SUDUT BACAAN ASPUTRA: MENGHIDUPKAN BUDAYA MEMBACA MELALUI KREATIVITI, INOVASI DAN KELESTARIAN | PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA asasi
» BERITA » SUDUT BACAAN ASPUTRA: MENGHIDUPKAN BUDAYA MEMBACA MELALUI KREATIVITI, INOVASI DAN KELESTARIAN

SUDUT BACAAN ASPUTRA: MENGHIDUPKAN BUDAYA MEMBACA MELALUI KREATIVITI, INOVASI DAN KELESTARIAN

SERDANG, 30 Julai 2026 , Sudut Bacaan ASPutra terus diperkasakan sebagai ruang pembudayaan ilmu yang kreatif, interaktif dan lestari menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh warga Pusat Asasi Sains Universiti Putra Malaysia (ASPutra). Usaha tersebut telah diketengahkan menerusi Program Penjurian Sudut Bacaan ASPutra yang berlangsung pada 30 Julai 2026 di Sudut Bacaan ASPutra, ASASI 1. Program ini bertujuan menilai kreativiti, inovasi serta keberkesanan pelaksanaan Sudut Bacaan ASPutra dalam menggalakkan budaya membaca dan pembelajaran dalam kalangan warga pusat.

Sesi penjurian telah dikendalikan oleh Puan Samsida Samsudin, Ketua Seksyen/Pustakawan, dan Puan Erni Suraya Abdul Aziz, Pustakawan. Dalam sesi tersebut, Puan Rahiza Abu Hanipah selaku Penasihat Sudut Bacaan ASPutra, telah membuat pembentangan berkaitan konsep, pelaksanaan dan inisiatif yang telah dijalankan bagi menghidupkan Sudut Bacaan ASPutra. Puan Noor Liana binti Sulaiman selaku Pengerusi Sudut Bacaan ASPutra turut hadir memberikan sokongan terhadap pelaksanaan dan pembangunan Sudut Bacaan ASPutra.

 

 

Gambar 1: Poster Penjurian Sudut Bacaan

 

Gambar 2: Pn. Rahiza sedang membentangkan kriteria penjurian kepada dua orang juri

BEDAH BUKU

Antara inisiatif utama yang diketengahkan ialah program “Bedah Buku @ Reading Chamber ASPutra” yang dilaksanakan secara berkala. Program ini menyediakan platform kepada warga ASPutra dan pelajar untuk berkongsi buku pilihan serta menyampaikan pandangan, ilmu dan pengajaran yang diperoleh daripada bahan bacaan. Pendekatan ini menjadikan sudut bacaan bukan sekadar tempat untuk membaca, tetapi turut berfungsi sebagai ruang perkongsian ilmu dan interaksi antara warga ASPutra.

 

Gambar 3: Tiga poster siri Bedah Buku yang telah dijalankan.

Antara siri Bedah Buku yang telah dilaksanakan termasuk perkongsian buku “Kekuatan Kepimpinan” oleh Dr. Jamali Janib, Penolong Pendaftar Kanan ASPutra, “Trust Me, I’m a (Junior) Doctor” oleh David Kee, pelajar ASPutra, serta “Masa Peliharalah” yang disampaikan oleh Puan Noor Ashira Binti Yusran, Pengajar Unit Pertanian.

Pelaksanaan aktiviti secara bersiri ini memperlihatkan komitmen ASPutra dalam memastikan Sudut Bacaan terus dimanfaatkan secara aktif dan menjadi sebahagian daripada ekosistem pembelajaran warga ASPutra.

NOTABA

Dari aspek kreativiti dan inovasi pula, ASPutra mengetengahkan NOTABA, singkatan kepada “Nota Bamboo”, sebagai salah satu elemen unik dalam pengurusan dan hiasan Sudut Bacaan. Inovasi ini menggunakan buluh serta tali terpakai sebagai bahan utama. Penggunaan sumber semula jadi dan bahan yang boleh diguna semula bukan sahaja membantu menjimatkan kos, malah menghasilkan dekorasi yang ringkas, kemas dan mempunyai identiti tersendiri.

Penghasilan NOTABA turut mencerminkan penerapan elemen kelestarian dan amalan guna semula dalam pembangunan Sudut Bacaan ASPutra. Pendekatan ini membuktikan bahawa kreativiti tidak semestinya memerlukan kos yang tinggi, sebaliknya bahan yang mudah diperoleh dan terpakai juga boleh ditransformasikan menjadi sesuatu yang mempunyai nilai dan fungsi.

 

Gambar 4: Sudut NOTABA yang dihasilkan menggunakan buluh

 

PENILAIAN BERTERASKAN LIMA KRITERIA UTAMA

Penjurian Sudut Bacaan ASPutra dilaksanakan berdasarkan lima kriteria utama, iaitu Aktiviti (45 markah), Kreativiti dan Inovasi (30 markah), Promosi (10 markah), Impak Pelaksanaan (10 markah) serta Kolaborasi Luar UPM (5 markah).

Gabungan aktiviti pembudayaan membaca, inovasi berasaskan bahan terpakai serta penglibatan warga menunjukkan usaha ASPutra dalam membangunkan sebuah ruang bacaan yang bukan sahaja menarik dari aspek fizikal, tetapi turut mempunyai fungsi pendidikan, sosial dan kelestarian. Inisiatif ini selaras dengan usaha ASPutra untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif, kreatif dan bermakna, di samping memupuk budaya membaca serta pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan warga pusat.

Berteraskan tema “READ, EXPLORE, EXCEL”, Sudut Bacaan ASPutra diharapkan terus menjadi ruang yang menggalakkan warga ASPutra untuk membaca, meneroka ilmu baharu, berkongsi pengetahuan dan mencapai kecemerlangan. Usaha ini juga membuktikan bahawa sebuah sudut bacaan mampu menjadi lebih bermakna apabila digerakkan melalui aktiviti yang konsisten, kreativiti yang berterusan dan inovasi yang mengambil kira aspek kelestarian.

 

Gambar 5: Juri bergambar kenangan bersama Timbalan Pengarah 1 ASPutra dan ahli jawatankuasa Sudut Bacaan

Diharapkan Sudut Bacaan ASPutra yang telah dibangunkan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh warga ASPutra sebagai ruang untuk membaca, berkongsi ilmu dan meneroka pengetahuan baharu. Selaras dengan aspirasi tersebut, Jawatankuasa Sudut Bacaan ASPutra akan terus merancang pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat bagi memastikan ruang ini terus hidup dan relevan sebagai sebahagian daripada ekosistem pembelajaran di ASPutra.

 

Disediakan oleh,

Wan Nur Atikah Wan Mohd Adnan
JK Sudut Bacaan ASPutra

Tarikh Input: 11/08/2026 | Kemaskini: 11/08/2026 | hasniah

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
W, (12:48:40pm-12:53:40pm, 06 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]