Amalan Vermikompos Di Rumah Sebagai Baja Organik Dan Solusi Pertanian | PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » Amalan Vermikompos Di Rumah Sebagai Baja Organik Dan Solusi Pertanian

Amalan Vermikompos Di Rumah Sebagai Baja Organik Dan Solusi Pertanian

Gambar 1

Gambar 2

Gambar 1 adalah petikan yang diambil daripada Astro Awani bertarikh 2 Disember 2021. Petikan ini menyebut bahawa hampir 632,000 petani dan pesawah terkesan dengan kenaikan harga baja dan racun sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan kos pengeluaran sekali gus ini mengurangkan pendapatan petani. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, semenjak pandemik melanda negara, harga baja didapati meningkat hampir 30 peratus manakala harga racun pula meningkat hampir 100 peratus. Ini merupakan satu bebanan yang berat kepada pengusaha pertanian dan inisiatif alternatif perlu diambil dengan kadar segera. 

Gambar 2 pula adalah petikan yang diambil dari Berita Harian Online bertarikh 16 Jun 2019. Petikan ini berkata bahwa Rakyat Malaysia menghasilkan kira-kira 37,890 tan sisa setiap hari dengan sekurang-kurangnya 1.17 kilogram (kg) dijana bagi setiap individu. Jumlah itu dianggarkan terus meningkat seiring pertambahan populasi penduduk dan lebih membimbangkan, ia akan menyumbang kepada ketepuan tapak pelupusan sampah di seluruh negara. 

Berdasarkan pada 2 isu yang dinyatakan di atas ini, artikel kali ini ingin mengetengahkan satu amalan sebagai solusi kenaikan harga baja dan lambakan sampah di Malaysia iaitu amalan vermikompos. Sekiranya amalan ini berjaya dilaksanakan, sedikit sebanyak petani mampu menjimatkan kos penyelenggaraan dengan menghasilkan baja vermikompos sendiri yang lebih berkualiti untuk pertumbuhan tanaman mereka. Di samping itu juga, amalan vermikompos ini sedikit sebanyak boleh mengurangkan kadar lambakan sampah dengan memupuk budaya sihat dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mengasing sisa dapur yang berasaskan tanaman untuk tujuan vermikompos. 

  

PENGENALAN VERMIKOMPOS 

Vermikompos ditakrifkan sebagai penguraian fasa pepejal sisa organik dalam persekitaran aerobik dengan mengeksploitasi aktiviti biologi optimum cacing tanah dan mikroorganisma (Garg,Gupta, 2009). Vermikompos yang dihasilkan oleh cacing tanah sangat kaya dengan makro dan mikronutrien, vitamins, hormon pertumbuhan, enzim seperti protease, amilase, lipase, selulase dan kitinase serta mikroflora yang tidak bergerak. Enzim-enzim tersebut berterusan menghancurkan bahan organik walaupun telah dikeluarkan dari cacing (Barik et al., 2011). 

Vermikompos melibatkan pengkomposan sisa organik melalui aktiviti cacing tanah. Ia telah terbukti berjaya dalam memproses enap cemar kumbahan dan pepejal daripada air sisa, bahan daripada kilang bir, sisa kertas, sisa bandar, sisa makanan dan haiwan, serta sisa hortikultur daripada pemrosesan kentang, tanaman yang mati dan industri cendawan (Dominguez, Edwars, 2004). 

Vermikompos ialah bahan seperti gambut yang mengandungi banyak nutrien dalam bentuk sedia ada tumbuhan seperti nitrat, fosfat, kalsium, kalium, magnesium dan lain-lain. Ia mempunyai keliangan yang tinggi, kapasiti pegangan air dan kawasan permukaan yang tinggi yang menyediakan banyak kawasan untuk aktiviti mikrob dan untuk pengekalan nutrien. Pengawal pertumbuhan tanaman dan bahan lain yang mempengaruhi pertumbuh tanaman iaitu auksin, sitokinin dan bahan humus dan lain-lain yang dihasilkan oleh mikrob turut ditemui pada  vermikompos.  

Joshi et al., 2015 menyatakan vermikompos adalah baja organik yang ideal untuk pertumbuhan dan hasil yang lebih baik bagi kebanyakan tanaman disebabkan oleh justifikasi berikut. 

  1. Vermikompos memiliki nilai nutrien yang lebih tinggi daripada kompos tradisional. 
  2. Tindak balas cacing tanah telah menyebabkan kenaikan kadar mineralisasi dan darjah kelembapan. 
  3. Vermikompos mempunyai keliangan, pengudaraan, pengairan dan kapisiti pegangan air yang tinggi. 
  4. Kehadiran mikrobiota terutamanya kulat, bakteria dan actinomycetes menjadikannya sesuai untuk pertumbuhan tumbuhan. Nutrien seperti nitrat, fosfat dan pertukaran kalsium dan kalium larut dalam bentuk sedia tumbuhan terdapat dalam vermikompos.
  5. Pengawal pertumbuhan tanaman dan bahan-bahan lain yang mempengaruhi pertumbuhan tumbuhan yang dihasilkan oleh mikroorganisma juga terdapat dalam vermikompos. 
  6. Pengeluaran sitokinin dan auksin didapati dalam sisa organik yang diproses oleh cacing tanah. 
  7. Cacing tanah membebaskan metabolit tertentu, seperti vitamin B, vitamin D dan bahan serupa ke dalam tanah.

 

PRECAUTIONS 

 Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diambil berat dalam proses vermikompos: 

  1. Cacing spesies Afrika seperti Eisenia fetida dan Eudrilus eugenae adalah sangat sesuai digunakan dalam penyediaan vermikompos berbanding dengan cacing spesies India. 
  2. Hanya bahan berasaskan tanaman seperti rumput, daun atau kulit sayur-sayuran harus digunakan dalam penyediaan vermikompos. 
  3. Bahan dari haiwan seperti kulit telur, daging, tulang, najis ayam dan lain-lain adalah tidak sesuai untuk penyediaan vermikompos.
  4. Sisa dapur seperti daun tembakau, bawang, halia, cili dan lain-lain tidak sesuai dijadikan makanan cacing tanah.
  5. Pastikan cacing tanah tidak terdedah kepada ancaman pemangsa seperti burung, anai-anai, semut dan tikus.
  6. Kelembapan yang mencukupi hendaklah dikekalkan dalam proses vermikompos. Malah air yang bertangkung dan kurang kelembapan boleh membunuh cacing tanah ini. 

  

KITARAN HIDUP CACING 

 Hampir 3000 spesies cacing tanah direkodkan telah ditemui di seluruh dunia. Daripada jumlah ini, 384 spesies dilaporkan telah ditemui di India dan kajian taksonomi terperinci mereka telah pun dilakukan (Julka, J.M., 1983). Majoriti spesies cacing tanah hidup di dalam tanah, kecuali beberapa species seperti Pontodrilus burmudensis yang hidup di air muara. Panjang cacing tanah adalah berbeza-beza dalam sekitar 20 mm panjang dan ada yang boleh mencapai 1 meter seperti spesies Drawida grandus. 

Kebanyakan cacing tanah adalah omnivor dan sering kali didapati dalam bahan organik seperti sampah baja, kompos dan lain-lain. Cacing tanah tergolong dalam keluarga Lumbricidae dan dikelaskan sebagai hermafrodit namun persenyawaan sendiri jarang berlaku. Pada usia 6 minggu, cacing tanah mula bertelur. Sepasang cacing tanah mampu bertelur dalam anggaran 100 telur dalam 6 minggu hingga 6 bulan dalam persekitaran kondusif dan makanan yang mencukupi. Manakala cacing dewasa mampu hidup sehingga 2 tahun. 

3 jenis cacing tanah yang sesuai digunakan untuk vermikompos iaitu Red winggler, Indian blue  dan African nightcrawler. Red winggler dan Indian blue sesuai untuk semua jenis vermikompos dalaman atau luaran dan panjang cacing ini boleh mencapai 2-5 inci. Bagi African nightcrawler, sesuai digunakan untuk vermikompos luaran seperi timbunan kompos atau windrows dan panjangnya boleh mencapai 3-8 inci. 

 

 BAHAN/ALATAN VERMIKOMPOS 

                       

   Bekas simpanan (7 liter)             Cacing tanah African nightcrawler 

 

                                

Bongkah cendawan kitar semula         Sisa pertanian 

 

KAEDAH MEMBUAT VERMIKOMPOS 

Imbas atau klik pautan untuk tonton video 

Jom Buat Vermikompos di Rumah 

  1. Sediakan satu bekas untuk tujuan pra fermentasi selama 10-14 hari bagi sisa pertanian seperti kulit buah, sisa sayuran dan najis haiwan. Elakkan dari menguna tanaman yang bersifat pedas dan pahit seperti cili, serai, bawang. Pastikan tidak menggunakan sisa daripada haiwan seperti kulit atau daging haiwan. Proses pra fermentasi ini dilakukan untuk memudahkan proses cacing memakan sisa-sisa tersebut. 
  2. Sediakan satu bekas bersaiz 7/10 liter (mengikut kesesuaian) untuk dijadikan tempat tinggal (bedding) cacing. Bahan yang diperlukan adalah sisa pertanian, bongkah cendawan yang telah digunakan dan cacing tanah.
  3. Masukkan dahulu 2 bongkah cendawan ke dalam bekas dan diikuti beberapa pra-kompos sisa pertanian sehingga ke paras ketinggian ¾ daripada kedalaman bekas tersebut. Campuran tersebut boleh digaul atau dibiarkan begitu sahaja. 
  4. Masukkan segenggam cacing tanah (20-50 gram) ke dalam bekas pada kesemua permukaan bedding tersebut.
  5. Liputi cacing tanah tersebut dengan beberapa tanah kompos untuk memastikan cacing berkenaan dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru dan mendapat persekitaran yang kondusif untuk tinggal dan membiak. 
  6. Tutup bekas dengan penutup bekas atau kain dan letakkan bekas tersebut di kawasan yang terlindung dari cahaya matahari dan hujan lebat. Ini untuk memastikan kelembapan mencukupi dalam bekas tersebut. 
  7. Periksa bekas bedding selang beberapa hari untuk memastikan cacing tidak lari, tiada ancaman haiwan perosak dan makanan sentiasa mencukupi. Hasil vermikompos boleh dituai selepas 14-30 hari bedding dibuat. Kecepatan hasil vermikompos ini bergantung kepada jumlah cacing dan makanan yang disediakan dalam sesuatu bekas. 

 

         

  Rajah 3 

Rajah 3 menujukkan pertumbuhan pokok belimbing buluh yang tumbuh sekata dan sihat dengan menggunakan baja vermikompos. 

 

IMPLIKASI KOS 

Berikut adalah anggaran kos vermikompos bagi 1 bekas.

 

Penjanaan pendapatan boleh diperolehi melalui jualan baja vermikompos dan cacing tanah bagi setiap kitaran kerana ianya mudah membiak dengan cepat dalam persekitaran yang kondusif dan makanan yang mencukupi. 

  

KESIMPULAN 

Orang awam (kediaman/komuniti) amat digalakkan untuk mempraktikkan amalan vermikompos kerana amalan ini boleh dilaksanakan dengan modal yang rendah disamping menjana penghasilan baja organik sendiri dan mengurangkan pembuangan sisa pertanian. 

 

RUJUKAN 

Barik, T., Gulati, J.M.L., Garnayak, L.M., Bastia, D.K. 2011. Production of vermicompost from agricultural wastes. – Agric. Reviews, 31(3):172–183. 

Dominguez, J., Edwars, C.A. 2004. Vermicomposting organic wastes: A review. – In: Soil Zoology for Sustainable Development in the 21st Century (Eds. S.H. Shakir Hanna and W.Z.A. Mikhatl). – Cairo, pp. 369–395. 

Garg, V.K., Gupta, R. 2009. Vermicomposting of agro-industrial processing waste. In: Biotechnology for Agro-Industrial Residues Utilisation. – Springer, Dordrecht, pp. 431–456, doi: 10.1007/978-1-4020-9942-7_24. 

Joshi, R., Singh, J., Vig, A.P. 2015. Vermicompost as an effective organic fertilizer and biocontrol agent: effect on growth, yield and quality of plants. – Reviews in Environmental Science and Bio/Technology, 14(1):137–159, doi: 10.1007/s11157-014-9347-1. 

Julka, J.M. (2001) Earthworm diversity and it’s role in agroecosystem. VII National symposium on soil biology and ecology. Bangalore University of Agricultural Sci-ences, Bangalore, 13-17. 

 

Ditulis oleh: 

Muhammad Termidzi Bin Abd. Jamal
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (Pertanian)
Pusat Asasi Sains Pertanian
termidzijamal@upm.edu.my

Tarikh Input: 14/07/2023 | Kemaskini: 14/07/2023 | emma

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
SXEdCAw~