Sesi Pembelajaran Adik Izz Imil Di ASPutra | CENTRE FOR FOUNDATION STUDIES IN SCIENCE OF UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ASPUTRA ACTIVITIES » Student » Sesi Pembelajaran Adik Izz Imil di ASPutra

Sesi Pembelajaran Adik Izz Imil di ASPutra

SERDANG, 26 Februari 2024 – Izz Imil Shahrom, pelajar yang memiliki kebolehan menguasai pengetahuan yang lebih tinggi berbanding usianya telah mengikuti sesi pembelajaran di Pusat Asasi Sains Universiti Putra Malaysia (ASPutra) pada 13 hingga 14 Februari 2024. Adik Izz mempunyai autisme tahap terkawal (mild autism) dalam spektrum high functioning dan dikategorikan sebagai Hyperlexic atau Einstein Syndrome.

 

Semasa berumur 6 tahun, Adik Izz mengikuti kelas tingkatan 1 di Pusat PERMATApintar Negara, UKM. Adik Izz juga telah mengambil IGCSE O Level semasa berumur 9 tahun dan mendapat keputusan 3 A*. Mata pelajaran yang mendapat A adalah Matematik, Fizik dan Kimia.

 

Buat masa ini, Adik Izz berada di Epsom College Malaysia yang terletak di Bandar Enstek, Negeri Sembilan bagi mengikuti pengajian A Level untuk mata pelajaran Matematik, Kimia dan Matematik Lanjutan.

 

Sebelum itu, satu perjumpaan antara Pihak Pengurusan ASPutra dengan ibu kepada Adik Izz, Puan Ilyah Abdul Aziz, dan bapanya, Encik Imil Shahrom Abdul Ghani, telah diadakan pada 9 Februari 2024. Dimaklumkan sesi pembelajaran ini adalah sebagai salah satu persediaan bagi Adik Izz untuk meneruskan pembelajarannya di peringkat tertier.

 

 

Puan Ilyah berkata, anaknya yang menghidap autisme tahap sederhana dan hyperlexia, sangat berminat dan cepat memahami topik-topik dalam bidang Matematik dan Kimia hingga mampu menjawab pelbagai aras soalan Matematik dan Kimia sejak berusia lima tahun.

 

Pengarah ASPutra, Prof. Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah berkata penganjuran sesi pembelajaran Adik Izz itu diharapkan dapat membantu Adik Izz untuk menimba pengalaman pembelajaran di peringkat Asasi dan juga berinteraksi bersama para pelajar Asasi yang jauh lebih berusia daripada usia beliau. “Kami di ASPutra mengalu-alukan kehadiran Adik Izz dan berharap agar sesi pembelajaran di sini dapat membantu Adik Izz untuk berinteraksi dengan pelajar lain” katanya.

 

Beliau yang juga Pensyarah Bidang Biologi di ASPutra berkata pensyarah di ASPutra menerima sesi pembelajaran ini dengan penuh rasa teruja kerana ini merupakan kali pertama program seumpamanya diadakan di ASPutra. Adik Izz juga diberikan peluang untuk belajar mengendalikan mikroskop dan melihat spesimen Biologi di Makmal Biologi, ASPutra.

Pada hari pertama (13 Februari 2024), Adik Izz Imil Shahrom telah mengikuti kuliah kursus Kimia yang telah dikelolakan oleh Dr. Norazlinaliza Salim, Pensyarah Kanan Bidang Kimia ASPutra di mana topik Ionic Equilibria berserta teori yang berkaitan seperti Arrhenius theoryBronsted-Lowry theory dan juga Lewis theory telah dibincangkan. Menurut beliau “Adik Izz boleh fokus dalam kelas, dan jika tidak faham, dia terus angkat tangan bertanya. Dia seorang yang fast learner, Adik Izz boleh menjawab soalan tutorial kimia bertajuk Ionic equilibrium dengan tepat. Sepanjang 1 jam kuliah, lebih daripada lima kali Adik Izz mengangkat tangan untuk bertanya. Beliau sangat happy dalam kelas and very enjoy doing the activities in class bersama-sama dengan pelajar-pelajar lain.”

 

Adik Izz juga telah mengikuti kuliah kursus Matematik yang telah dijalankan oleh Dr. Mohd Ezad Hafidz Hafidzuddin, Pensyarah Kanan Bidang Matematik ASPutra. Menurut Dr. Ezad, pemahaman Adik Izz dalam topik Differential Equation adalah setara dengan pelajar ASPutra yang lain. “Saya amat kagum dengan tahap pemahaman Adik Izz dalam beberapa topik utama kursus Matematik termasuklah topik Differential Equation yang telah dibincangkan pada hari ini” katanya.

 

Pada hari kedua (14 Februari 2024), Adik Izz telah mengikuti sesi amali kursus Fizik. Sesi amali ini dijalankan oleh dua orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Bidang Fizik ASPutra, Puan Nor Syazana Shamsuddin dan Puan Nur Ain Asyiqin Anas. Adik Izz dan para pelajar telah menjalankan eksperimen berkaitan dengan Specific Heat dan Latent Heat. Menurut Puan Nur Ain Asyiqin “Alhamdulillah semua okay. Adik Izz memang semangat membuat eksperimen dan pelajar lain pun seronok berinteraksi dengan Adik Izz”.

 

Bagi sesi kedua hari kedua, Encik Muhammad Khairul Jauhari Othman, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Bidang Matematik ASPutra telah mengetengahkan subtopik Integrating Factor untuk sesi pembelajaran kursus Matematik. “Saya cukup kagum dengan kemampuan Adik Izz apabila dia diberi ruang dan peluang untuk mengajar dan mampu melaksanakan penyampaian dan pemindahan ilmu tersebut dengan jayanya.”, menurut Encik Muhammad Khairul Jauhari.

 

Meneruskan lagi aktiviti, Adik Izz dan kedua ibu bapa telah mengikuti sesi bual bicara bersama YBhg. Prof. Dr. Ismi Arif Ismail, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) secara atas talian di dalam Program High-Level Huddle: Izz and Top Management pada jam 1:00 petang pada hari yang sama. Dalam masa yang sama, YBhg. Prof TNCAA berada di kampus Bintulu UPM bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU), namun beliau dapat meluangkan masa untuk mengikuti perkembangan Adik Izz selama mengikuti sesi pembelajaran di ASPutra.

 

Sesi pembelajaran Adik Izz disudahi dengan ucapan penghargaan dari adik Izz kepada warga ASPutra. “Overall, I had fun, but I would like to experience the real university life. Anyway, thank you to the ASPutra family and I would also like to thank Dr. Marina, Director of ASPutra for making my experience a memorable one. Not forgetting, to the TNCAA of UPM who actually talk to me even if it’s online.” ujar beliau dalam Bahasa Inggeris yang menjadi bahasa utama dalam komunikasi beliau.

 

Updated:: 07/03/2024 [hasniah]

MEDIA SHARING

CENTRE FOR FOUNDATION STUDIES IN SCIENCE OF UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
SXFRVAH~