ASPER CAKNA KEBAJIKAN ANAK GELANDANGAN | PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» BERITA » ASPER CAKNA KEBAJIKAN ANAK GELANDANGAN

ASPER CAKNA KEBAJIKAN ANAK GELANDANGAN

ASPer CAKNA KEBAJIKAN ANAK GELANDANGAN

SEKOLAH BIMBINGAN JALINAN KASIH

Oleh: Zailawati Abdul Ghani

 

Bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara kita satu arahan berbentuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah diumumkan dan berkuatkuasa bermula 18 Mac 2020. Sepanjang tempoh kawalan, kesemua sektor ekonomi dan bentuk aktiviti pekerjaan dihentikan operasi kecuali melibatkan perkhidmatan utama negara. Semua rakyat diminta untuk duduk di rumah dan perlu mematuhi tatacara dan peraturan yang ditetapkan sepanjang PKP. Bagi segelintir masyarakat mungkin tempoh PKP ini merupakan satu tempoh ‘berehat’ di rumah melaksanakan masa dengan aktiviti bermanfaat bersama keluarga, namun masih ada di kalangan kita yang perlu memikirkan ada atau tidak hidangan atas meja yang hendak dijamah oleh ahli keluarga.

Begitulah nasib anak gelandangan dari Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), Kuala Lumpur yang rata-rata terkesan dan memerlukan bantuan dari masyarakat sekeliling. Hasil kesepakatan Pusat Asasi Sains Pertanian (ASPer) dengan kerjasama kaunselor dari SBJK, satu misi kutipan sumbangan berbentuk tunai dilaksanakan dan berjaya disalurkan kepada anak-anak gelandangan ini. Umum pasti tertanya dan belum biasa mendengar mengenai SBJK. Secara ringkasnya, SBJK adalah ‘sekolah anak-anak jalanan’ yang berusia 4 hingga 19 tahun untuk memastikan mereka mendapat pendidikan yang sewajarnya seperti anak-anak lain. Anak-anak gelandangan ini diberi pembelajaran asas seperti membaca, mengira, menulis, pembelajaran agama, dan kemahiran dengan harapan mereka dapat meningkatkan keyakinan diri untuk menjalani kehidupan normal dan tidak terpinggir dalam masyarakat.

Kebiasaannya, ada anak-anak SBJK ini ada yang datang ke sekolah dengan perut kosong dan hanya menikmati makanan di sekolah. Jangan terkejut jika ada di kalangan mereka yang membawa pulang makanan yang diperolehi di sekolah untuk dikongsikan bersama ahli keluarga. Apabila dikhabarkan terputus bekalan makanan dan menjalani PKP di dalam ruangan sempit yang memuatkan kesemua ahli keluarga, maka atas rasa ihsan, kutipan amal ini dilaksanakan.

Menurut ketua projek komuniti Program Sumbangan COVID-19 Pelajar SBJK, Prof. Madya Dr. Norfifah Bt Bachok@Lati pada awalnya, ASPer berhasrat mengadakan program pemindahan ilmu aktiviti STEM tetapi ianya terpaksa ditangguhkan berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara. Namun, memikirkan alternatif, maka misi membantu anak-anak gelandangan ini diteruskan.

“Pihak kami ‘terpanggil’ untuk menyalurkan bantuan apabila mendapat makluman anak-anak ini terputus bekalan makanan sewaktu PKP dari kaunselor sekolah berkenaan, maka dengan waktu yang terhad berkat usaha sama staf Pusat Asasi Sains Pertanian dan juga dari Fakulti Sains UPM sepakat mengumpulkan sumbangan berbentuk tunai untuk disalurkan menerusi kaunselor berkenaan.

Apabila melihat wajah kesyukuran anak-anak gelandangan setelah menerima sumbangan menerusi gambar yang dikongsikan oleh pihak kaunselor SBJK amat menggembirakan kami. Jika diberi peluang, akan diusahakan lebih banyak lagi program-program komuniti dengan SBJK pada masa akan datang.”

Menurut kaunselor SBJK, Cikgu Abdul Ghani Bin Abu, sumbangan ini amat bermakna kepada mereka di mana ia sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban keluarga anak-anak ini dan seterusnya membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup. Sumbangan telah diserahkan kepada wakil keluarga anak gelandangan ini pada 4 April 2020. 

“Menerusi inisiatif ini jelas menunjukkan keprihatinan masyarakat selari tanda pagar #kitajagakita yang nyata memberikan satu impak yang besar kepada kehidupan anak gelandangan ini,” katanya.

 

Tarikh Input: 21/05/2020 | Kemaskini: 22/09/2022 | nazaran

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
SXEYPAJ~