Pencerobohan Senyap Di Sungai Malaysia | PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » Pencerobohan Senyap di Sungai Malaysia

Pencerobohan Senyap di Sungai Malaysia

Sungai dan tasik di Malaysia kaya dengan fauna semulajadi, namun di bawah permukaannya  sedang berlaku suatu pencerobohan senyap. Spesies ikan asing yang pada asalnya dibawa masuk melalui akuakultur, perdagangan akuarium, atau pelepasan tidak sengaja kini telah merebak dengan pantas dan mengubah ekosistem akuatik negara kita.

Salah satu penceroboh yang paling terkenal ialah ikan penyedut (Hypostomus plecostomus, Pterygoplichthys spp) atau lebih dikenali sebagai Ikan Bandaraya. Ikan ini berasal dari Amerika Selatan dan ikan berperisai ini kini menghuni banyak sungai di Malaysia. Mereka menggali tebing berpasir untuk bertelur dan melindungi anak-anaknya, tetapi tindakan ini melemahkan struktur tebing sungai sehingga menyebabkan hakisan. Dengan kadar pembiakan yang cepat dan tahan lasak, ikan ini menguasai sungai serta tasik yang mana sekali gus menyebabkan ikan tempatan kehilangan habitat dan sumber makanan. Lebih membimbangkan, anggaran menunjukkan terdapat 100,000 ekor. populasi ikan ini di Semenanjung Malaysia.

Masalah lain juga datang daripada ikan yang dikenali tempatan sebagai Keli Afrika (Clarias gariepinus). Spesies ini telah diperkenalkan ke Malaysia untuk pada awalnya untuk tujuan penternakan. Spesies ini kini menjadi antara spesies penceroboh dan perosak dalam ekosistem air tawar negara. Setelah ikan ini terlepas ke perairan,  spesies tempatan seperti keli kayu (Clarias batrachus) mula mengalami kemerosotan populasi kerana ikan keli Afrika membesar dengan lebih cepat dan lebih pantas berbanding keli tempatan Malaysia. Kehadiran keli Afrika di Malaysia merupakan contoh jelas bagaimana spesies yang diperkenalkan dengan pendekatan baik boleh berubah menjadi ancaman terhadap ekologi. Tabiat pemangsaannya, persaingan, serta gangguan terhadap ekosistem menekankan keperluan kepada polisi pengurusan yang lebih ketat dan amalan akuakultur yang lebih bertanggungjawab. Tanpa pengurusan yang rapi, ikan keli Afrika akan terus mengubah ekosistem air tawar Malaysia, mengurangkan kepelbagaian biologi dan menjejaskan komuniti yang bergantung kepada sumber air ini untuk kelangsungan hidup mereka.

Tilapia (Oreochromis spp) berasal dari Afrika dan Timur Tengah, khususnya Lembangan Sungai Nil serta tasik-tasik di Afrika Timur. Dari kawasan asalnya, tilapia telah tersebar ke seluruh dunia untuk tujuan akuakultur kerana ia membesar dengan cepat, tahan terhadap kualiti air yang rendah dan mudah dibiakkan. Kini, ia telah menjadi salah satu spesies invasif paling dominan dalam perairan semula jadi di Malaysia. Populasi tilapia telah berkembang dengan begitu pesat sehingga meyebabkan persaingan habitat dengan ikan-ikan ikonik tempatan seperti kelah (Tor tambroides), haruan (Channa striata), temoleh (Probarbus jullieni), arowana dan banyak lagi. Keadaan ini menyebabkan spesies-spesies ikan berharga ini di ambang kepupusan serta memaksa mereka berjuang untuk mendapatkan ruang, makanan dan kelangsungan hidup di habitat asal mereka sendiri.

Kisah ikan invasif di Malaysia akhirnya menjadi satu amaran. Setelah spesies asing ini menguasai sesuatu kawasan, mereka sukar dihapuskan. Namun, dengan kewaspadaan dan kerjasama, masih ada peluang untuk memastikan sungai dan tasik di Malaysia terus hidup dengan kepelbagaian yang menjadikannya unik.

Apa yang boleh kita lakukan untuk membantu?

Sebagai rakyat biasa, kita boleh membantu mengurangkan kesan ikan invasif di Malaysia dengan mengelakkan pelepasan ikan akuarium ke dalam sungai dan tasik, menyertai aktiviti memancing komuniti yang menyasarkan ikan-ikan invasif ini disamping menyebarkan kesedaran tentang bahayanya kehadiran ikan invasif kepada orang ramai. Tindakan kecil seperti melaporkan penemuan ikan luar biasa kepada Jabatan Perikanan Malaysia atau menyokong dana projek pemuliharaan ikan tempatan boleh memberikan impak yang besar kepada kelestarian Khazanah Sungai di Malaysia.

Don’t release, protect our rivers, protect our future.

Rujukan:
Saba, A. O., Ismail, A., Zulkifli, S. Z., Ghani, I. F. A., Halim, M. R. A., Ibrahim, M. A., Mukhtar, A., Aziz, A. A., Wahid, N. A. A., & Amal, M. N. A. (2021). Invasion Risk and Potential Impact of Alien Freshwater Fishes on Native Counterparts in Klang Valley, Malaysia. Animals, 11(11), 3152. https://doi.org/10.3390/ani11113152


Saba, A. O., Rasli, N. F., Ismail, A., Zulkifli, S. Z., Ghani, I. F. A., Muhammad-Rasul, A. H., & Azmai Amal, M. N. (2020). A report on introduced Amazon sailfin catfish, Pterygoplichthys pardalis in Gombak Basin, Selangor, with notes on two body patterns of the species. Pertanika Journal of Tropical Agricultural Science, 43(4), 693–703. https://doi.org/10.47836/pjtas.43.4.19

Low, B. W., Liew, J. H., Tan, H. H., Ahmad, A. B., Zeng, Y., & Yeo, D. C. J. (2022).
The invasion and impacts of the African sharptooth catfish (Clariidae: Clarias gariepinus) in the Malay Peninsula. Freshwater Biology, 67(11). https://doi.org/10.1111/fwb.13984

Yunus, A. (2024, October 24). Attack of the Monster fish. The Star, https://www.thestar.com.my/news/nation/2024/10/26/attack-of-the-monster-fish

Penulis: Dr. Nadiatul Hafiza Binti Hassan

            Unit Biologi, Pusat Asasi Sains UPM

Tarikh Input: 11/09/2025 | Kemaskini: 12/09/2025 | emma

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
X, (08:14:48am-08:19:48am, 14 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]