Landskap Terapeutik | PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » Landskap Terapeutik

Landskap Terapeutik

Jika dilihat, masyarat masakini semakin lama semakin menggemarkan elemen landskap bagi menghiasi kawasan persekitaran mereka. Ditambah pula dengan pendedahan mengenai laman/ landskap teraputik yang telah dilaksanakan di pelbagai kawasan. Namun begitu, apakah itu landskap? Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat;

[lan.skap] | لنسکڤ

Definisi: 1. pemandangan alam sesuatu kawasan yg mengandungi unsur-unsur spt bukit bukau, sungai, dan tumbuh-tumbuhan, terutama­nya pemandangan pedesaan; 2. catan, lukisan, dsb yg menggambarkan pemandangan alam; 3. seni taman yg memaparkan ciri-ciri pemandangan alam.

Landskap merupakan sebuah elemen penting yang memberikan unsur yang menenangkan kepada jiwa seseorang. Seterusnya, apa pula landskap terapeutik? Taman terapeutik adalah sejenis taman yang direka dengan suasana landskap yang gembira, tenang, selesa dan damai berperanan merawat dan memulihkan emosi seseorang. Acap kali laman seperti ini dibina di kawasan tertentu seperti di hospital, klinik kanak-kanak, sekolah pendidikan khas dan resort-resort yang berfokuskan kedamaian jiwa.

 Sumber: Taman Panchatatva di Hyderabad (Kredit gambar : IANS)

 

Beberapa tujuan laman terapeutik termasuk: Menggalakkan perkembangan kebolehan deria seperti bau atau sentuhan, mewujudkan tempat yang menarik untuk orang kurang Upaya yang mungkin gemar bekerja dan bersosial dan mendapatkan tempat untuk berehat, selesa. Ia juga membantu seseorang berasa selamat serta selesa di laman terapeutik tersebut.

 

Sumber: Ihsan (Garden-terracotta, 2018)

Terdapat beberapa elemen utama yang diterapkan di dalam landskap terapeutik iaitu: sentuhan, bau, rasa, penglihatan dan pendengaran. Kesemua elemen yang diterapkan ini memberikan kesan yang berbeza. Idea taman ini ialah memastikan tumbuhan, landskap kejur dan ciri taman yang lain dipilih membawa daya tarikannya kepada semua lima deria dengan tujuan menawarkan pengalaman yang lebih menyeluruh dan mungkin lebih terapeutik kepada pelbagai orang yang mempunyai keperluan yang berbeza.

 

Berikut adalah beberapa idea yang boleh diaplikan di laman terapeutik;

 

  1. PENGLIHATAN: Tanam bunga dengan pelbagai warna. Sertakan varieti tumbuhan dengan dedaunan berwarna merah, kuring, biru, hijau lembut dan warna campuran. Gunakan kepelbagaian warna bunga dan daun. Tanam pokok yang mempunyai bunga atau daun berjuntai seperti pokok Salix babylonica. Sertakan pelbagai jenis ikan dan tumbuhan air yang terang di dalam kolam, dengan bangku berdekatan. Sertakan tumbuhan yang menarik minat burung dan rama-rama seperti pokok bunga matahari. Pokok dan tumbuhan juga boleh digunakan untuk menyembunyikan kawasan yang tidak menarik secara visual.

 

  1. PENDENGARAN: Gantungkan lonceng angin di kawasan berangin. Pasang ciri air seperti kolam buatan. Ini membantu pengguna berasa tenang apabila mendengar bunyi air di taman. Pilih laluan bertekstur yang mengeluarkan bunyi semasa anda berjalan di atasnya, seperti kerikil hancur. Tanam pokok yang mengeluarkan bunyi seperti pokok buluh perindu.

 

  1. SENTUH: Menggabungkan tumbuhan dengan tekstur yang berbeza. Pilih jenis tumbuhan yang tahan lasak. Sertakan pelbagai jenis permukaan di sepanjang laluan pejalan kaki. Letakkan tumbuhan dan pokok berhampiran dengan laluan supaya sesiapa yang berjalan di sepanjangnya boleh menyentuh dedaunan. Sediakan kawasan yang cerah dan teduh untuk membolehkan pengguna berehat di kawasan taman sambil menyentuh pokok. Sesetengah taman terapeutik juga menggunakan pasir sebagai salah satu elemen untuk sentuhan.

 

  1. BAU: Tanam bunga dengan bau yang harum seperti Lavender dan Ros. Selain itu, tanam tumbuhan menjalar aromatic atau herba seperti pudina, thyme atau rosemary, berhampiran tepi laluan atau tempat duduk, supaya apabila pengguna berjalan di atasnya ia mengeluarkan aroma yang menyenangkan. Letakkan juga bunga wangi berjarak dengan pokok-pokok lain di sekitar taman supaya bau wangi tersebut tidak bercampur.

 

  1. RASA: Tanam herba yang boleh digunakan di dalam masakan. Tanam sayur, pokok buah-buahan, serta spesies tumbuhan dengan bunga yang boleh dimakan.

 

Kesimpulannya, sesebuah laman atau landskap terapeutik yang dibina dengan baik dapat membantu mengurangkan tekanan, menggalakkan kesejahteraan dan melegakan emosi serta jiwa penggunanya.

 

Amizatul Najeha Lukmanulhakim, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Bidang Pertanian, Pusat Asasi Sains Universiti Putra Malaysia.

 

Tarikh: 2 Oktober 2024

 

Rujukan:

Harian Metro, “Rangsang Lima Deria”, 23 Februari 2014.

Marcus,  C.  C  &  Barnes,  M.  (1999), Healing  Garden:Therapeutic  Benefit  and  Design Recommendations, New York: John Wiley & Sons    

Thaneshwari, T., Poonam Kumari, P. K., Rishu Sharma, R. S., & Sahare, H. A. (2018). Therapeutic gardens in healthcare: A review.

Mohd Khalid, I. K. (2014). “Healing Garden” sebagai asas mereka bentuk landskap masa kini. Jurnal Seni dan Pendidikan Seni, 2, 69-83.

Gardens for well-being: the therapeutic or healing garden. (2018, May 22). 

Lukmanulhakim, A. N., & Hussain, M. A. (2022). Kajian Terhadap Kepentingan Landskap Budaya Melayu di Kampung Bukit Pegoh, Melaka. Jurnal Peradaban Melayu, 17(1), 1-7.

Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005

 

Tarikh Input: 03/10/2024 | Kemaskini: 25/02/2025 | hasniah

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
S.2025/3/17:21:43:26~noCache