5 April 2026, SERDANG – Festival Pantun Antara Asasi (FANTASI) 2026 melabuhkan tirainya dalam majlis penutup yang penuh gilang-gemilang bertempat di Panggung Percubaan, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM).
FANTASI merupakan pertandingan pantun tahunan antara pusat asasi universiti awam (UA) di seluruh Malaysia di bawah kelolaan Majlis Dekan dan Pengarah Asasi (MDPA). Pada tahun ini, UPM telah diberi mandat sebagai tuan rumah. Sebanyak 20 pasukan daripada 12 universiti awam, termasuk pasukan jemputan daripada Kolej Matrikulasi Selangor, telah berentap di gelanggang pantun bermula 3 hingga 5 April 2026.
Pertandingan kali ini menyaksikan tahap penguasaan teknik dan gaya bahasa yang tinggi, sekali gus mencerminkan kemasyhuran serta keanggunan bahasa Melayu. Hal ini membuktikan bahawa warisan tradisi masih terpelihara dalam kalangan generasi muda, khususnya pelajar asasi dan matrikulasi. Kemuncak festival mempamerkan pertembungan sengit di pentas akhir antara pasukan Universiti Malaya B (UM B) dan Universiti Teknologi MARA A (UiTM A) yang berlangsung dalam suasana tradisi Melayu bertemakan kemegahan singgahsana diraja.
Majlis Penutup FANTASI 2026 telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Ir. Dr. Abdul Rahim Abu Talib, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UPM. Turut hadir memeriahkan majlis ialah YBhg. Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman, Pengerusi MDPA, wakil Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka selaku penaja utama, dekan-dekan dan pengarah-pengarah Asasi UA, serta Pengarah Politeknik Ungku Omar dan Pengarah Kolej Matrikulasi Selangor.
Universiti Malaya berjaya mempertahankan kejuaraan dalam FANTASI 2026 dengan merangkul tempat pertama, diikuti oleh UiTM di tempat kedua, manakala tempat ketiga dimenangi oleh pasukan daripada UNIMAS. Pasukan UM B juga telah memenangi anugerah Video Pantun Pembuka Terbaik, manakala anugerah Busana Terbaik dimenangi oleh pasukan dari Kolej Matrikulasi Selangor. Pemantun Terbaik pada FANTASI 2026 telah dinobatkan kepada saudara Ahmed Danish Haiqal bin Jasmi dari UiTM.
Sekalung tahniah diucapkan kepada semua pemenang. Setinggi-tinggi penghargaan juga dirakamkan kepada tetamu jemputan, para juri, jurupantun, serta penaja utama, Dewan Bahasa dan Pustaka. Terima kasih juga diucapkan kepada penaja bersama iaitu Projection Synergy Sdn. Bhd., Alpha Quest Sdn. Bhd., Pustaka Prinsip Sdn. Bhd., dan Rentak Seni.
Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada kakitangan Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPM, serta seluruh warga kerja dan pelajar Pusat Asasi Sains Universiti Putra Malaysia, UPM yang terlibat secara langsung. Penghargaan istimewa ditujukan kepada warga Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM atas sumbangan kepakaran dan kerjasama teknikal selaku penganjur bersama sepanjang festival ini berlangsung.
Disediakan oleh,
Dr. Muhammad Alif Mohammad Latif
Pengarah Program, FANTASI 2026
Date of Input: 16/04/2026 | Updated: 16/04/2026 | hasniah

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor