SERDANG, 3 Disember - Seramai 40 orang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pagoh, Muar, Johor telah menyertai Kem Jati Diri Siri 4.0 yang dianjurkan oleh Kolej Tan Sri Aishah Ghani, Universiti Putra Malaysia. Program ini menampilkan penglibatan Pusat Asasi Sains Universiti Putra Malaysia (ASPutra) sebagai salah satu pengendali slot pengisian utama program. Program ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai bidang sains, teknologi dan pertanian melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.
Program dimulakan dengan pergerakan pelajar ke ASPutra sebelum diteruskan dengan sesi kata aluan yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Noor Azmi Shaharuddin, Timbalan Pengarah I ASPutra dan kemudiannya diteruskan dengan taklimat pengenalan ASPutra yang disampaikan oleh Puan Wan Nur Atikah Wan Mohd Adnan. Taklimat ini memberi gambaran menyeluruh tentang peranan, fungsi serta peluang pembelajaran yang ditawarkan oleh ASPutra kepada bakal pelajar.
Seterusnya, pelajar dibahagikan kepada dua kumpulan bagi mengikuti aktiviti pemindahan ilmu yang melibatkan beberapa unit utama di ASPutra. Antara unit yang terlibat ialah Unit Fizik, Unit Kimia, Unit Biologi dan Unit Pertanian. Melalui sesi ini, pelajar didedahkan kepada aktiviti pembelajaran secara langsung yang menggabungkan teori dan amali selaras dengan keperluan pembelajaran abad ke-21.
Program turut diserikan dengan sesi fotografi di Dataran Asasi 1, ASPutra sebagai kenangan penyertaan pelajar dalam program tersebut. Keseluruhan aktiviti dirangka bagi memberi pengalaman pembelajaran yang bermakna serta memperkukuh kefahaman pelajar terhadap aplikasi sebenar ilmu sains dan pertanian.
Para pelajar memberi respons yang memberangsangkan dengan menyatakan bahawa kaedah pembelajaran yang bersifat interaktif dan kolaboratif ini telah memberikan pengalaman baharu yang bermakna serta meningkatkan minat mereka terhadap bidang STEM dan pertanian. Selain itu, pelajar turut menyatakan kecenderungan untuk menjadikan ASPutra sebagai antara pilihan utama bagi melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
![]() |
![]() |
|
Disediakan oleh,
Tuan Muhammad Syafiq Tuan Hassan
Pegawai Eksekutif 3, ASPutra
|
Tarikh Input: 16/12/2025 | Kemaskini: 16/12/2025 | hasniah

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor