COVID-19: Jaminan Bekalan Makanan | PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » COVID-19: Jaminan Bekalan Makanan

COVID-19: Jaminan Bekalan Makanan

Oleh: Rafina Syhadilla (rafina@upm.edu.my)

 

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuka lembaran baharu untuk rantaian dan jaminan bekalan makanan negara. Rantaian bekalan bererti rantaian proses yang saling melengkapi antara satu sama lain untuk mengagihkan produk dan perkhidmatan daripada sektor input hingga ke meja makan pengguna. Ia ibarat rantai. Jika salah satu proses terjejas, rantaian bekalan akan terputus seperti yang berlaku pada tahap awal pelaksanaan PKP.

PKP mengganggu secara langsung rantaian bekalan sedia ada. Ini berlaku apabila PKP menutup beberapa pemain utama rantaian bekalan seperti restoran, pasar malam, pasar borong serta kedai kecil yang tiada premis tetap. Antara arahan yang menjejaskan rantaian bekalan dengan serius adalah penutupan pasar borong. Ini kerana pasar borong merupakan hab utama di mana berlakunya pertukaran komoditi makanan antara pembekal (pengeluar) dan pembeli (pemborong kecil, peruncit dan pengguna institusi dan awam).

Pemborong adalah orang tengah. Pemborong juga menentukan paras harga harian sebagai rujukan kepada peruncit dan pengeluar. Penutupan pasaran borong mengganggu kelicinan proses perniagaan antara pengeluar dan peniaga serta pengguna.

Namun begitu, jaminan telah diberikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA). Rantaian bekalan barangan keperluan negara sangat cekap dengan mengambil kira pengeluaran tempatan dan bekalan diimport.

Import makanan pada 2018 berjumlah RM40 bilion setahun. Malaysia juga mempunyai hubungan baik dengan negara pengeksport bagi menjamin kelangsungan bekalan makanan negara.

Pemantauan penguat kuasa KPDNHEP sepanjang PKP mendapati bekalan barang keperluan tetap mencukupi di semua pasar raya di seluruh negara. Justeru, rakyat Malaysia tidak perlu panik dan takut.

Tarikh Input: 18/12/2020 | Kemaskini: 11/10/2021 | hasniah

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
SXEaDA5~