Sama seperti setiap produk di kedai yang mempunyai kod bar, setiap spesies di bumi juga mempunyai kod genetik unik yang dikenali sebagai kod bar DNA. Kod ini ialah segmen DNA yang pendek dan piawai yang berfungsi seperti kad pengenalan molekul. Saintis menggunakan kod bar DNA untuk mengenal pasti spesies dengan cepat dan tepat, walaupun spesies tersebut kelihatan hampir sama atau sukar dibezakan dengan mata kasar.
Mengapa Pengekodan Jalur DNA (DNA Barcoding) Penting?
Biodiversiti di seluruh dunia kini semakin terancam akibat kemusnahan habitat, eksploitasi berlebihan, pencemaran, perubahan iklim serta penyebaran spesies invasif. Oleh itu, pengenalpastian dan pemantauan spesies yang tepat menjadi semakin penting. Kaedah tradisional untuk mengenalpasti spesies bergantung terutamanya pada ciri-ciri fizikal seperti warna dan bentuk badan boleh menjadi lambat dan kurang tepat. Keadaan ini lebih ketara bagi individu juvenil, spesies yang mempunyai rupa yang hampir sama, atau spesimen yang telah diproses dan diawet.
Bagi mengatasi kekangan ini, DNA barcoding telah muncul sebagai kaedah yang lebih pantas, tepat dan boleh diulang untuk mengenal pasti spesies.

Ilustrasi kegunaan DNA barcoding dalam biosekuriti
Puntius filamentosus (A) dan Puntius assimilis (B) ialah dua spesies ikan yang sangat serupa dari segi rupa. Perbezaan morfologi antara kedua-duanya sukar dikenal pasti, terutamanya apabila dieksport ke negara lain dalam peringkat juvenil.
Bagaimana DNA Barcode berfungsi?
Di pasar raya, pengimbas kod bar tidak mengimbas keseluruhan produk. Sebaliknya, ia hanya mengimbas satu corak kecil garisan hitam dan putih yang mewakili produk tersebut secara unik.
DNA barcoding berfungsi berdasarkan prinsip yang sama:
- Memilih kawasan genetik piawai: Daripada membaca keseluruhan genom (yang mengandungi berbilion-bilion pasangan bes DNA), saintis hanya menumpukan kepada satu jujukan gen yang pendek dan piawai yang terdapat pada hampir semua organisma hidup.
- Membaca susunan bes DNA: DNA terdiri daripada empat bes kimia, iaitu: A- Adenina (Adenine), T – Timina (Thymine), C – Sitosina (Cytosine), G – Guanina (Guanine). Susunan kira-kira 650 bes ini bertindak seperti corak jalur hitam dan putih pada kod bar, yang unik bagi setiap spesies.
- Mengimbas dan memadankan: Jujukan DNA daripada sampel yang tidak diketahui akan dibandingkan dengan pangkalan data rujukan global seperti Barcode of Life Data System (BOLD).Jika jujukan tersebut sepadan dengan rekod sedia ada, identiti spesies tersebut dapat dikenal pasti.
Aplikasi dalam Dunia Sebenar
DNA barcoding bukan lagi terhad kepada penyelidikan akademik. Kini, teknologi ini digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang praktikal.
- Mengesan penipuan makanan laut: Isi ikan yang telah dibuang kulit dan dibekukan sering kelihatan hampir sama. DNA barcodingtelah banyak mendedahkan kes penipuan makanan laut, contohnya apabila ikan yang lebih murah seperti tilapia atau ikan keli dijual sebagai ikan merah (red snapper) atau "tuna putih" yang lebih mahal.
- Mengesahkan ketulenan suplemen herba: Produk herba biasanya diproses menjadi serbuk halus, menjadikannya sukar dikenal pasti melalui rupa bentuk. DNA barcodingmembolehkan pegawai penguat kuasa mengesahkan sama ada produk yang dilabel sebagai Ginkgo biloba benar-benar mengandungi tumbuhan tersebut atau hanya mengandungi bahan tiruan yang lebih murah.
- Melindungi hidupan liar yang terancam: Pegawai kastam menggunakan penjujuk DNA mudah alih untuk menguji serbuk yang dirampas, ukiran gading atau daging hidupan liar bagi mengenal pasti spesies yang dilindungi dan membantu membanteras aktiviti penyeludupan hidupan liar.
- Memantau ekosistem menggunakan DNA persekitaran (eDNA): Saintis hanya perlu menganalisis secawan sampel air sungai untuk mengesan DNA yang dilepaskan oleh organisma ke dalam persekitaran. Kaedah ini membolehkan mereka mengenal pasti pelbagai spesies yang hidup di sesuatu habitat tanpa perlu menangkap seekor pun organisma dalam sungai tersebut.
Rujukan
- Collins, R. A., Armstrong, K. F., Meier, R., Yi, Y., Brown, S. D. J., Cruickshank, R. H., Keeling, S., & Johnston, C. (2012). Barcoding and border biosecurity: Identifying cyprinid fishes in the aquarium trade. PLOS One, 7(1), e28381. https://doi.org/10.1371/journal.pone.0028381
- Lukhtanov, V. A., Sourakov, A., & Zakharov, E. V. (2016). DNA barcodes as a tool in biodiversity research: Testing pre-existing taxonomic hypotheses in Delphic Apollo butterflies (Lepidoptera, Papilionidae). Systematics and Biodiversity, 14(6), 599–611. https://doi.org/10.1080/14772000.2016.1203371
- https://ibol.org/about/dna-barcoding/
Disediakan oleh,
Dr. Nadiatul Hafiza Hassan
Unit Biologi
ASPutra
Tarikh Input: 11/08/2026 | Kemaskini: 11/08/2026 | hasniah
PERKONGSIAN MEDIA