
Rajah 1: Pokok buah mentega di hadapan Bangunan Asasi 3 dan 4
Sekiranya anda ke bangunan Asasi 4 Pusat Asasi Sains UPM, anda akan melihat deretan pokok yang yang sering berbuah berwarna jingga. Pokok ini dikenali sebagai pokok buah mentega atau lebih dikenali sebagai velvet apple (nama saintifik: Diospyros blancoi). Ia merupakan tumbuhan tropika yang unik dengan buah berwarna merah jingga dan permukaan berbulu halus seperti baldu. Buah ini mendapat jolokan “mentega” kerana tekstur isinya yang lembut dan berkrim menyerupai mentega apabila dimakan. Walaupun kurang terkenal berbanding buah tropika lain seperti mangga atau rambutan, buah mentega mempunyai nilai saintifik dan khasiat yang ramai tidak mengetahuinya.
LOKASI DAN TABURAN
Pokok buah mentega (D. blancoi) dipercayai berasal dari Filipina, di mana ia dikenali sebagai Mabolo. Namun, ia juga boleh ditemui di beberapa kawasan tropika Asia Tenggara termasuk Malaysia dan Indonesia. Pokok ini sesuai ditanam di kawasan beriklim panas dan lembap, dengan tanah yang subur serta sistem saliran yang baik. Di Malaysia, buah mentega dianggap agak jarang ditemui dan ini menjadikannya eksotik.
PENANAMAN
Kaedah penanaman pokok buah mentaga adalah melalui biji benih atau cantuman. Ia memerlukan cahaya matahari penuh dan penjagaan asas seperti penyiraman berkala serta pembajaan organik. Pokok ini mampu mencapai ketinggian sehingga 15–20 meter, dengan daun hijau berkilat yang menambah nilai estetika. Walaupun tidak memerlukan penjagaan intensif, pokok ini mengambil masa beberapa tahun sebelum mula berbuah. Penanaman secara komersial masih terhad, namun berpotensi dikembangkan sebagai tanaman niche dengan nilai pasaran yang unik.
BAHAGIAN SAINTIFIK
Pokok buah mentega tergolong dalam keluarga Ebenaceae, iaitu keluarga yang sama dengan pokok kayu hitam (ebony). Buahnya berbentuk bulat dengan diameter sekitar 5–10 cm. Kulit luar berbulu halus, manakala isinya berwarna putih kekuningan, lembut dan sedikit berbau unik. Dari sudut nutrisi, buah mentega kaya dengan nutrisi seperti asid malik, vitamin B2, B3, asid folik, kalsium dan zink. Selain itu, ia juga mengandungi bahan aktif flavonoid, triterpenes dan diospyrin yang memberikan ia nilai tambah sebagai buah yang mempunyai manfaat kesihatan.
Secara tradisi, pokok buah mentega telah digunakan dalam perubatan untuk merawat pelbagai masalah seperti disentri, cirit-birit dan gangguan respiratori. Kajian farmakologi moden pula menunjukkan bahawa tumbuhan ini memiliki pelbagai aktiviti biologi termasuk antiasma, antipenuaan, antimikrob, antioksidan, sitotoksik dan trombolitik. Penemuan makmal turut mengesahkan sebahagian penggunaan etnofarmakologi tradisionalnya, dengan menonjolkan potensi sebagai agen antidiabetik, antidiarrheal, analgesik dan antiradang. Justeru, pokok buah mentega boleh dianggap sebagai khazanah tropika yang jarang dikenali tetapi kaya dengan nilai saintifik, manfaat kesihatan serta prospek ekonomi.
Secara tradisi, pokok buah mentega telah digunakan dalam perubatan untuk merawat pelbagai masalah seperti disentri, cirit-birit dan gangguan respiratori. Kajian farmakologi moden pula menunjukkan bahawa tumbuhan ini memiliki pelbagai aktiviti biologi termasuk antiasma, antipenuaan, antimikrob, antioksidan, sitotoksik dan trombolitik. Penemuan makmal turut mengesahkan sebahagian penggunaan etnofarmakologi tradisionalnya, dengan menonjolkan potensi sebagai agen antidiabetik, antidiarrheal, analgesik dan antiradang. Justeru, pokok buah mentega boleh dianggap sebagai khazanah tropika yang jarang dikenali tetapi kaya dengan nilai saintifik, manfaat kesihatan serta prospek ekonomi.

Rajah 2: Rajah menunjukkan (i) pokok buah mentega dengan daun hijau dan buah berwarna jingga-coklat, (ii) buah mentega yang masak dan (iii) keratan rentas buah yang memperlihatkan isi putih serta biji di bahagian tengah.
KESIMPULAN
Pokok buah mentega merupakan khazanah tropika yang jarang dikenali tetapi kaya dengan nilai saintifik, khasiat kesihatan dan potensi ekonomi. Dengan penanaman yang sesuai, ia bukan sahaja dapat memperkayakan biodiversiti tempatan, malah memberi peluang kepada masyarakat untuk menikmati buah eksotik yang berkhasiat. Bagi pelajar universiti dan orang awam, mengenali pokok ini membuka ruang kepada kajian lanjut dalam bidang botani, nutrisi dan pertanian tropika.
RUJUKAN
1. Hung, S.F., Roan, S.F., Chang, T.L., King, H.B. & Chen, I.Z. (2016). Analysis of aroma compounds and nutrient contents of mabolo (Diospyros blancoi A. DC.), an ethnobotanical fruit of Austronesian Taiwan. Journal of Food and Drug Analysis, 24(1):83-89. https://doi.org/10.1016/j.jfda.2015.08.004.
2. Knapp, S. & Gibert, M.G. (2002). Proposal to conserve the name Diospyros discolor against Cavanillea philippensis (Ebenaceae). Taxon, 51:579e80.
3. Nahar, L., Ahmed, M. N., Alfi Afroze, C., Sangthong, S., Guo, M., & Sarker, S. D. (2025). Phytometabolites, Pharmacological Effects, Ethnomedicinal Properties, and Bioeconomic Potential of Velvet Apple (Diospyros discolor Willd.): A Review. Chemistry & biodiversity, 22(5), e202402168. https://doi.org/10.1002/cbdv.202402168
4. Rana, Z.H., Khairul Alam, M., Mahmud, M.S., Akhtaruzzaman, M. & Islam, S.N. (2026).
5. Assessment of variability in nutritional, antioxidant, and enzymatic inhibitory properties of edible wild fruits, velvet apple (Diospyros discolor Willd.) and may-nuh (Meyna spinosa Roxb. Ex.). Food and Humanity, 6, 100977. https://doi.org/10.1016/j.foohum.2025.100977.
Disediakan oleh: Dr. Nur Akmal Ishak
Unit Biologi, Pusat Asasi Sains Pertanian (ASPutra)
Tarikh Input: 16/07/2026 | Kemaskini: 16/07/2026 | emma

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor