Asasi Education Fair Lubuk Infomasi Bidang Pengajian Di UPM | PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » Asasi Education Fair Lubuk Infomasi Bidang Pengajian di UPM

Asasi Education Fair Lubuk Infomasi Bidang Pengajian di UPM

SERDANG – Pusat Asasi Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Asasi Education Fair 2019 pada 27 Februari 2019. Asasi Education Fair merupakan program tahunan bagi Pusat Asasi Sains Pertanian dan kini merupakan penganjuran bagi tahun kelapan yang mana ianya bermula dari Tahun 2012.

 

Asasi Education Fair 2019 ini telah berlangsung di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Universiti Putra Malaysia bermula dari jam 8.30 pagi sehingga 4.30 petang. YBhg.Prof Dr. M. Iqbal Saripan, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) turut hadir sebagai tetamu jemputan dan satu sesi hadiah cabutan bertuah turut disampaikan oleh beliau.

 

Asasi Education Fair 2019 menawarkan pameran program-program yang ditawarkan di UPM di mana fakultid dan wakil PTJ akan berada di dewan sepanjang hari untuk memberi rundingan terus kepada pertanyaan berkaitan program-program prasiswazah yang ingin diikuti di UPM. Tujuan utama penganjuran Asasi Education Fair 2019 ini adalah untuk membantu pelajar-pelajar Pusat Asasi Sains Pertanian, UPM yang akan menamatkan Program Asasi Sains Pertanian untuk mendapatkan infomasi mengenai program bacelor yang ditawarkan di UPM. Namun, program yang memberi manfaat juga kepada orang luar dan boleh dikatakan sebagai program serampang dua mata ini turut menjemput pengunjung dari sekolah-sekolah dan pelajar-pelajar matrikulasi bagi mempromosikan UPM.

 

Program satu hari ini dapat memberi peluang kepada pelajar untuk bertanya terus kepada pihak fakulti mengenai program yang ditawarkan terutama berkaitan syarat kemasukan, kadar yuran dan penerangan secara terperinci program yang ditawarkan. Yang menarik tentang program Asasi Sains Pertanian ialah pelajar lepasan asasi UPM boleh melanjutkan pengajian ke mana-mana program bacelor yang ditawarkan di UPM dan berdasarkan kepada syarat-syarat umum universiti dan syarat khusus program di fakulti.

 

Tarikan utama program Asasi Education Fair 2019 ini, selain diadakan booth pameran wakil dari setiap fakulti di UPM, terdapat juga booth dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar berkaitan penajaan (biasiswa) dan Seksyen Kaunseling Pelajar yang akan mengadakan Slot Kenali Kecenderungan Minat Pelajar bagi membantu pelajar membuat pilihan program bacelor yang bersesuaian dengan minat dan kemampuan. Sering terjadi pelajar berada dalam keadaan dilemma memilih program bacelor yang akan diikuti sebaik menamatkan program asasi. Banyak faktor yang mendorong kepada pemilihan program seperti hasrat ibu ayah, mengikut kawan atau memilih program yang dirasakan ‘glamer’ tetapi program-program ini tidak selari dengan kemampuan apatah lagi minat pelajar. Hal yang demikian boleh mengakibatkan pelajar tidak dapat menunjukkan prestasi yang baik dalam akademik dan dikhuatiri boleh mengakibatkan pelajar terkandas di pertengahan dan tidak mampu bergraduat.

 

Kelainan Asasi Education Fair 2019 kali ini, di mana booth Pusat Asasi Sains Pertanian turut menampilkan aktiviti berkisar STEM bagi menarik minat lebih ramai lepasan SPM dan pelajar sekolah mensasarkan program aliran sains di peringkat Universiti. Ini bersandarkan kepada petikan Utusan Malaysia, 5 Julai 2017 menyatakan ‘Pengukuhan STEM merupakan inisiatif utama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, namun hanya 47 peratus pelajar mengikuti aliran STEM di negara ini’. Selari dengan perkara ini, menerusi aktiviti-aktiviti berbentuk eksperimentasi mudah yang menekankan konsep sains dapat mengubah persepsi pelajar terhadap aliran sains. Program ini turut mendapat kelulusan penganjuran dari Kementerian Pendidikan Malaysia.

 

Selain itu, slot taklimat bersama pihak fakulti sepanjang hari yang akan diadakan khusus untuk pengunjung yang dikendalikan oleh moderator yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah Pusat Asasi Sains Pertanian. Pengunjung yang datang boleh juga berinteraksi dengan alumni Program Asasi Sains Pertanian dan staf mengenai UPM dan Pusat Asasi Sains Pertanian secara khususnya.

 

Pengarah Pusat Asasi Sains Pertanian, Prof. Dr. Norihan Md. Arifin berkata program tahunan Pusat Asasi Sains Pertanian ini turut menjadi salah satu mekanisma bagi mempromosikan UPM kepada masyarakat khususnya kepada pelajar lepasan sekolah dan matrikulasi bagi menyambung pengajian di UPM dalam Program Asasi Sains Pertanian dan program-program bacelor di fakulti. Lepasan SPM boleh mengetahui syarat kemasukan dan keistimewaan Program Asasi Sains Pertanian yang nyata berbeza berbanding program Asasi di tempat lain.

 

Sambutan yang sangat hebat dari program Asasi Education Fair pada tahun-tahun sebelumnya membuatkan aktiviti ini menjadi program wajib yang memberi nilai tambah kepada pelajar dan masyarakat luar. Rata-rata maklum balas positif dari pengunjung membuatkan Pusat Asasi Sains Pertanian melebarkan jemputan ke sekolah sekitar Negeri Selangor. Pengunjung yang hadir sangat berpuas hati dapat berinteraksi secara terus dengan pihak fakulti bagi mendapatkan gambaran atau perancangan untuk pelajar melanjutkan pengajian di menara gading.

 

Bagi menarik lebih ramai jemputan di kalangan pelajar, cabutan bertuah turut diadakan khusus untuk pelajar Program Asasi Sains Pertanian dan hadiah utama merupakan basikal dan barangan-barangan cenderamata yang bersesuaian. Namun, tidak dilupakan kepada pengunjung, slot Kuiz untuk Pengunjung turut diadakan dan menawarkan hadiah-hadiah menarik.

 

Selain itu, pengunjung juga boleh mendapatkan barangan cenderamata UPM yang turut dijual oleh Koperasi UPM dan infomasi berkaitan penajaan, zakat dan biasiswa turut boleh diperoleh dari staf bertugas di booth Bahagian Hal-Ehwal Pelajar dan Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen. (WAZAN).

 

Disediakan oleh:

Pn. Che Zailawati Abdul Ghani.

 

Tarikh Input: 04/03/2019 | Kemaskini: 15/04/2019 | hasniah

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
SXEaTAP~