SERDANG, 25 Jun 2026 – Pusat Asasi Sains Universiti Putra Malaysia (ASPutra) meneruskan usaha memperkasa aspirasi dan hala tuju pelajar melalui Siri Podcast ASPutra bertajuk “Graduan Pertanian: Sinergi Masa Hadapan Mampan” yang berlangsung di Studio PSPK, Aras Bawah, Bangunan Canselori Putra, hari ini.

Gambar 4
Poster sesi rakaman Siri Podcast ASPutra yang menjadi platform perkongsian pengalaman alumni kepada pelajar dalam membina aspirasi pengajian dan kerjaya bidang pertanian.

Panel Siri Podcast ASPutra, Encik Muhammad Zaki bin Abdul Rahman dan Encik Afiq Afifi bin Anuar bersama moderator, Cik Ermelia Rohayu binti Ramlan dalam sesi “Graduan Pertanian: Sinergi Masa Hadapan Mampan” di Studio PSPK, Bangunan Canselori Putra.
Program bual bicara yang berlangsung dari jam 9.00 hingga 10.00 pagi itu menampilkan perkongsian pengalaman dua bekas pelajar Asasi Sains Pertanian (ASPER) UPM yang kini berjaya dalam bidang masing-masing, iaitu Encik Muhammad Zaki bin Abdul Rahman, Pegawai Pertanian, Bahagian Kejuruteraan Pertanian, Kompleks Pertanian Serdang dan Encik Afiq Afifi bin Anuar, Agronomis Syarikat Plantsafe Global Sdn. Bhd., Bandar Amanjaya, Sungai Petani, Kedah.
Sesi podcast tersebut dikendalikan oleh Cik Ermelia Rohayu binti Ramlan, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Unit Pertanian, Pusat Asasi Sains UPM selaku moderator.
Mengangkat tema sinergi masa hadapan yang mampan, program ini menjadi wadah perkongsian pengalaman, pandangan dan inspirasi daripada graduan bidang pertanian kepada generasi pelajar baharu, khususnya dalam meneroka peluang pengajian serta prospek kerjaya dalam sektor pertanian.

Gambar 2
Encik Afiq Afifi bin Anuar berkongsi pengalaman sebagai graduan ASPER dan kerjaya agronomis di sebuah syarikat swasta negara ini
Perbincangan turut memberi penekanan terhadap kepentingan pelajar memanfaatkan sepenuhnya pengalaman sepanjang berada di universiti, bukan sahaja melalui pencapaian akademik, malah menerusi penglibatan dalam aktiviti kepimpinan, keusahawanan, persatuan, sukan, badan beruniform serta aktiviti kemasyarakatan.
Menurut En. Muhammad Zaki, pengalaman yang diperoleh melalui aktiviti di luar bilik kuliah mampu membentuk kemahiran insaniah, keyakinan diri, kebolehan berkomunikasi dan kemahiran kepimpinan yang menjadi nilai tambah penting apabila graduan melangkah ke alam pekerjaan.
Aspek penguasaan bahasa dan kemahiran komunikasi turut menjadi antara fokus perbincangan. Panel berkongsi pandangan bahawa kecemerlangan akademik perlu dilengkapi dengan keupayaan berkomunikasi secara berkesan, khususnya dalam menghadapi persaingan pasaran pekerjaan yang semakin dinamik, demikian menurut Encik Afiq Afifi.
Perkongsian kedua-dua alumni ASPER itu turut membuka perspektif kepada pelajar mengenai realiti sektor pertanian masa kini yang semakin berkembang dan memerlukan tenaga kerja berkemahiran, berpengetahuan serta berupaya menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan keperluan industri.
Dalam konteks tersebut, kerjaya seperti pegawai pertanian, agronomis, pengurus ladang dan usahawan pertanian dilihat mempunyai potensi yang besar, khususnya dalam mendukung agenda keterjaminan makanan negara.
Sesi podcast turut mengetengahkan pengalaman panel dalam menghadapi cabaran sepanjang pengajian dan kerjaya, termasuk bagaimana mereka membina daya tahan, membuat keputusan serta memanfaatkan ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang berada di UPM.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh kesesuaian kurikulum Asasi Sains Pertanian dengan keperluan semasa, peluang memperkukuh jaringan kerjasama antara UPM dengan agensi kerajaan, jabatan pertanian, kementerian, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta kepentingan membina hubungan berterusan antara universiti dan alumni.

Moderator, Cik Ermelia Rohayu binti Ramlan mengendalikan sesi bual bicara bersama panel mengenai prospek kerjaya dan masa hadapan sektor pertanian.
Salah satu aspek yang turut diberikan perhatian ialah peranan alumni dalam menyumbang kembali kepada universiti dan masyarakat selepas bergraduat. Perkongsian pengalaman alumni diharapkan dapat membuka ruang kepada pembentukan jaringan strategik serta kerjasama yang memberi manfaat kepada pelajar, universiti dan sektor pertanian negara.
Program ini juga menggalakkan pelajar baharu supaya melihat bidang pertanian bukan sekadar sebagai satu bidang pengajian, tetapi sebagai sektor strategik yang mempunyai ruang luas untuk inovasi, keusahawanan, teknologi dan pembangunan kerjaya.
Dalam masa yang sama, nilai UPM seperti Ihsan, Kepelbagaian dan Kelestarian, slogan “Pertanian, Inovasi, Kehidupan” serta moto “Berilmu Berbakti” turut diketengahkan dari perspektif graduan sebagai nilai yang relevan dalam membentuk jati diri dan profesionalisme mahasiswa.
Melalui Siri Podcast ASPutra ini, perkongsian pengalaman alumni diharapkan dapat memberi gambaran lebih jelas kepada pelajar mengenai cabaran dan peluang yang menanti mereka selepas tamat pengajian, selain menyuntik motivasi agar mereka terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik dan membina kemahiran diri secara menyeluruh.
Program seumpama ini juga menjadi salah satu platform ASPutra dalam memperkukuh hubungan alumni dengan institusi serta membina ekosistem pendidikan yang menghubungkan pengalaman graduan, keperluan industri dan aspirasi masa hadapan sektor pertanian negara. Jemput menonton rakaman penuh di https://www.youtube.com/watch?v=qIBImo9djoE&pp=ygUMcHV0cmEgdHYgdXBt
Date of Input: 11/08/2026 | Updated: 11/08/2026 | hasniah

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor