Penemuan Benua Ke-8: Zealandia | PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » Penemuan Benua ke-8: Zealandia

Penemuan Benua ke-8: Zealandia

Kebanyakan kita mengetahui bumi ini hanya mempunyai tujuh benua iaitu Asia (terbesar), Afrika, Amerika Utara, Amerika Selatan, Antartika, Eropah dan Australia (terkecil). Tahukah anda, pada tahun 2017, sekumpulan ahli geologi dari Institute of Geological and Nuclear Science Limited (GNS Science), New Zealand telah mengumumkan penemuan benua ke-8 iaitu Zealandia atau dalam bahasa Maori, Te Riu-a-Maui. Hasil kajian geologi mengenai Zealandia yang diketuai oleh Nick Mortimer telah diterbitkan dalam Journal ‘Geological Society of America’ pada tahun itu. Benua ini berkeluasan kira-kira 4.9 juta km persegi (1.89 juta batu persegi) adalah yang terkecil dan termuda di dunia bersamaan dengan kira-kira dua pertiga saiz benua Australia dan enam kali ganda Pulau Madagascar (benua mikro). Selain New Zealand, benua ini juga merangkumi sebuah pulau jajahan Perancis iaitu New Caledonia dan dua pulau kecil di wilayah Australia iaitu Pulau Lord Howe dan Ball’s Pyramid. Bagaimana pulau-pulau yang berasingan ini boleh dipanggil benua sedangkan kesemua pulau ini kelihatan sangat kecil untuk membentuk benua dan terserak jauh antara satu sama lain. Yang tersembunyi selama ini akhirnya kelihatan...

 

Struktur Bumi dan Ciri-ciri Benua

Bumi mempunyai tiga lapisan utama iaitu teras, mantel dan kerak (gambar di bawah). Kerak bumi merupakan lapisan bumi yang paling luar terdiri dari struktur batuan yang melapisi mantel yang mengandungi leburan magma di dalamnya. Kerak bumi yang berketumpatan lebih rendah berbanding dengan lapisan lebih dalam terbahagi kepada dua jenis kerak yang membentuk beberapa plat tektonik iaitu kerak benua dan kerak lautan.

Tiga lapisan utama struktur bumi: teras (dalam dan luar), mantel dan kerak (sumber gambar: Laman sesawang Science Learning Hub)

 

Plat tektonik sentiasa bergerak dan bergeseran antara satu sama lain disebabkan oleh aktiviti aktif magma di bawahnya menyebabkan berlakunya gempa bumi dan letusan gunung di sempadan plat yang hampir keseluruhan terletak di Lingkaran Api Pasifik (gambar di bawah). Disebabkan ini, bentuk muka bumi berubah secara perlahan dan sempadan plat beralih ke kedudukan baharu.

Lingkaran Api Pasifik: wilayah di sebahagian besar pinggir lautan Pasifik di mana 90% gempa bumi dan letusan gunung berapi berlaku (sumber gambar: Wikipedia)

 

Ahli geologi telah mencapai kata sepakat mengenai takrifan benua iaitu daratan utama bumi termasuk daratan kering dan pelantar benua (dasar laut cetek berhampiran pantai). Ia mempunyai kawasan geologi yang luas, lebih tinggi dengan pelbagai jenis batuan serta mempunyai kerak yang tebal, besar dan lebih tua usianya. Secara umumnya, benua mempunyai semua sifat berikut: (1) Ketinggian: Tanahnya lebih tinggi berbanding kawasan yang diliputi kerak lautan. (2) Geologi: Pelbagai jenis batuan sebahagian besarnya daripada granit dan sedikit basalt. Granit mempunyai ketumpatan lebih rendah yang mana tidak terdapat dalam lapisan kerak lautan yang mana basalt batuan utamanya. (3) Struktur Kerak: Keraknya yang lebih tebal dengan halaju seismik yang lebih rendah berbanding kawasan kerak lautan. Kerak benua biasanya mempunyai ketebalan 30-70 km, manakala ketebalan kerak lautan hanya 5-10 km; dan (4) Sempadan dan Keluasan: Sempadan yang jelas meliputi kawasan yang cukup besar untuk dianggap sebagai benua bukannya serpihan benua (benua mikro).

 

Benua Zealandia dan Evolusi Geologinya

Menurut dapatan dari kajian Mortimer dan pasukannya, Zealandia terdiri dari kerak benua dengan keluasan 4.9 juta km persegi adalah cukup besar jika dibandingkan dengan keluasan benua mikro dan pecahan benua yang membentuk pulau, dilengkapi dengan sempadan geografi dan struktur geologi yang jelas, secara takrifan dan sifatnya memenuhi kriteria sebuah benua. Benua Zealandia telah dilaporkan secara saintifik pada 2017 oleh pasukan beliau bertajuk ‘Zealandia: Earth Hidden Continent’ dalam Jurnal ‘Geological Society of America’. Benua ini terletak di barat daya Lautan Pasifik mempunyai batimetri tinggi berbanding dengan kerak lautan di sekelilingnya, pelbagai batuan dan kaya dengan silika, dan struktur kerak yang agak tebal dengan seismik berkelajuan rendah. Zealandia berada dalam kawasan tektonik yang sangat aktif dengan sebahagian benua berada dalam plat Australia manakala sebahagian lagi di plat Pasifik. Beratus juta tahun dahulu, Zealandia adalah sebahagian dari Gondwana iaitu sebuah benua super (benua besar) yang berpecah menjadi beberapa benua disebabkan aktiviti pergerakan plat-plat tektonik bumi. Kerak yang lebih tinggi seperti New Zealand, New Caledonia dah beberapa pulau lain terhasil dari pergerakan ini.

 

Sebenarnya, selama ini saya merasa hairan dengan kewujudan New Zealand yang begitu kecil dan terpencil jauh dari benua-benua lain. Seperti agak mustahil daratannya muncul begitu tanpa melalui sejarah yang panjang seperti yang berlaku di Alam Melayu atau Nusantara. Sebelum berakhirnya zaman ais, Nusantara dahulunya terdiri daripada Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera, Jawa, Bali, Madura, Borneo, Selatan Thai serta sebahagian Kemboja dan Vietnam bercantum membentuk Dataran Besar Sunda atau Pentas Sunda. Pada zaman itu, paras laut jauh lebih rendah dari paras sekarang dan kebanyakan dasar laut kini sebenarnya daratan luas pada masa lampau. Manusia pada waktu itu bebas bergerak dari tanah besar ke kepulauan yang lain dengan mudah. Namun, akibat daripada letusan gunung berapi Toba dan beberapa siri banjir besar yang berlaku semenjak lebih 60,000 tahun telah menyebabkan peningkatan suhu dunia. Suhu yang panas menyebabkan ais mencair dan sebahagian besar daratan Pentas Sunda tenggelam seperti sekarang.

 

Sudah pasti nasib yang sama turut menimpa benua Zealandia yang menenggelamkan hampir keseluruhan daratannya di bawah paras laut dengan hanya segelintir pulau kelihatan keluar berserakan dari kedalaman lautannya seperti New Zealand yang terletak di selatan Zealandia, New Caledonia di utara dan dua pulau kecil, Pulau Lord Howe dan Ball’s Pyramid terletak di bahagian barat. Percaya atau tidak, daratan ini hanyalah 6% dari keluasan benua Zealandia. Hari ini, 94% daratan Zealandia tenggelam disebabkan oleh kelonggaran terma dan keseimbangan isostatik kerak benua Zealandia akibat penipisan kerak yang meluas sebelum Zealandia terpecah dari benua besar Gondwana.

 

Imej Benua Zealandia Melalui Aplikasi Google Earth

Penggunaan teknologi data satelit membolehkan pemetaan kedalaman dasar laut. Jika kita amati imej peta dunia dalam aplikasi ‘Google Earth’ yang menggunakan data satelit, warna lautan menunjukkan warna biru yang berbeza. Tahukah anda kenapa warna lautan berbeza mengikut kedalamannya? Instrumen satelit yang menggunakan sumber cahaya nampak akan memberi warna imej yang sebenar. Cahaya nampak mempunyai spektrum warna dengan panjang gelombang yang berbeza. Air, pada asasnya menyerap cahaya yang berwarna merah, kuning dan hijau dan membenarkan cahaya biru melaluinya. Cahaya biru bergerak dengan panjang gelombang yang lebih pendek mengakibatkan julat cahaya ini terserak dengan lebih mudah dan menyebabkan laut kelihatan biru. Jika terdapat lebih banyak molekul air yang menghalangnya, lebih banyak zarah cahaya akan berlanggar dengannya dan berserakan, menjadikan air kelihatan lebih biru dengan kedalamannya. Kelihatan jelas kerak benua Zealandia (gambar di bawah) dan juga Pentas Sunda (gambar di bawah) yang mempunyai kedalaman laut yang cetek dengan imej berwarna biru muda berbanding Lautan Pasifik dan Lautan Hindi yang berwarna biru tua dan jurang (trench) berwarna biru kehitaman secara jelas menunjukkan dasar laut yang lebih dalam pada imej satelit.

Pentas Sunda atau Nusantara yang dahulunya tanah besar (sumber gambar: Google Earth)

 

Benua Zelandia yang tenggelam 94% dari daratannya (sumber gambar: Google Earth)

 

Sejarah Penemuan New Zealand dan Pencarian Benua Zealandia

Sebenarnya pencarian benua Zealandia ini telah dimulakan sejak sekian lama iaitu sejak penghujung zaman Kesultanan Melayu Melaka. Memang pada masa itu kononnya pedagang Eropah berlumba-lumba mencari tempat untuk berdagang walhal di sebalik misi itu kedatangan mereka ingin meluaskan empayar. Penjelajah Portugis dan Sepanyol memulakan ekspedisi di Lautan Pasifik pada tahun 1500-an. Mereka telah melakukan pelayaran berani dengan merentasi perairan yang belum dipetakan untuk mencari 'terra australis incognita' (tanah selatan yang belum ditemui) yang luas yang disangka wujud di Lautan Pasifik Selatan oleh orang Eropah. ‘Terra Australis’ atau Tanah Selatan dalam bahasa Latin adalah sebuah benua hipotesis yang pertama kali didokumenkan oleh Macrobius pada abad ke-5 berdasarkan teori pengimbangan tanah bahawa tanah benua di Hemisfera Utara yang harus diimbangi oleh tanah benua di Hemisfera Selatan.

 

Bukan lagi kisah dongeng, New Zealand akhirnya ditemui buat pertama kali pada 13 Disember 1642 oleh Abel Tasman, seorang penjelajah, pelaut dan pedagang Belanda dari Syarikat Hindia Timur Belanda. Selepas lima hari belayar ke utara kemudian ke timur, kapalnya berlabuh kira-kira 7 km dari pantai. Tasman telah menghantar dua buah sampan ke daratan untuk mencari air, malangnya sampan telah diserang oleh pahlawan puak Maori yang berasa terancam dengan kedatangan orang asing. Puak Maori merupakan orang asal yang menduduki New Zealand. Beberapa kelasi kapal Belanda juga telah terbunuh dalam pertempuran itu. Selepas pertemuan berdarah dengan puak Maori, kapal Tasman belayar pergi meninggalkan tempat itu yang dinamakannya Moordenaers' (Murderers') Bay yang kini dikenali dengan Golden Bay. Tidak lama selepas itu, tanah yang ditemui Tasman telah diberi nama Nieuw Zeeland oleh seorang pembuat peta Belanda. Sejak itu, tiada lagi kedatangan orang Eropah ke New Zealand direkodkan sehinggalah kedatangan James Cook pada tahun 1769, iaitu 127 tahun kemudian.

 

Selepas lebih seabad Tasman menemui New Zealand, Kerajaan British melalui Royal Society telah mengarahkan Leftenan James Cook, seorang pelayar dan pembuat peta Inggeris untuk mengetuai ekspedisi saintifik ke Lautan Pasifik Selatan. Cook tiba di Pulau Tahiti pada April 1769 untuk melunaskan matlamat pertama ekspedisinya iaitu merekodkan transit planet Zuhrah merentasi Matahari pada tahun itu bagi mengira jarak bumi dari Matahari. Fenomena seperti itu hanya berlaku empat kali dalam setiap 243 tahun. Semasa pelayaran itu, Cook membawa bersama satu sampul surat tertutup yang hanya boleh dibukanya setelah selesai tugas pertama. Surat tersebut mengandungi satu lagi misi rahsia untuk mendapatkan bukti mengenai ‘terra australis incognita’ (tanah selatan yang belum ditemui). Cook meneruskan pelayarannya dan menemui New Zealand pada 6 Oktober 1769. Dua hari kemudian, Cook mendarat di Poverty Bay. Pertemuan pertamanya dengan puak Maori tidak berakhir dengan baik kerana pergaduhan berlaku menyebabkan beberapa orang Maori terbunuh. Bagaimanapun, selepas itu Cook berjaya mendapat kepercayaan puak Maori untuk menduduki tempat itu. Cook telah berjaya melukis peta New Zealand dengan lengkap dan hampir tepat di samping membuat catatan mengenai orang Maori.

 

Pelayaran Cook pada waktu itu disertai dua ahli botani Joseph Banks dan Daniel Solander yang mengumpulkan banyak maklumat tentang tumbuh-tumbuhan di tempat itu di mana rekod mereka telah membentuk asas kajian botani moden New Zealand. Dapatan dari peta Cook pada ketika itu telah mengesahkan bahawa benua luas yang digembar-gemburkan oleh orang Eropah sebelum ini tidak wujud di Lautan Pasifik Selatan. Selepas lawatan pertama Cook, beberapa penjelajah lain seperti Perancis datang ke New Zealand untuk membuat kajian geografi, flora dan fauna. Bukti pertama kewujudan benua Zealandia dikumpul oleh James Hector, ahli geologi Scotland pada 1895. Beliau datang ke New Zealand beberapa tahun sebelum itu untuk mengkaji geologi batu dan mineral yang terdapat di Pulau Selatan, New Zealand. Hasil kajiannya mendapati New Zealand adalah sisa rantaian gunung yang membentuk puncak kawasan benua besar yang kini tenggelam. Pada 1995, ahli geofizik Amerika Bruce Luyendyk mencadangkan kumpulan kepingan kerak yang timbul dan tenggelam merangkumi New Zealand dan New Caledonia sebagai Zealandia yang mana telah terpisah dari Gondwana, sebuah benua super yang berusia 200 juta tahun. Pada waktu itu, dia tidak maksudkan Zealandia adalah sebuah benua. Akhirnya pada tahun 2017, dapatan yang dikumpulkan oleh kumpulan ahli geologi GNS New Zealand telah dapat membuktikan secara geologinya bahawa kerak di bawah air yang membentuk Zealandia memenuhi kriteria sebuah benua.

 

Menarik bukan? Motivasi pencarian benua Zealandia bermula dengan benua hipotesis berdasarkan teori tanah benua di Hemisfera Utara yang patut diimbangi dengan tanah di Hemisfera Selatan yang didokumenkan pada abad ke-5. Zealandia akhirnya telah dibuktikan kewujudannya secara saintifik oleh kumpulan ahli geologi New Zealand yang diketuai Nick Mortimer pada 2017 setelah penemuan pertama kepulauan New Zealand di Lautan Pasifik Selatan oleh Abel Tasman pada 1649, iaitu 368 tahun kemudian. Sudah pasti masih banyak rahsia yang belum terungkai mengenai kehidupan lampau dan khazanah yang masih terpelihara di bawah permukaan laut benua Zealandia. Bagi penyelidik, benua Zealandia yang baru ditemui bakal menyajikan banyak lagi penerokaan dan penemuan terutama dalam bidang geologi, sumber alam, botani dan alam sekitar walaupun penyelidikan di dasar laut bukanlah suatu yang mudah. Tetapi itulah motivasi.

 

Rujukan

  1. Mortimer, Nick, et al. "Zealandia: Earth’s hidden continent."
  2. GSA today 27.3 (2017): 27-35.
  3. 2. Luyendyk, Bruce P. "Hypothesis for Cretaceous rifting of east Gondwana caused by subducted slab capture." Geology 23.4 (1995): 373-376.
  4. https://www.bbc.com/future/article/20210205-the-last-secrets-of-the-worlds-lost-continent
  5. https://teara.govt.nz/en/european-discovery-of-new-zealand/page-5.
  6. https://nzetc.victoria.ac.nz/tm/scholarly/tei-OliVisi-t1-body-d1-d1-d2.html 6. https://www.ukm.my/atma/
  7. https://education.nationalgeographic.org/resource/zealandia
  8. https://www.sciencelearn.org.nz/images/346-earth-structure
  9. https://earth.google.com/web/
  10. https://www.wikipedia.org/

 

Penulis : Puan Nor Azah Abdul Aziz

             Pensyarah Fizik, ASPER

Tarikh Input: 03/10/2022 | Kemaskini: 03/10/2022 | emma

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
SXEcIAc~