Kenali Kelawar Di Persekitaran Pusat Asasi Sains Pertanian, UPM | PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » Kenali Kelawar di Persekitaran Pusat Asasi Sains Pertanian, UPM

Kenali Kelawar di Persekitaran Pusat Asasi Sains Pertanian, UPM

Artikel oleh: Prof. Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah

5 April 2023

Kelawar adalah kumpulan mamalia yang boleh terbang sebenar. Kelawar dikelaskan di bawah order Chiroptera yang bermakna ‘tangan bersayap’ yang berbentuk sayap bermembran. Terdapat lebih 1400 spesies kelawar di dunia dan boleh dijumpai di kebanyakan kawasan. Direkodkan sebanyak 143 spesies kelawar di Malaysia, dan 110 spesies daripadanya direkodkan di Semenanjung Malaysia. Di Universiti Putra Malaysia Kampus Serdang Selangor, sebanyak 12 spesies kelawar telah direkodkan dan daripada jumlah ini enam (6) spesies kelawar boleh ditemui di persekitaran Pusat Asasi Sains Pertanian (PASP), Universiti Putra Malaysia. Dua kategori kelawar di Malaysia iaitu kelawar fitofagus (yang memakan bahagian tumbuhan) dan kelawar insektivor (yang memakan arthropod). Kelawar adalah haiwan nokturnal iaitu haiwan yang aktif pada waktu malam, manakala pada waktu siang ia akan tinggal di dalam sarangnya (roost).

Kelawar memerlukan keperluan asas untuk hidup iaitu kawasan untuk bersarang yang selamat daripada pemangsa, terdapat sumber makanan seperti serangga, buah-buahan atau nektar bunga dan sumber air. Kebiasaannya kelawar yang hidup di kawasan yang telah dibangunkan seperti persekitaran kampus UPM ini memilih untuk menyesuaikan tempat tinggal mereka dengan persekitaran bangunan dan tumbuhan di sekitarnya. Enam spesies kelawar yang direkodkan di PASP didapati sama ada menjadi penghuni bangunan, tumbuhan landskap atau mengunjungi lokasi PASP untuk mencari makanan daripada sumber tumbuhan berbunga atau berbuah.

Cynopterus byachyotis (Müller, 1838), Cecadu Pisang Sunda (Rajah 1a)

Kelawar pemakan buah ini biasa dijumpai di pelbagai habitat. Di PASP, kelawar ini bersarang secara individu atau dalam kumpulan kecil di bawah pelepah pokok palma seperti pokok Livistona chinensis, palma kipas Cina. Kelawar ini berstatus pemuliharaan Kurang Membimbangkan (LC) di bawah Kategori dan Kriteria Senarai Merah (IUCN), 2023.

 Eonycteris spelaea Dobson, 1871, Cecadu Gua (Rajah 1b)

 Kelawar yang merupakan pendebunga paling efektif kepada pelbagai tumbuhan hutan dan komersil. Di PASP, kelawar mengunjungi pokok jambu air yang sedang berbunga lebat. Kelawar ini berstatus pemuliharaan Kurang Membimbangkan (LC) di bawah Kategori dan Kriteria Senarai Merah (IUCN), 2023.

 Rousettus amplexicaudatus (É. Geoffroy Saint-Hilaire, 1810)Cecadu Besar (Rajah 1c)

Kelawar pemakan buah ini sering mengunjungi tumbuhan berbuah di sekitar Pusat Asasi Sains Pertanian seperti pokok jambu air. Kelawar ini berstatus pemuliharaan Kurang Membimbangkan (LC) di bawah Kategori dan Kriteria Senarai Merah (IUCN) 2023.

Myotis muricola Gray1846Kelawar Kumis Asia (Rajah 1d)

Kelawar pemakan serangga ini bersaiz kecil dan ditemui menghuni di dalam bahagian tengah daun pisang muda yang masih bergulung. Dikenali juga dengan nama jolokan sebagai kelawar pisang. Kelawar ini berstatus pemuliharaan Kurang Membimbangkan (LC) di bawah Kategori dan Kriteria Senarai Merah (IUCN) 2023.

Hypsugo macrotis (Temminck, 1840), Kelawar Telinga Besar (Rajah 1e)

Kelawar pemakan serangga ini menghuni pada bahagian atas hujung sudut dinding bangunan PASP secara berkumpulan atau individu. Kelawar ini berstatus pemuliharaan Kurang Data (DD) di bawah Kategori dan Kriteria Senarai Merah (IUCN) 2023. Oleh kerana kesukaran menemui spesies ini di habitat semulajadinya, maka banyak maklumat spesies ini yang masih perlu dikaji dan dilaporkan.

Scotophilus kuhlii (Leach, 1821) Kelawar Rumah (Rajah 1f)

Kelawar pemakan serangga ini ditemui menghuni di celahan pelepah/daun mati tumbuhan palma seperti Livistona chinensis. Spesies ini sering bersarang dalam satu koloni yang besar. Kelawar ini berstatus pemuliharaan Kurang Membimbangkan (LC) di bawah Kategori dan Kriteria Senarai Merah (IUCN) 2023.

Setiap spesies kelawar memerlukan persekitaran yang menyediakan sumber makanan dan perlindungan yang sesuai mengikut spesies. Persekitaran di PASP dilihat mampu menyediakan persekitaran yang sesuai dan seimbang. Justeru itu, dengan mengenali spesies kelawar dan habitatnya, kita akan dapat membantu pemuliharaan spesies ini di habitat semulajadinya seperti di Pusat Asasi Sains Pertanian, UPM.

Rajah 1: a) Cynopterus byachyotis; b) Eonycteris spelaea; c) Rousettus amplexicaudatus; d) Myotis muricula; e) Hypsugo macrotis; dan f) Scotophilus kuhlii

 

Senarai Rujukan Terpilih

Francis, C. M. (2019). Field guide to the mammals of South-East Asia (2nd ed.). London: Bloomsbury Wildlife.

 

Senawi, J. & Norhayati, A. (2021). Kelawar Malaysia / Bats of Malaysia. Kementerian Tenaga & Sumber Asli, Malaysia. pp. 80.

 

Marina, M.T., Chubo, J.K., Senawi, J., Nur Farrazuin, J. & Ahmad Badrulamin, A. R. (2021). Current status of bat diversity and conservation in Universiti Putra Malaysia and its forest reserves. Journal of Sustainability Science and Management, 16(7), 237-259. https://doi.org/10.46754/jssm.2021.10.018

Tarikh Input: 18/04/2023 | Kemaskini: 19/04/2023 | nurul

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
SXEcBAs~