Penyelesaian Masalah: Adakah Ianya Suatu Kaedah Yang Boleh Dipelajari? | PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » Penyelesaian Masalah: Adakah ianya suatu kaedah yang boleh dipelajari?

Penyelesaian Masalah: Adakah ianya suatu kaedah yang boleh dipelajari?

Penyelesaian Masalah: Adakah ianya suatu kaedah yang boleh dipelajari?

Prof. Madya Dr. Mohamad Amran bin Mohd Salleh (Fakulti Kejuruteraan, UPM)

 

Kehidupan manusia sering kali dikaitkan dengan masalah malah ianya telah menjadi sebahagian dari kehidupan. Tapi sebelum itu apa sebenarnya yang dikatakan masalah? Secara umumnya masalah didefinisikan sebagai suasana, orang atau benda yang perlu perhatian untuk diambil tindakan atau diselesaikan. Contohnya suasana tegang perlu dikendurkan, orang yang sakit perlu disembuhkan dan barang yang rosak perlu diperbaiki. Masalah juga boleh dikaitkan dengan perkara yang seumpamanya seperti kesulitan, kesilapan dan halangan ketika menjalankan tugas atau melaksanakan sesuatu perkara.

Manusia sememangnya tidak dapat terlepas daripada permasalahan dalam kehidupan seharian

(Eucalyp – Free Image from Flaticon.com)

Kepada yang membaca artikel ini sudah tentulah anda telah berada di suatu tahap kehidupan tertentu. Dalam perjalanan ke tahap kehidupan anda kini sudah tentu telah banyak masalah yang telah diharungi. Sebahagiannya berjaya diselesaikan dengan baik, sebahagian mungkin tidak dapat diselesaikan dan sebahagian lagi mungkin mencapai penyelesaian separa atau tertangguh lama untuk akhirnya diselesaikan. Bila kita melihat diri kita dan orang sekeliling dari segi penyelesaian masalah sudah tentu ada persamaan dan perbezaannya. Prestasi penyelesaian masalah juga boleh jadi berbeza; ada yang cepat, ada yang lambat, ada masalah selesai terus dan ada yang masalah yang sama kembali muncul. Jadi bagaimana kaedah anda dalam menyelesaikan masalah? Jika saya ingin melihat cara setiap orang menyelesaikan masalah sudah tentulah rumit kerana setiap orang ada acara mereka yang tersendiri. Jadi di sini saya cuma dapatkan kategorikan cara penyelesaian masalah setiap orang secara umum.

Yang pertama orang yang menyedari masalah malah boleh mencirikan masalah dengan tepat dan terperinci tetapi tidak mengambil sebarang tindakan untuk menyelesaikannya. Pelik bukan? Tidak,

ianya tidak pelik malah ianya perkara biasa. Pernahkan kita ingin mengurangkan berat badan, mengurangkan kolesterol dan seumpamanya tapi gagal mengambil sebarang langkah untuk mencapainya? Ini perkara yang biasa kita temui kan? Ataupun melakukan sesuatu untuk kebaikan alam sekitar seperti mengitar semula di rumah, melakukan pertanian bandar dan selainnya yang kita rasa alangkah baiknya jika kita dapat melakukannya tetapi terasa sukar sekali untuk melaksanakannya.

Yang kedua ialah berkait dengan situasi yang pertama. Kita cuba untuk menyelesaikan masalah tersebut tetapi kandas di pertengahan jalan dan menyerah kalah. Berapa ramai dikalangan kita yang cuba melakukan diet sihat tapi hanya boleh bertahan beberapa minggu sahaja? Malah ada gurauan hari ini hari ‘cheat day’ ataupun berkata diet saya hanya bermula esok untuk melantak dengan aman pada hari ini. Lucu tapi benar. Malah untuk masalah yang lebih serius seperti untuk mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan ataupun pencapaian yang baik dalam pekerjaan. Ada diantara kita yang menyerah kalah. Gagal di separuh jalan pengajian. Berhenti kerja atau dibuang kerja kerana tidak mencapai sasaran yang ditetapkan.

Yang ketiga ialah orang yang hanya tahu mengkritik bila melihat sesuatu masalah, malah akan mengkiritik cara orang yang mencuba menyelesaikan masalah tersebut. Ini pun fenomena biasa dalam organisasi, masyarakat dan kerja berkumpulan. Selalunya orang ini akan mengelak dari cuba menyelesaikan masalah tersebut walaupun kononnya mempunyai pelbagai idea untuk menyelesaikannya. Mungkin dia sendiri tidak yakin dengan kritikannya. Adakah anda masuk dalam kategori ini?

Yang keempat orang yang segera cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi. Mereka tidak akan berpeluk tubuh, menyerah kalah ataupun sekadar mengkritik seperti kumpulan sebelumnya diatas dan terus berusaha hingga masalah selesai. Selalunya penyelesaian yang dilakukan berdasarkan pengalaman sendiri atau orang sekeliling. Kebanyakan kita tergolong dalam golongan ini. Jika kita lihat balik ke belakang kehidupan kita, sudah tentu banyak masalah yang kita telah selesaikan. Jika masalah itu berulang, kita dapat menyelesaikannya dengan lebih cepat dan lebih sempurna kerana pengalaman telah mengajar kita bagaimana untuk menyelesaikannya. Tetapi jika menghadapi masalah baru, kita akan mengambil masa kerana tanpa pengalaman kita mungkin memilih penyelesaian yang kurang tepat. Orang kata belajar lah dari kesilapan. Tetapi alangkah baiknya jika kita dapat mengurangkan kesilapan tersebut melalui perancangan yang baik.

Yang kelima ialah orang yang menyelesaikan masalah dengan kaedah penyelesaian masalah yang teratur. Walaupun kita sudah biasa dengan kaedah menyelesaikan masalah tertentu mengikut pengalaman lalu tetapi bila menghadapi masalah baru kita akan mencuba sahaja penyelesaian yang kita terfikir mungkin melalui gerak hati. Adakah cara yang lebih baik untuk menyelesaikan masalah baru ataupun masalah lama? Kadangkala kita sendiri pun tidak berpuashati dengan penyelesaian masalah yang berulang walaupun hasilnya masih boleh diterima pakai.

Terdapat beberapa kaedah penyelesaian masalah yang boleh digunakan oleh manusia dalam kehidupan seharian

(Eucalyp – Free Image from Flaticon.com)

Saya tidak dapatkan mencirikan kaedah penyelesaian masalah yang lebih moden dan teratur berbanding cara biasa kita menyelesaikan masalah pada artikel kali ini. Malah saya merancang untuk menulis berkenaan topik ini sepenuhnya melalui beberapa siri penulisan. Untuk kali ini, saya akan menceritakan kaedah penyelesaian tersebut secara umum. Sebelum itu saya ingin tekankan penyelesaian masalah secara berkaedah ini diamalkan oleh semua syarikat ternama dunia samada dilaksanakan sendiri atau melalui perunding.

Orang yang menyelesaikan masalah dengan baik akan terlebih dulu memikirkan punca asal masalah tersebut dan merancang pelan tindakan yang berkesan, melaksanakan pelan tindakan tersebut dan seterusnya sentiasa menilai dan mengawasi segala tindakan yang dilakukan. Mereka juga tidak takut untuk mengubah pelan tersebut sekiranya cabaran timbul ketika melaksanakannya. Dengan car aini, mereka bukan sahaja menyelesaikan masalah tetapi dapat melakukannya dengan lebih cepat dan menemui penyelesaian yang paling memuaskan. Penyelesai masalah yang baik bukan  sahaja mempunyai perancangan dan tindakan tetapi juga mempunyai ciri sikap positif, kepimpinan, kreatif, tekun, bekerja dalam pasukan, mesra dan sentiasa memperbaiki diri.

Jadi, bagaimana untuk mengesan punca asal masalah dan merancang pelan tindakan yang berkesan? Tunggu artikel saya yang seterusnya ya. Saya berharap artikel mukadimah berkenaan penyelesaian masalah yang ringkas ini dapat membuka mata kita semua tentang pentingnya cara penyelesaian masalah yang baik.

Wassalam.

Tarikh Input: 14/12/2022 | Kemaskini: 14/12/2022 | hasniah

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
SXEbWAU~