Implikasi Penyasaran Subsidi Diesel Kepada Sektor Pertanian Di Malaysia | CENTRE FOR FOUNDATION STUDIES IN SCIENCE OF UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTICLE » Implikasi Penyasaran Subsidi Diesel kepada Sektor Pertanian di Malaysia

Implikasi Penyasaran Subsidi Diesel kepada Sektor Pertanian di Malaysia

Pada 10 Jun 2024, rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan pengumuman kerajaan bagi pelaksanaan penyasaran subsidi Diesel di Semenanjung Malaysia. Kesannya harga runcit diesel ditetapkan mengikut harga pasaran iaitu pada RM3.55 seliter bermula pada 10 jun 2024 di stesen-stesen minyak seluruh Semenanjung Malaysia.

Menurut YB Senator Datuk Seri Hamzah, tujuan Kerajaan melaksanakan penyasaran ini adalah untuk membendung ketirisan subsidi yang kian berleluasa seperti cendawan tumbuh selepas hujan yang telah menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara. Malah Kerajaan telah berbelanja sejumlah RM14.3 bilion untuk subsidi diesel pada tahun 2023.

Harga terkini diesel di negara-negara Asia Tenggara 

Maka artikel ini akan mengupas implikasi kenaikan harga minyak (diesel) terhadap sektor pertanian sama ada dengan subsidi atau tanpa subsidi.

SUBSIDI

Dewan Bahasa dan Pustaka menyatakan subsidi ialah bayaran wang atau bentuk bantuan lain daripada kerajaan pusat kepada kerajaan negeri, industri, syarikat swasta, atau individu. Justifikasi pemberian subsidi ini adalah kerana kerajaan ingin menggalakkan aktiviti atau industri supaya berkembang maju, menurunkan harga barangan, atau merangsangkan eksport. Di Malaysia, subsidi ini dikelaskan kepada 3 jenis iaitu Subsidi Barang, Subsidi Tunai dan Subsidi Pukal.

Subsidi Barang dan Tunai dapat diberikan terus kepada golongan sasar manakala Subsidi Pukal diberikan juga kepada golongan sasar namun berlaku ketirisan subsidi apabila golongan yang tidak layak termasuk bukan warganegara turut menikmati apabila mereka turut membeli barangan bersubsidi ini.

Menurut laporan International Energy Agency, 2007 mendedahkan bahawa perbelanjaan kerajaan Malaysia untuk subsidi bahan api fosil telah merugikan Asia Tenggara sejumlah USD 17 Billion dan subsidi bahan api ini telah dikenalpasti sebagai punca utama defisit fiskal Malaysia melonjak naik yang boleh mengancam kedudukan ekonomi negara menjadi tidak mampan (Economic Planning Unit, 2010)

Terdapat juga sumber lain yang melaporkan kesan subsidi bahan api ini. Menurut Liu dan Li (2011), penggunaan subsidi telah meningkatkan permintaan bahan api dan tidak menggalakkan kecekapan tenaga yang membawa kepada kesan persekitaran yang negatif (Li, SHi da Bin 2017) dan penyelundupan bahan api (Asian Development Bank 2016).

IMPLIKASI PENARIKAN SUBSIDI BAHAN API TANPA SASAR

Hakikatnya, telah banyak kajian yang dilaksanakan sama ada dalam dan luar negara untuk mengenalpasti hubung kait antara bahan api dan harga komoditi pertanian. Penyelidik menyatakan hubung kait ini boleh dipecahkan kepada dua arah 

  • Harga bahan api dikaitkan dengan harga komoditi pertanian
  • Tiada hubungan antara harga bahan api dan komoditi pertanian

 

Antara kajian yang mengaitkan hubungkait bahan api dan harga pertanian adalah seperti berikut: 

  1. Campiche et al. (2007) telah mendapati harga kacang soya dan jagung mempunyai hubungan jangka panjang dengan harga bahan api dan perubahan pada harga bahan api boleh mempengaruhi harga kacang soya dan jagung selepas meletusnya pasaran biofuel.
  2. Rajeaniova dan Pokrivcak (2011) telah mendapati kewujudan satu arah jangka panjang kausalitas bermula daripada harga bahan api kepada harga jagung, gandum dan gula.
  3. Wixson dan Katchova (2012) telah mendapati bahawa harga kacang soya telah didorong oleh harga bahan api.
  4. ZIlberman dan Serra (2013) telah menyimpulkan bahawa harga tenaga mempengaruhi harga komoditi pertanian jangka panjang dan ketidakstabilan pasaran tenaga telah dipindahkan ke pasaran makanan. 

 

Kesan penarikan subsidi bahan api tanpa sasar yang membawa kepada kenaikan harga bahan api ini juga turut memberi implikasi kepada kenaikan kos pembuatan bagi sesebuah perusahaan. Meskipun pengusaha boleh memindahkan kos kenaikan tersebut kepada pengguna, kuantiti pengeluaran tetap berkurangan disebabkan oleh peningkatan kos pengeluaran. Malah kenaikan kos barangan dan perkhidmatan telah menyebabkan perbelanjaan yang kurang daripada isi rumah dan kerajaan, lalu mendorong kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih rendah. 

SOLUSI KEPADA PENARIKAN SUBSIDI DIESEL DI MALAYSIA

Melalui pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, Kerajaan Malaysia telah menetapkan harga diesel kepada sektor sektor yang layak seperti berikut:

  • Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 yang menggunakan kaedah fleet card bagi kenderaan logistik berkelayakan untuk membendung kesan terhadap harga barangan pengguna, ditetapkan pada harga RM 2.15 seliter.
  • Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0 bagi kenderaan-kenderaan pengangkutan awam darat termasuk bas sekolah, bas ekspres, ambulans dan bomba kekal pada harga RM 1.88 seliter.
  • Diesel bersubsidi untuk nelayan kekal pada harga RM 1.65 seliter.

 

Penyasaran subsidi juga diperkenalkan dalam bentuk bantuan tunai melalui inisiatif berikut: 

  • Bantuan tunai BUDI individu sebanyak RM200 sebulan kepada warganegara Malaysia yang memiliki kenderaan diesel persendirian untuk menampung perbelanjaan bahan api diesel yang meningkat
  • Bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi sebanyak RM200 sebulan bagi petani kecil dan pekebun kecil komoditi untuk mengurangkan kesan kepada punca pendapatan mereka.

 

Menurut Sinar Harian bertarikh 24 Jun 2024, kesan penarikan subsidi secara bersasar ini telah menyebabkan harga jualan runcit diesel di stesen minyak telah menurun hampir lapan juta liter sehari atau 30% pada minggu pertama penetapan semula harga bahan bakar ini. Ini bermakna, trend peningkatan jualan diesel komersial menunjukan tanda positif bahawa ketirisan diesel bersubsidi telah berkurang.

Namun begitu, menurut berita dari portal Kedah, Menteri Besar Kedah melaporkan kenaikan minyak diesel ini memberi tekanan kepada golongan pesawah. Ini adalah kerana ada kenaikan kos seperti kos jentera membajak dan menuai yang tidak termasuk dalam pemberian persasaran subsidi diesel yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan. Beliau menambah kos sewaan, operasi dan bahan untuk sekali tanaman padi hanya RM1,509.00 berbanding sekarang selepas kenaikan harga diesel meningkat kepada RM1,797.00 untuk satu relong (0.287 hektar) sahaja iaitu kenaikan sebanyak RM228.00.

Jika dilihat pada penyasaran subsidi diesel yang berkait dengan sektor pertanian seperti Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 dan BUDI Agri-Komoditi, diharap agar harga komoditi pertanian, produk asas tani dan makanan tidak terjejas atau bertambah kerana perubahan harga produk-produk ini boleh mempengaruhi perbelanjaan isi rumah dan membebankan golongan masyarakat berpendapatan rendah.

Sekian.

RUJUKAN 

  • Campiche, J., H. Bryant, J. Richardson and J. Outlaw, 2007. Examining the Evolving Correspondence between Petroleum Prices and Agricultural Commodity Prices. Paper presented at the American Agricultural Economics Association Annual Meeting, Portland.
  • Rajcaniova, M. and J. Pokrivcak, 2011. The Impact of Biofuel Policies on Food Prices in the European Union. Journal of Economics (Ekonomicky Casopis), 5: 459-471.
  • Wixson, S.E. and A.E. Katchova, 2012. Price Asymmetric Relationships in Commodity and Energy Markets. Paper presented at the 123th European Association of Agricultural Economists' Seminar. Price Volatility and FarmIncome Stabilisation. Dublin. February 23–24, 2012.
  • Siaran Media, Kementerian Kewangan, Kerajaan Laksanakan Penyasaran Subsidi Diesel Di Semenanjung Malaysia Pada 10 Jun 2024.

Disediakan oleh:

Muhammad Termidzi Abd Jamal

Pegawai Perkhidmatan Pendidikan
Bidang Pertanian
Pusat Asasi Sains Universiti Putra Malaysia

Date of Input: 04/07/2024 | Updated: 04/07/2024 | emma

MEDIA SHARING

CENTRE FOR FOUNDATION STUDIES IN SCIENCE OF UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
S.2025/3/18:2:12:00~noCache