BICARA ILMU: PERKONGSIAN PENGALAMAN PROGRAM KEBAJIKAN DAN INFAQ | PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» BERITA » BICARA ILMU: PERKONGSIAN PENGALAMAN PROGRAM KEBAJIKAN DAN INFAQ

BICARA ILMU: PERKONGSIAN PENGALAMAN PROGRAM KEBAJIKAN DAN INFAQ

Program berorientasikan komuniti dan kemasyarakatan semakin dekat di hati rakyat Malaysia masa kini terutama apabila menjurus kepada program kebajikan untuk membantu golongan bekeperluan. Ini terbukti apabila saban hari kita melihat pelbagai inisiatif dan aktiviti-aktiviti sedemikian dilaksanakan terutama dalam keadaan negara dilanda pandemik sehingga menjejaskan ramai rakyat Malaysia dari aspek ekonomi dan penjanaan pendapatan.

Sehubungan dengan itu, apabila digemakan tanda pagar Malaysia Prihatin, ini merupakan satu usaha berterusan agar setiap rakyat Malaysia sama-sama cakna membantu sesama sendiri dan bagi golongan yang terjejas diharap tampil memohon bantuan menerusi saluran yang disediakan.

Dari perspektif makna dalam Islam, terdapat perbezaan antara Sedekah, Wakaf serta Infaq yang kerap diguna pakai dalam projek-projek kebajikan. Jika dilhat perbezaannya, sedekah (derma) menjurus kepada pemberian yang padanya dicari pahala daripada Allah swt kepada golongan fakir (golongan yang memerlukan), Infaq pula bererti membelanjakan harta kepada yang berhajat dan manakala waqaf pula dari sudut istilah menghilangkan pemilikan dan pengurusan harta tersebut dari pewakaf dan harta tersebut akan digunakan pada jalan yang dibenarkan ataupun keuntungan daripada harta wakaf tersebut. (Rujukan: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, 2016).

Satu sesi Bual Bicara: Perkongsian Pengalaman Program Kebajikan dan Infaq yang disampaikan oleh Ustaz Zuhaimi bin Abdul Rahim, Ketua Penolong Pendaftar dari Pusat Asasi Sains Pertanian telah diadakan pada 12 Ogos 2021 secara dalam talian. Penceramah yang diundang ini memang sinonim dengan kerja-kerja kemasyarakatan dan kerap mengendalikan aktiviti dana infaq sama ada disalurkan di dalam negara mahu pun di luar negara. Antara aktiviti yang pernah dikendalikan oleh beliau merupakan Program Infaq Kereta Jenazah, Program Wakaf Telaga di luar negara, Program Infaq Pampers bagi keperluan pesakit COVID-19, Program Infaq Bantal dan kelengkapan perubatan serta banyak lagi. Selain itu, program kemasyarakatan yang masih dilaksanakan adalah program sumbangan prihatin bakul makanan kepada golongan bersasar yang memerlukan.

Sesi perkongsian tersebut telah disertai oleh staf Pusat Asasi Sains Pertanian, rakan dari Sahabat Masjid serta staf UPM dari pelbagai Pusat Tanggungjawab. Diharap menerusi sesi ini dapat memberikan inspirasi kepada lebih ramai lapisan masyarakat untuk terus memberikan manfaat kepada orang lain yang memerlukan.

"Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia (yang lain)"

-HR. Ahmad, ath Thabrani,ad-Daruqutni

 

Antara peserta yang menyertai sesi perkongsian

 

Oleh:

Che Zailawati binti Abdul Ghani

Pusat Asasi Sains Pertanian

 

Tarikh Input: 15/08/2021 | Kemaskini: 27/04/2022 | hasniah

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
SXEdJA1~