|
Tindakan segelintir pasangan pengantin meletakkan kod imbasan akaun bank (QR) di meja tetamu bagi sumbangan tunai sempena majlis perkahwinan mencetuskan perdebatan hangat di media sosial. Adat salam kaut biasanya dilakukan oleh ibu bapa pengantin dengan salam dan senyuman dengan tetamu akan hilang terus manisnya suatu hari nanti. Majlis kenduri kahwin pada asalnya ialah tanda kesyukuran dan bukan tempat untuk mencari pulangan, maka hilanglah nilai ibadah dan keberkatannya.
Kita tinggalkan isu pengantin tadi. Mari kita lihat sejarah perubahan dari penggunaan Kod bar 1D ke QR atau Quick Response. Kod bar 1D diperkenalkan pada tahun 1970 an dan menjadi salah satu kemajuan penting dalam bidang peruncitan serta logistik. Ia terdiri daripada siri garisan hitam menegak dan ruang kosong dengan lebar yang berbeza. Setiap corak mewakili nombor atau huruf yang mengenal pasti sesuatu produk. Apabila diimbas menggunakan laser, kod bar memberikan maklumat seperti kod produk dan harga, sekali gus mempercepatkan proses pembayaran dan kawalan inventori. Sistem ini digunakan secara meluas kerana ia mudah dan tepat. Namun, kod bar 1D mempunyai had tertentu. Ia hanya boleh menyimpan sedikit data biasanya sekitar 25 aksara dan mesti diimbas dalam satu arah sahaja. Jika kod bar rosak, berkedut, atau sebahagiannya tertutup, ia sukar atau tidak dapat dibaca. Untuk mengatasi kelemahan ini, Masahiro Hara, seorang jurutera Jepun yang mencipta kod QR pada tahun 1994 untuk syarikat Denso Wave. Konsepnya diinspirasikan oleh permainan papan Jepun yang dipanggil Go, di mana terdapat corak batu hitam dan putih yang tersusun. Ia merupakan versi dua dimensi bagi kod bar yang boleh menyimpan maklumat secara mendatar dan menegak. Reka bentuk ini membolehkan kod QR menyimpan ribuan aksara jauh lebih banyak berbanding kod bar 1D.
|
Sumber: Gambar Internet |
![]() |
Ia boleh mengandungi teks, pautan laman web, maklumat hubungan, atau data pembayaran. Kod QR juga direka dengan pembetulan ralat, yang membolehkan ia tetap dibaca walaupun sebahagian kod rosak atau hilang. Satu lagi kelebihan ialah ia boleh diimbas dengan mudah menggunakan kamera telefon pintar tanpa memerlukan pengimbas khas. Pada masa kini, kod QR digunakan dalam pelbagai bidang seperti pembayaran dalam talian, penjejakan produk, tiket acara, menu digital, dan pemasaran. Sementara itu, kod bar 1D tradisional masih digunakan secara meluas di pasar raya, gudang, dan pembungkusan produk kerana ia ringkas, murah, dan sesuai untuk pengenalan asas. Kesimpulannya, kod bar 1D mewakili asas kepada sistem pengenalan automatik, manakala kod QR ialah versi moden yang direka untuk dunia digital dan saling berhubung. Kedua-duanya memainkan peranan penting dalam memastikan maklumat dapat disimpan, dikongsi, dan diakses dengan mudah. Walaupun kod bar dan kod QR ialah ciptaan moden, Islam sangat menggalakkan umatnya menuntut ilmu dan menggunakan pengetahuan untuk kebaikan. Rasulullah SAW bersabda:
|
Rujukan :
Link: https://www.tatiuc.edu.my/ijset/index.php/ijset/article/view/247
Pensyarah Kanan
Gs. Dr. Ya'akob Mansor
e-mel : yaakobms@upm.edu.my
Tarikh Input: 06/11/2025 | Kemaskini: 12/11/2025 | hasniah

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor