JERAYAWARA PELAJAR ASPutra KE FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN 2025 | CENTRE FOR FOUNDATION STUDIES IN SCIENCE OF UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» NEWS » JERAYAWARA PELAJAR ASPutra KE FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN 2025

JERAYAWARA PELAJAR ASPutra KE FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN 2025

LAPORAN BERITA PROGRAM JERAYAWARA PELAJAR ASPutra KE FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN 2025

PROGRAM SAINS KESIHATAN

Jumaat, 7 Februari 2025 – Seramai 70 orang pelajar ASPer20 telah mengikuti program jerayawara (roadshow) ke Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM. Objektif program ini adalah untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar ASPer bagi mendapatkan informasi berkaitan program yang akan dipilih oleh mereka di peringkat bacelor kelak. Melalui program ini, pelajar akan memperoleh gambaran yang lebih jelas mengenai laluan akademik yang sesuai dengan minat dan cita-cita mereka, di samping meningkatkan motivasi melalui sesi taklimat daripada pihak fakulti.

Program jerayawara di mulakan dengan ucapan pembukaan oleh Penolong Pendaftar Kanan Pejabat Timbalan Dekan (Akademik Sains Kesihatan dan Hal Ehwal Pelajar & Alumni) iaitu En. Salahuddin Ahmad bin Ayob. Beliau berkongsi serba sedikit mengenai latar belakang FPSK, program pengajian prasiswazah yang di tawarkan.Seterusnya, program di teruskan lagi dengan sesi bersama penyelaras bagi setiap program bacelor yang terdapat di FPSK (Bacelor  Sains Bioperubatan dengan kepujian, Bacelor  Pemakanan dan Komuniti dengan kepujian, Bacelor  Sains Dietetik dengan kepujian, Bacelor  Kejururawatan dengan kepujian) dan berkongsi aktiviti yang di lakukan oleh pelajar FPSK sepanjang pengajian mereka di sini seperti program jaringan masyarakat dan latihan klinikal.

Gambar 1: Sesi pengenalan FPSK kepada pelajar ASPer 20 dan sesi penerangan dan perkongsian program bachelor bersama penyelaras

Gambar 2: Sesi soal jawab dan interaksi bersama penyelaras program bachelor Sains Kesihatan

Gambar 3: Pelajar ASPer 20 UPM yang menyertai program jerayawara Sains Kesihatan

Akhir kata, semoga program jerayawara ini dapat memberi impak kepada pelajar ASPer 20 dari segi pilihan program bacelor dan meningkatkan motivasi pelajar untuk mencapai kecemerlangan akademik dalam bidang yang dipilih serta meningkatkan tahap kesediaan mereka untuk menghadapi pengajian di peringkat bacelor.

Pusat Asasi Sains UPM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan atas kesudian menerima kunjungan ini. Diharapkan jalinan kerjasama ini akan terus terjalin erat dalam usaha membawa agenda kecemerlangan pelajar UPM terutamanya pada pelajar Pusat Asasi Sains UPM.

PROGRAM DOKTOR PERUBATAN

Rabu, 12 Februari 2025 – Seramai 72 orang pelajar telah mengikuti Jerayawara Doktor Perubatan (Shadowing Program) yang bertempat di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS). Program ini bukan sekadar lawatan biasa kerana program ini memberi pengalaman yang membuka mata dan minda pelajar terhadap kehisupan sebenar seorang doktor di hospital. Program jerayawara ini dimulakan dengan ucapan aluan dan perasmian oleh Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan iaitu Prof. Dr. Normala Omar dan diikuti dengan taklimat program oleh Dr. Fadzilah Mohamad yang mana beliau telah memberikan banyak informasi dan berkongsi  pengalaman berkaitan dengan realiti perjalanan akademik yang perlu ditempuhi untuk menjadi bergelar seorang doktor dan seterusnya pakar perubatan.

Gambar 1: Gambar pelajar ASPer 20 bersama Dekan FPSK dan pakar perubatan HSAAS

Melalui program ini, para pelajar telah dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil yang diketuai oleh pakar perubatan dan diberi peluang mendekati dunia perubatan sebenar dengan melihat bagaimana doktor memainkan peranan sebagai barisan hadapan untuk merawat pesakit. Antara bidang perubatan yang terlibat dalam program ini adalah perubatan dalaman, neurologi, obstetrik dan ginekologi, pediatrik, ortopedik, anestesiologi, perubatan keluarga, psikiatri, pembedahan, otorinolaringologi dan oftalmologi. Peluang keemasan yang sukar didapati daripada mana-mana program adalah apabila pelajar dapat menyaksikan sesi konsultasi pesakit, mempelajari prosedur asas perubatan dan mengikuti bersama kelas pembentangan untuk kes klinikal oleh pelajar perubatan. Sebagai penutup program, para pelajar berkongsi refleksi mereka tentang tentang pengalaman yang diikuti dalam masa tiga jam lawatan dan kemudiannya diikuti dengan perkongsian seorang pakar ortopedik HSAAS iaitu Dr. Mohd Sharil Jaapar tentang pengalaman dan realiti dan dunia kedoktoran supaya pelajar mendapat gambaran lebih jelas tentang cabaran dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh seorang doktor.

Gambar 2: Aktiviti-aktiviti pelajar di sepanjang Shadowing program di HSAAS

Semoga program jerayawara ini memberi inspirasi dan memberi motivasi kepada pelajar ASPer 20 untuk terus berusaha ke arah impian murni mereka untuk bergelar seorang doktor perubatan.

Disediakan oleh,

Dr. Ezyana Kamal Baharin, Penyelaras Jerayawara FPSK (Program Sains Kesihatan)

Dr. Nadiatul Hafiza Hassan, Penyelaras Jerayawara FPSK (Program Doktor Perubatan)

 

Date of Input: 04/03/2025 | Updated: 04/03/2025 | hasniah

MEDIA SHARING

CENTRE FOR FOUNDATION STUDIES IN SCIENCE OF UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
S.2025/3/17:16:50:11~noCache