Menambah dua nombor tidak selalunya memberikan nilai yang lebih tinggi. Anda boleh dapat nilai yang lebih tinggi, lebih rendah, sifar, dan ada masanya nilai negatif. Kenapa jadi macam itu? Itulah yang dikenali sebagai vektor.
Untuk faham tentang vektor, mari kita lihat skalar dahulu. Sebagai contoh, jika kita tambahkan 3 kg tomato dan 2 kg lobak merah di atas penimbang, kita akan dapat berat keseluruhan sebanyak 5 kg. Ini adalah skalar. Jawapannya sentiasa boleh dijangka, lebih tinggi, dan positif. Tapi, bagaimana pula dengan vektor? Jika ditanya tentang arah jalan, bolehkah anda memberikan jawapan dalam bentuk skalar sahaja? Contohnya, "Bagaimana hendak ke perpustakaan?" anda tak boleh menjawab, "Perpustakaan itu 500 meter dari sini." Maklumat itu tidak cukup, dan inilah sebabnya kenapa vektor sangat penting.

Jom kita takrifkan makna vektor dulu. Vektor adalah satu kuantiti yang mempunyai magnitud (saiz/nilai) dan juga arah. Berbeza dengan vektor, skalar hanya mempunyai magnitud sahaja. Jadi, bila ditanya mengenai arah jalan, jawapan yang menggunakan skalar tidak dapat membantu kerana tiada arah yang diberikan. Disebabkan vektor mempunyai magnitud dan arah, ia boleh membantu kita menyelesaikan banyak masalah lain selain daripada mencari lokasi semata-mata. Contohnya, juruterbang perlu mengira vektor angin lintang dan tarikan graviti untuk memastikan kapal terbang kekal dalam laluan yang betul. Sama juga keadaannya untuk membina jambatan, jurutera perlu mengira vektor daya graviti, angin, dan berat lalu lintas bagi memastikan struktur bangunan yang dibina mampu menampung dan menolak balik dengan jumlah daya yang sama.

Anda mesti pernah dengar tentang seni vektor (vector art) sebelum ini, kan? Vektor membantu kita mengubah saiz imej supaya ia tidak menjadi kabur atau pecah (pixelated). Seni vektor ini berasaskan garisan dan arah, bukannya susunan bintik-bintik warna (pixel). Disebabkan itu, sebarang imej boleh dibesarkan sehingga saiz papan tanda gergasi (billboard) atau dikecilkan sebesar kad perniagaan tanpa mengurangkan sedikit pun kualitinya.
Sekarang, bagaimana hendak ke perpustakaan tadi? Sebelum kita boleh menjawab soalan itu, mari kita berbincang mengenai analogi anak panah. Anak panah boleh digunakan untuk mewakili sesuatu vektor. Panjang anak panah itu mewakili magnitud, manakala hujung mata anak panah pula mewakili arah. Secara ringkasnya, vektor membolehkan kita memetakan, mengira, dan meramal pergerakan serta hubungan dalam dunia pelbagai dimensi. Ia menghubungkan nombor abstrak dengan realiti fizikal. Manakala skalar memberitahu anda berapa banyak, vektor pula memberitahu anda ke mana arah hendak dituju. Vektor sememangnya memberikan anda panduan arah yang terbaik untuk segalanya. 
Akhir sekali, untuk menjawab persoalan kita tadi: jika anda ingin pergi ke perpustakaan, anda boleh berjalan 300 meter ke arah Selatan dan kemudian 200 meter ke arah Barat. Dengan memberikan kedua-dua magnitud dan arah ini, barulah kita dapat sampai ke perpustakaan dan boleh sambung balik bacaan kita tentang vektor!
Disediakan oleh : Noor Wahidah Zainol Jamil,
Unit Fizik, ASPutra
Tarikh Input: 06/07/2026 | Kemaskini: 07/07/2026 | emma

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor