BULUH EMAS DALAM REKA BENTUK LANDSKAP | PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » BULUH EMAS DALAM REKA BENTUK LANDSKAP

BULUH EMAS DALAM REKA BENTUK LANDSKAP

ARTIKEL PENULISAN KEPAKARAN UPM

BULUH EMAS DALAM REKA BENTUK LANDSKAP

Amizatul Najeha Lukmanulhakim, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Unit Pertanian, Pusat Asasi Sains Universiti Putra Malaysia.

 

Penanaman buluh emas sebagai elemen landskap kini dilihat sebagai satu pendekatan yang bukan sahaja menarik dari segi estetika, malah semakin mendapat perhatian dalam kalangan pereka landskap di negara sekitar Asia Tenggara. Terutamanya pereka yang mengutamakan konsep tropika dan zen dalam rekaan.

Tumbuhan ini, yang terkenal dengan bentuknya yang langsing serta pergerakan daunnya yang lembut apabila ditiup angin, berupaya mewujudkan suasana damai dan tenteram yang selaras dengan prinsip reka bentuk berasaskan ketenangan dan keharmonian alam semula jadi.

Terdapat beberapa kelebihan penanaman buluh emas dalam reka bentuk landskap antaranya ialah; keupayaan buluh emas menyesuaikan diri dengan baik dalam iklim panas dan lembap menjadikannya pilihan ideal untuk landskap tropika seperti di Malaysia. Ketahanan terhadap perubahan cuaca selain keperluan penyelenggaraan yang rendah turut menambah nilai praktikal dalam penggunaannya.

 

Rajah 1. Phyllostachys aurea, imej oleh Chuck Bargeron, University of Georgia, Bugwood.org dilesenkan di bawah Creative Commons Attribution 3.0 License.

 

Buluh emas, (Phyllostachys aurea.), mempunyai ciri batang yang langsing berwarna kuning-jingga keemasan serta daun yang halus, menjadikannya elemen landskap yang sangat sesuai untuk mewujudkan suasana elegan dan harmoni dalam taman mahupun di kawasan kediaman. Apabila ditiup angin, pergerakan lembut daunnya menghasilkan bunyi berdesir yang menenangkan, sekali gus menambahkan nilai sensori yang menyumbang kepada pengalaman landskap yang lebih menyeluruh dan terapeutik.

Selain itu, dengan pertumbuhan menegak dan keupayaannya membentuk kelompok yang padat, buluh emas amat sesuai digunakan sebagai tumbuhan penghadang atau pagar hidup (screening plant) untuk memberi privasi serta memisahkan ruang dalam sesebuah landskap. Kerana itulah, acap kali kita lihat terdapat banyak rumah mewah yang kini menggunakan buluh emas sebagai penghadang privasi. Penggunaan semula jadi ini bukan sahaja lebih lestari berbanding struktur konkrit, malah lebih mesra alam dan tinggi nilai estetika.

Namun begitu, terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum menanam variety ini terutamanya di kawasan tempat tinggal. Beberapa varieti buluh, termasuk buluh emas, membiak melalui rizom bawah tanah yang boleh menjadikan ia sukar dikawal jika tidak dipantau. Oleh itu, langkah pencegahan seperti pemasangan penghadang akar (root barrier) adalah disarankan bagi mengelakkan ia menjadi spesies invasif. Penanaman secara terlalu rapat boleh menyebabkan pertumbuhan yang tidak seimbang serta mengganggu elemen landskap lain.

 

Rajah 2. Phyllostachys aurea, imej oleh James R. Allison, Georgia Department of Natural Resources, Bugwood.org dilesenkan di bawah Creative Commons Attribution 3.0 License.

 

Seterusnya, jarak penanaman yang mencukupi perlu ditentukan mengikut keperluan reka bentuk dan saiz kawasan. Tidak semua jenis buluh sesuai untuk tujuan landskap. Maka, penting untuk memilih varieti yang bersaiz sederhana, mudah dijaga, dan tidak terlalu agresif dari segi pertumbuhan.

Kesimpulannya, pilihlah jenis buluh yang menepati citarasa anda semasa dalam membina reka bentuk landskap terutamanya di kawasan tempat tinggal. Ia mestilah sesuatu yang menenangkan selain mudah dijaga dan tidak membebankan dari segi penjagaan di kemudian hari.

Sekian.

Tarikh: 7 Mei 2025

 

Rujukan:

Suzuki, S., & Nakagoshi, N. (2011). Sustainable management of Satoyama bamboo landscapes in Japan. Landscape ecology in Asian cultures, 211-220.

Buziquia, S. T., Lopes, P. V. F., Almeida, A. K., & de Almeida, I. K. (2019). Impacts of bamboo spreading: a review. Biodiversity and conservation, 28, 3695-3711.

Tarikh Input: 16/05/2025 | Kemaskini: 16/05/2025 | hasniah

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
F, (01:11:02pm-01:16:02pm, 10 Mar 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]