
Setiap hari, kita menyentuh pelbagai objek—meja, telefon pintar, pintu, malah mungkin kulit manusia lain. Namun, dari sudut pandangan fizik, timbul satu persoalan menarik: adakah kita benar-benar menyentuh apa-apa, atau adakah sentuhan itu sekadar satu ilusi? Pada skala yang dapat dilihat oleh mata kasar, sentuhan kelihatan jelas dan nyata. Namun, apabila kita meneliti dunia pada skala atom, persepsi ini berubah sepenuhnya.
Semua benda di sekeliling kita terdiri daripada atom, dan atom itu sendiri kebanyakannya adalah ruang kosong [1]. Di tengah setiap atom terdapat nukleus yang sangat kecil dan padat, dikelilingi oleh awan elektron yang sentiasa bergerak dan tidak mempunyai kedudukan tetap [2]. Saiz atom yang sebenar jauh lebih besar berbanding nukleusnya, menjadikan kebanyakan isipadu atom terdiri daripada ruang kosong. Apabila jari kita kelihatan “menyentuh” sesuatu permukaan, atom-atom dalam kulit kita sebenarnya tidak pernah bersentuhan secara langsung dengan atom objek tersebut. Sebaliknya, elektron pada permukaan jari dan elektron pada permukaan objek saling menolak antara satu sama lain akibat daya elektromagnet [3]. Daya tolakan inilah yang menghasilkan sensasi sentuhan yang kita rasai.
Sifat sesuatu objek—sama ada keras atau lembut—bergantung kepada susunan atom-atomnya dan bagaimana daya antara atom bertindak balas terhadap tekanan [4]. Dinding terasa keras kerana atom-atomnya tersusun rapat dan menghasilkan daya tolakan yang kuat apabila ditekan. Sebaliknya, tilam terasa lembut kerana strukturnya membolehkan atom-atom bergerak sedikit, lalu menyerap sebahagian daya yang dikenakan [5]. Fenomena ini juga menjelaskan mengapa tangan kita tidak dapat menembusi meja walaupun atom kebanyakannya terdiri daripada ruang kosong. Tolakan elektromagnet antara elektron bertindak sebagai satu “perisai tidak kelihatan” yang menghalang atom daripada bertindih antara satu sama lain [3,6]. Prinsip mekanik kuantum, termasuk prinsip pengecualian Pauli, turut memainkan peranan penting dalam memastikan elektron tidak boleh berada dalam keadaan kuantum yang sama [7].
Kesimpulannya, mengikut hukum fizik, kita sebenarnya tidak pernah menyentuh apa pun. Apa yang kita tafsirkan sebagai sentuhan ialah kesan daya asas alam semesta yang bertindak pada skala atom. Di sebalik pengalaman harian yang kelihatan biasa, tersembunyi satu realiti fizik yang menakjubkan dan mencabar pemikiran manusia.
Rujukan
Penulis: Dr. Emma Ziezie Mohd Tarmizi
Unit Fizik, ASPutra
Tarikh Input: 01/02/2026 | Kemaskini: 09/02/2026 | emma

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor