
Di dalam era dapur moden, kuali tidak melekat (non-stick pan) amatlah popular kerana dapat memudahkan proses memasak seperti menggoreng telur, ayam, sayur-sayuran tanpa melekat pada permukaan kuali. Proses penyucian non-stick pan ini jugak akan menjadi mudah kerana sisa makanan atau minyak mudah dibersihkan atau tidak melekat pada kuali. Namun demikian, di sebalik kemudahan ini terdapat bahan kimia dan prinsip sains yang mungkin menjadi persoalan tentang keselamatannya. Non-stick pan menggunakan teknologi yang dinamakan sebagai “Teflon” atau lebih tepat adalah lapisan polytetrafluoroethylene — PTFE.
Lapisan PTFE ini biasanya di sadur ke atas permukaan logam seperti aluminium atau keluli tahan karat. Kajian menyatakan bahawa PTFE mempunyai sifat kimia yang sangat stabil kerana mempunyai rantaian karbon yang dikelilingi atom fluorin menjadikannya tahan terhadap haba dan bahan kimia. Dalam penggunaan biasa, lapisan ini membolehkan makanan tidak melekat, mengurangkan penggunaan minyak dan memudahkan pembersihan.
Walaupun PTFE sangat stabil dalam suhu memasak biasa, ia akan mula mengalami degradasi apabila suhu melebihi 260 °C. Menurut beberapa kajian, apabila suhu terus meningkat (contohnya 300 °C atau lebih) maka potensi pembebasan gas atau mikroplastik daripada PTFE boleh meningkat. Alaboodi et al. (2024) mendapati bahawa pemanasan berterusan dan suhu tinggi boleh menjejaskan integriti lapisan PTFE. Jika non-stick pan yang digunakan tergores, tercalar atau kerap digunakan, ia boleh meningkatkan kemungkinan lapisan mikroplastik masuk ke dalam makanan. Walau bagaimanapun, harus ditekankan bahawa bukti langsung kesan kesihatan manusia akibat penggunaan non-stick pan secara normal adalah agak terhad.
Antara petua dan cara menggunakan kuali dengan selamat berdasarkan hasil kajian dan panduan penyelidikan adalah dengan menggunakan api yang sederhana apabila memasak, elakkan memanaskan kuali dalam keadaan kosong (tanpa makanan) pada suhu tinggi (Kajian menyarankan suhu tinggi boleh mempercepat degradasi lapisan). Selain itu, elakkan menggunakan alat memasak logam yang boleh mencalarkan permukaan kuali kerana geseran tersebut boleh menghasilkan serpihan mikroplastik. Tambahan lagi, pengguna perlu menukar kuali jika permukaannya telah banyak tergores, tercalar atau menunjukkan tanda pengelupasan. Namun demikian, terdapat pertimbangkan alternatif, untuk penggunaan yang memerlukan suhu tinggi atau penggunaan lebih ekstrem, mungkin lebih selamat menggunakan kuali yang tidak dilapisi PTFE contohnya, kuali besi (cast iron) atau kuali keluli tahan karat (stainless steel).
Kesimpulannya, non-stick pan menawarkan kemudahan dan kepraktisan yang tidak dapat dinafikan. Dari memasak dengan lebih efisien hingga pembersihan yang lebih mudah. Namun begitu, teknologi ini juga datang dengan syarat dan potensi risiko yang perlu difahami terutama dari sudut sains bahan dan keselamatan pengguna. Dengan amalan yang betul, memilih kuali yang sesuai dan mengambil kira keadaan penggunaannya, kita boleh menikmati kemudahan teknologi ini dengan tahap risiko yang rendah. Sebaliknya, tanpa kesedaran, risiko boleh meningkat. Maka, pilihan yang bijak dan penggunaan yang berhemah adalah kunci utama.
Rujukan:
Disediakan oleh:
Mohamad Najib Bin Ab Aziz
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan
Unit Kimia, ASPutra
Tarikh Input: 18/11/2025 | Kemaskini: 18/11/2025 | hasniah

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor