Pendidikan STEM: Cabarannya Di Malaysia | PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » Pendidikan STEM: Cabarannya di Malaysia

Pendidikan STEM: Cabarannya di Malaysia

Pada 28 Februari 1991, melalui penyampaian kertas kerja yang bertajuk Laluan ke Depan (The Way Forward), Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menghuraikan sembilan matlamat utama Wawasan 2020 dan cabaran yang mesti diatasi. Salah satu matlamat tersebut adalah untuk mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan. Dalam menuntut keberhasilan Wawasan 2020, Malaysia bukan sahaja memerlukan sumber manusia yang berkualiti bahkan perlu kecukupan kuantiti modal insan dalam bidang sains dan teknologi.

 

Sejak tahun 1967, kerajaan Malaysia mensasarkan kadar peratusan 60:40 iaitu nisbah penyertaan pelajar dalam aliran sains berbanding sastera untuk tujuan tersebut. Semenjak itu, polisi nisbah 60:40 telah diamalkan dalam sistem pendidikan negara sehingga kini. Tambahan pula, Dasar Pendidikan Kebangsaan telah menitikberatkan agar sekolah menengah dapat mencapai nisbah 60:40 tersebut. Kementerian Pendidikan Malaysia seterusnya telah menghasilkan satu Pelan Pembangunan Pendidikan 2001-2010 sebagai persiapan kearah merealisasikan Wawasan 2020. Fokus utama Pelan Pembangunan Pendidikan 2001-2010 adalah kepada isu dan cabaran pendidikan di Malaysia dalam jangka masa 10 tahun dengan hasrat untuk melahirkan rakyat yang berketerampilan terutamanya dalam bidang sains dan teknologi.

 

Sebuah penulisan artikel dari Sains Humanika keluaran 2014 yang bertajuk "Faktor penyumbang kepada kemerosotan penyertaan pelajar dalam aliran sains: Satu analisis sorotan tesis" yang melakukan sorotan kajian ke atas sejumlah tesis pasca siswazah bagi tahun 2001 - 2010 telah mengenalpasti punca masalah kekurangan penglibatan pelajar yang memilih aliran sains. Menurut artikel dari Sains Humanika ini menyatakan bahawa sungguhpun pihak kerajaan telah sedaya upaya menggubal dasar sedia ada, memperkenalkan pelbagai pelan tindakan serta menambahbaik pendekatan demi memperbaiki masalah ketidakcapaian nisbah 60:40 pelajar sains:sastera, namun hasil yang diperolehi adalah jauh dari yang disasarkan. Menurut statistik peratusan penyertaan pelajar sekolah menengah dalam pelbagai aliran semenjak 1981 - 2010 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia menunjukkan bahawa nisbah 60:40 tidak pernah tercapai!

 

Selain daripada jumlah penyertaan pelajar yang tidak mencapai sasaran, lebih membimbangkan lagi apabila dapatan program penilaian antarabangsa PISA dan TIMSS yang melaporkan kemerosotan pencapaian sains dan matematik di Malaysia. Menurut sebuah penulisan artikel yang diterbitkan Malaysian Journal of Society and Space keluaran 2016 yang bertajuk "Memperkasa pembangunan modal insan Malaysia di peringkat kanak-kanak: Kajian kebolehlaksanaan dan kebolehintegrasian pendidikan STEM dalam kurikulum PERMATA Negara" menyatakan bahawa kedudukan Malaysia dalam dapatan TIMSS dan PISA adalah jauh ketinggalan. Artikel itu melaporkan bahawa peratusan murid Malaysia gagal mencapai tanda aras minimum dalam Matematik adalah hampir 60%, manakala sejumlah 43% murid tidak mencapai tanda aras minimum dalam Sains.

 

Hal ini menyebabkan kerajaan telah menyemak semula sistem pendidikan negara dan membina pelan perancangan jangka panjang dengan memberi penekanan utama terhadap pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Laporan Bernama pada 9 April 2015 bahawa Kementerian Pendidikan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 akan melaksanakan pelbagai strategi pengukuhan bagi mata pelajaran STEM dalam usaha melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang itu untuk kepentingan negara.

 

Saya pula berpendapat bahawa untuk menyelesaikan masalah STEM negara dan meningkatkan minat pelajar, strategi melalui pendekatan pembelajaran yang berpusatkan pelajar dan melalui penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi didalam dan diluar bilik darjah boleh digunakan dan mampu menghasilkan pembelajaran bermakna (meaningful learning). Walaubagaimanapun, pembelajaran bermakna dengan strategi tersebut adalah efektif jika nisbah guru sains dan matematik kepada bilangan pelajar sains dan matematik adalah optimum. Seterusnya, pembelajaran bermakna juga boleh berlaku dengan cemerlang melalui usaha untuk membuka lebih banyak kelas sains dan matematik yang mempunyai saiz kelas yang lebih kecil. Persekitaran yang kondusif sebegini mampu menyediakan ruang dan masa yang signifikan bagi guru untuk membantu pelajarnya memahami konsep sains dengan lebih mendalam dan menguasai kemahiran proses sains yang penting. Guru juga berpeluang untuk menganalisis dan mentaksir pencapaian dan penguasaan setiap pelajar secara berterusan dalam memastikan minat kepada sains dan matematik senitasa mekar di jiwa pelajar. Bahkan, dengan strategi mengecilkan nisbah guru:pelajar dan saiz kelas juga mampu untuk menyelesaikan kemelut penempatan lambakan graduan guru sains dan matematik.

 

Rujukan: Indahnya Integer: Inspirasi Melalui Kehidupan Seharian. Sains-lah Vol. 2, MajalahSains, 2017.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tarikh Input: 19/03/2022 | Kemaskini: 19/03/2022 | hasniah

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
SXEcGA3~