|
Bitcoin ialah mata wang digital pertama yang berfungsi tanpa pengawasan bank atau kerajaan Tetapi dalam dunia sebenar, ada juga pelombong yang ambil jalan pintas: curi elektrik. Kes perlombongan Bitcoin haram di Malaysia naik mendadak. Menurut TNB kecurian melonjak tiga kali ganda dari 610 kes tahun 2018 ke 2,397 kes pada tahun 2024, dengan kerugian sebanyak RM441 juta. Perbuatan ini bukan sahaja salah dari sudut undang-undang dan moral, tapi juga berdosa. Nabi Muhammad SAW bersabda: "Tidak halal harta seorang Muslim yang lain kecuali dengan kerelaan hatinya." (Hadis riwayat Ahmad) Bitcoin mungkin kelihatan seperti ciptaan digital semata-mata, tetapi asasnya sangat berkait dengan dunia fizik, terutamanya dalam aspek tenaga, termodinamik, dan entropi. Di sebalik setiap syiling maya, terdapat proses fizikal sebenar yang menggunakan tenaga dan mematuhi hukum alam semesta. Proses yang dipanggil Bitcoin mining berlaku apabila komputer bersaing untuk menyelesaikan masalah matematik yang sangat rumit bagi mengesahkan transaksi. Ia bukan sekadar kod di atas skrin, tetapi satu kerja fizikal yang melibatkan penggunaan elektrik, penghasilan haba, dan tenaga kerja sebenar. Setiap komputer pelombong boleh dianggap seperti loji tenaga kecil yang menukar tenaga elektrik kepada kerja pengiraan dan haba.
|
|
Mengikut Hukum Pertama Termodinamik subjek Fizik, tenaga tidak boleh dicipta atau dimusnahkan, hanya boleh ditukar bentuk. Dalam pelombongan Bitcoin, tenaga elektrik ditukar kepada haba dan proses pemprosesan maklumat. Tenaga elektrik ini menggerakkan berjuta-juta litar kecil di dalam cip khas yang dipanggil ASIC. Apabila litar ini beroperasi berbilion kali sesaat, ia menghasilkan haba yang perlu disejukkan menggunakan kipas atau sistem penyejukan. Haba ini ialah tenaga “terbuang” yang dilepaskan ke persekitaran.
Hukum Kedua Termodinamik pula berkaitan dengan entropi, iaitu ukuran tahap kekacauan dalam sesuatu sistem. Apabila komputer melombong Bitcoin, tenaga digunakan dalam jumlah besar untuk membuat pengiraan, dan ini meningkatkan entropi di sekelilingnya. Secara mudah, pelombongan Bitcoin menukar tenaga elektrik yang tersusun kepada haba yang tidak lagi berguna. Oleh sebab itu, ladang pelombongan Bitcoin biasanya dibina di kawasan sejuk untuk menjimatkan kos penyejukan dan mengawal penghasilan haba.
Selain itu, terdapat juga kaitan antara teori maklumat dan fizik. Proses menghasilkan blok baharu dalam blockchain ialah satu tindakan fizikal untuk menyimpan dan memindahkan maklumat. Setiap bit data yang diproses dalam pelombongan Bitcoin memerlukan sejumlah tenaga minimum. Ini bermakna Bitcoin bukan hanya sistem maya ia tetap tertakluk pada had tenaga sebenar seperti proses fizikal lain di alam semula jadi.
Daripada sudut fizik, Bitcoin membuktikan bahawa dunia digital tetap bergantung kepada dunia nyata. Setiap transaksi, setiap syiling yang dilombong, dan setiap blok yang dicipta mempunyai kos tenaga yang benar-benar wujud dalam bentuk joule dan haba.
Rujukan :
Disediakan oleh :
Pensyarah Kanan
Gs. Dr. Ya'akob Mansor
e-mel : yaakobms@upm.edu.my
Tarikh Input: 06/11/2025 | Kemaskini: 12/11/2025 | hasniah

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor