah seorang tenaga pengajar bidang Pertanian, di Pusat Asasi Pertanian (PASP) sejak Mac 2016. Sesungguhnya, saya amat bersyukur kerana telah diberikan peluang untuk membantu dalam membimbing generasi yang akan menjadi pemimpin-pemimpin negara pada masa akan datang. Sejak hari pertama bertugas sebagai pensyarah, pengajaran telah menjadi minat saya sepenuhnya. Ia berasas daripada kepuasan diri yang saya perolehi  apabila dapat membantu orang ramai terutamanya pelajar.
 
Akhir kata, saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan jutaan penghargaan kepada Universiti Putra Malaysia, Fakulti Pertanian, Pusat Asasi Sains Pertanian dan penaja pengajian saya atas dorongan dan tunjuk ajar sepanjang pengajian saya di UPM. Hati saya akan sentiasa bersama alma mater tercinta dan berbekalkan ilmu yang telah saya perolehi, saya bersedia untuk berkhidmat untuk anak bangsa.
 
Ermelia Rohayu Binti Ramlan
Kepujian Kelas Pertama
Alumni UPM Tahun 2015
Alumni ASPer Tahun 2009/2010
 
Pemenang :
  • Pingat Emas Canselor, 2015
  • Pingat Emas Pelajaran Diraja (Bumiputera), 2015
  • Pingat Emas Alumni, 2015
  • Pingat Emas Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Rashdan Baba 2015
  • Pingat Emas Institut Pertanian Malaysia, 2015
  • Anugerah EC Sham Biotech Excellence, 2015
  • Anugerah Gemilang Putra Akademik (MGP'14), 2014
  • Anugerah Gemilang Putra Akademik (MGP'13), 2013
  • Anugerah Khas Putra (MGP'12), 2012
 

Kemaskini:: 30/11/2018 [hasniah]

PERKONGSIAN MEDIA

B1566594562