SERDANG, 16 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Pameran Pelan Strategik UPM 2026–2030 pada 15 hingga 16 Jun 2026 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM, sebagai platform memperkenalkan hala tuju strategik universiti bagi tempoh lima tahun akan datang serta memperkukuh komitmen seluruh warga universiti dalam merealisasikan aspirasi UPM sebagai universiti bereputasi global.
Pameran bersempena Bulan Sinergi Putra diadakan selama dua hari itu menghimpunkan penyertaan pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang mempamerkan inisiatif, pencapaian dan perancangan strategik berdasarkan fokus-fokus utama Pelan Strategik UPM 2026–2030. Program tersebut turut menjadi medium perkongsian idea, amalan terbaik dan kolaborasi antara PTJ dalam menyokong agenda transformasi universiti.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Malaysia, yang menzahirkan penghargaan terhadap komitmen UPM dalam merangka pelan strategik yang berpandangan jauh, inklusif dan berimpak tinggi.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata bahawa pelan strategik yang mantap bukan sekadar menjadi dokumen perancangan, malah perlu diterjemahkan melalui tindakan yang tersusun, inovatif dan berasaskan kolaborasi semua pihak.
"Pelan Strategik UPM 2026–2030 mencerminkan komitmen universiti untuk terus memacu kecemerlangan pendidikan tinggi negara. Kejayaan pelaksanaannya bergantung kepada penglibatan aktif seluruh warga universiti dalam membudayakan inovasi, memperkukuh jaringan strategik serta menghasilkan impak yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara," katanya.
Beliau turut menekankan bahawa institusi pendidikan tinggi perlu terus memperkukuh daya saing di peringkat antarabangsa melalui kecemerlangan akademik, penyelidikan, inovasi dan pemindahan ilmu selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi.
Majlis perasmian diserikan dengan gimik Peluncuran Bulan Sinergi Putra UPM 2026 dan Peluncuran Dokumen Strategik Universiti (Universiti Putra Malaysia Planetary Health and Sustainability Blueprint), Ringkasan Eksekutif Blueprint Keterjaminan Makanan UPM (Versi Bahasa Mandarin) dan Pelan Pemacu Kesohoran Global UPM 2026 – 2035. Manakala Video Dokumentari Keterjaminan Makanan - "UPM Food Security: Seeds of Tomorrow" turut ditayangkan untuk tontonan warga universiti.
Dalam pameran tersebut, Pusat Asasi Sains Universiti Putra Malaysia (ASPutra) telah diberi mandat untuk mengetuai Segmen Pameran Fokus 3: Kesohoran Global bersama enam (6) Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang lain, iaitu Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Putra Science Park, Institut Penyelidikan Matematik, Pusat Antarabangsa UPM (i-PUTRA) dan Sekretariat Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa). Segmen Pameran Kesohoran Global mengetengahkan pelbagai inisiatif yang menyokong usaha pengantarabangsaan universiti, termasuk pemerkasaan mobiliti akademik, kerjasama strategik antarabangsa, pembangunan bakat global, keterlihatan penyelidikan serta penghasilan graduan yang kompetitif di peringkat antarabangsa.
Sementara itu ketika mengunjungi reruai ASPutra, Datuk Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Malaysia menyatakan Program Asasi Sains Pertanian, UPM adalah sangat kompetitif dan mempunyai reputasi yang baik. Beliau berharap pihak universiti dapat memenuhi kuota kemasukan pelajar antarabangsa dan terus maju jaya.
Penyertaan ASPutra membuktikan komitmen pusat tersebut dalam menyokong agenda pengantarabangsaan UPM melalui pelaksanaan program akademik berkualiti menerusi Program Asasi Sains Pertanian, pengukuhan jaringan kerjasama strategik dan pembangunan ekosistem pembelajaran yang mampu melahirkan pelajar berdaya saing di peringkat global.
Pameran Pelan Strategik UPM 2026–2030 bukan sahaja menjadi platform mempromosikan aspirasi universiti, malah berjaya meningkatkan kefahaman warga UPM terhadap hala tuju strategik institusi serta mengukuhkan budaya kerja berteraskan kecemerlangan, inovasi dan kelestarian bagi memastikan setiap inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan secara berkesan.
Sekalung penghargaan kepada Jawatankuasa Pelaksana Pameran Strategik UPM yang dipengerusikan bersama oleh Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS) dan Pejabat Pembangunan dan Pengurusan Aset (PPPA), Universiti Putra Malaysia atas penyelarasan tugas memastikan pameran ini berjalan dengan baik dan lancar.

Gambar 1: Staf ASPutra sedang bertugas di ruang Pameran Pelan Strategik UPM 2026–2030 yang berlangsung di Dewan Besar UPM.

Gambar 2: Wakil ASPutra bersama wakil PTJ dan duta pelajar antarabangsa UPM bergambar kenangan di ruang pameran Segmen Fokus 3: Kesohoran Global yang mengetengahkan inisiatif pengantarabangsaan dan keterlihatan global UPM.

Gambar 3: YBhg. Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman melawat ruang pameran selepas majlis perasmian sambil diberi taklimat mengenai inisiatif strategik yang dipamerkan oleh PTJ.

Disediakan oleh:
Dr. Jamali bin Janib
Ketua Penolong Pendaftar
Pusat Asasi Sains Universiti Putra Malaysia (ASPutra)
Date of Input: 07/08/2026 | Updated: 07/08/2026 | hasniah

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor