HARI TERBUKA ASPer 2022 | PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » HARI TERBUKA ASPer 2022

HARI TERBUKA ASPer 2022

Pusat Asasi Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Hari Terbuka ASPer pada 24 Jun 2022. Hari Terbuka ASPer telah diadakan secara atas talian menggunakan aplikasi Zoom dan disiarkan secara langsung melalui laman rasmi Facebook Pusat Asasi Sains Pertanian, UPM. Program ini telah berlangsung selama dua jam bermula dari jam 3.00 petang sehingga 5.00 petang. Program dimulakan dengan kata alu-aluan dari Pengerusi Majlis, Puan Ardini Zalikha binti Nordin dan seterusnya bacaan doa yang diketuai oleh Encik Muhammad Termidzi bin Abd Jamal.

Tujuan utama penganjuran Hari Terbuka ASPer adalah untuk memberi peluang kepada pelajar lepasan SPM 2021, ibu bapa dan orang awam untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Program Asasi Sains Pertanian yang ditawarkan. Program ini juga menjadi platfom kepada orang awam untuk mendapat maklumat yang jelas dan tepat dengan bertanya terus kepada pihak ASPer berkenaan syarat kemasukan, kadar yuran dan penerangan secara terperinci mengenai program ini. Antara yang menarik mengenai program Asasi Sains Pertanian ialah pelajar lepasan asasi UPM boleh melanjutkan pengajian ke peringkat bacelor yang ditawarkan di UPM berdasarkan syarat kemasukan universiti dan syarat khusus program di fakulti.

Program Hari Terbuka ASPer ini merangkumi beberapa slot yang telah disampaikan oleh pihak pengurusan ASPer dan semua ketua bidang. Slot pertama dimulai dengan Prof. Madya Dr. Siti Nurul Ain Md. Jamil, Timbalan Pengarah I ASPer yang telah berkongsi mengenai syarat kemasukan, latar belakang ASPer dan hala tuju selepas tamat pengajian program asasi. Program diteruskan dengan slot daripada Timbalan Pengarah II ASPer, Prof. Madya Dr. Mohamad Amran Mohd Salleh yang telah menyampaikan mengenai kehidupan di kampus dan bantuan kewangan yang disediakan untuk pelajar asasi. Ketua Penolong Pendaftar ASPer, Tuan Hj. Mat Razi Abdullah pula telah berkongsi mengenai prasarana di ASPer dan UPM. Seterusnya, penerangan daripada semua ketua bidang mengenai silibus dan aktiviti khusus bagi setiap subjek yang ditawarkan seperti Pertanian, Biologi, Fizik, Kimia, Matematik dan Bahasa Inggeris.

 

Selain itu, terdapat juga sesi soal jawab bagi setiap pertanyaan yang diutarakan di ruangan chat aplikasi Zoom dan Facebook mengenai program Asasi Sains Pertanian yang ditawarkan. Antara persoalan yang sering dikemukakan adalah bahasa pengantaraan yang digunakan bagi pengajaran dan pembelajaran di ASPer dan keperluan mempelajari subjek Pertanian. Jawapan untuk persoalan pertama adalah bahasa Inggeris merupakan bahasa pengantaraan yang digunakan oleh setiap pengajar di ASPer selari dengan bahasa pengantaraan di peringkat bacelor UPM. Selain itu, perkara menarik mengenai program Asasi Sains Pertanian ini ialah di samping mempelajari subjek STEM, pelajar juga berpeluang mempelajari subjek Pertanian yang merupakan subjek wajib program. Maklum balas yang diterima daripada pelajar lepasan ASPer mengenai subjek Pertanian adalah sangat positif dan mereka sangat menyukai subjek ini.

 

Pada penghujung program, satu video berkenaan program ASPer telah ditayangkan. Video ini telah disediakan oleh beberapa pelajar lepasan ASPer yang telah atau sedang mengikuti program Bacelor di UPM. Mereka berkongsi pengalaman sepanjang bergelar pelajar ASPer dan menjawab persoalan-persoalan yang sering bermain di minda bakal pelajar ASPer.

Selepas berakhirnya Hari Terbuka ASPer, satu borang maklum balas telah diberikan kepada peserta untuk mengetahui keberkesanan program. Seramai 60 peserta telah memberikan maklum balas dan berdasarkan tinjauan, program ini memberikan manfaat kepada peserta untuk mendapatkan maklumat dan berjaya membuka minda mereka mengenai tawaran pengajian selepas tamat sekolah menengah. Semua peserta juga memberikan respons yang menggalakkan untuk menyambung pengajian pendidikan tinggi mereka di UPM dan bersetuju sekiranya program ini diteruskan pada masa akan datang. Selain itu, rata-rata peserta juga memberikan skor penilaian yang tinggi bagi kandungan ceramah yang disampaikan dan berpuas hati dengan cara penyampaian oleh penceramah. Beberapa cadangan penambahbaikan program telah diberikan antaranya memohon pelajar lepasan ASPer untuk berkongsi pengalaman mereka secara langsung dan memperbanyakkan visual seperti video dan gambar dalam pembentangan.

Bahagian 1: Penilaian Peserta Sepanjang Program

 

Bahagian 2: Penilaian Program

Bahagian 3: Penilaian Khidmat Urusetia

Oleh itu, sambutan menggalakkan yang diterima daripada program Hari Terbuka ASPer ini diharapkan sedikit sebanyak memberikan nilai tambah buat bakal pelajar ASPer dan orang awam untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai program Asasi Sains Pertanian di UPM. Jadi, apa tunggu lagi? Jom masuk ASPer!

 

 

Disediakan oleh:

Cik Siti Nasriah binti Ramli

Tarikh Input: 25/06/2022 | Kemaskini: 04/07/2022 | hasniah

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
SXEcQAg~