JERAYAWARA PELAJAR ASPutra KE FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI MAKANAN 2025 | PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» BERITA » JERAYAWARA PELAJAR ASPutra KE FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI MAKANAN 2025

JERAYAWARA PELAJAR ASPutra KE FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI MAKANAN 2025

Jumaat, 17 Januari 2025 – Seramai 31 orang pelajar ASPer20 telah mengikuti program jerayawara ke Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, FSTM UPM. Objektif program ini adalah untuk memberikan pendedahan awal kepada pelajar mengenai program yang ditawarkan di peringkat bacelor bagi fakulti yang mereka impikan. Melalui program ini, pelajar dapat meningkatkan motivasi dalam diri masing-masing dan membantu pelajar mendapat gambaran terhadap pilihan akademik yang seiring dengan cita-cita mereka. Di samping itu, pelajar juga dapat melawat ke sekitar kawasan fakulti untuk melihat kemudahan yang disediakan di sana.

Program jerayawara dimulakan dengan sesi taklimat fakulti yang telah disampaikan oleh Dr. Nurul Hanisah Juhari yang merupakan seorang Pensyarah Kanan dalam bidang kepakaran Sains Kulinari. Sub-bidang beliau merupakan Kimia Perasa dan Sains Deria. Beliau menceritakan serba sedikit latar belakang FSTM termasuklah program pengajian prasiswazah yang ditawarkan di fakulti tersebut. Terdapat tiga jabatan di FSTM iaitu Jabatan Sains Makanan, Jabatan Teknologi Makanan dan Jabatan Pengurusan & Khidmat Makanan. Beliau turut berkongsi aktiviti-aktiviti yang dijalankan di FSTM dan menekankan bahawa pelajar di FSTM akan berpeluang untuk menyertai pelbagai aktiviti dan pertandingan yang disediakan. Antara aktiviti yang telah dijalankan adalah seperti Projek Amal Food di Lapprenti Dapur Rakyat, Program Jalinan Kasih bersama Rumah Kebajikan dan Bimbingan At-Taqwa dan lain-lain.

Gambar 1: Gambar pelajar sepanjang sesi taklimat fakulti yang disampaikan oleh Dr. Nurul Hanisah Juhari

Gambar 2: Penyampaian cenderahati kepada pelajar yang berjaya menjawab soalan

Gambar 3: Gambar pelajar ASPer20 bersama pensyarah dan pelajar di FSTM

Selepas sesi taklimat, pelajar dibawa melawat  ke sekitar FSTM termasuklah Sensory Laboratory, Supercritical Fluid Centre (SFC) dan beberapa lokasi lain. Para pelajar telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang diketuai oleh wakil pelajar FSTM. Lawatan bertujuan memberi gambaran persekitaran kelas, kuliah, makmal dan lain-lain yang bakal pelajar lalui sekiranya menyambung pengajian di sana. Lawatan tersebut juga dapat menambahkan semangat dan minat dalam diri pelajar terhadap FSTM.

Gambar 4: Gambar sesi lawatan pelajar di sekitar FSTM

Gambar 5: Gambar kenangan pelajar ASPer20 di Laman Mahasiswa FSTM

Pusat Asasi Sains UPM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada FSTM atas kesudian menerima kunjungan ini. Semoga program jerayawara ini dapat memberi motivasi kepada pelajar ASPer20 untuk terus mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan membantu para pelajar untuk melihat dengan lebih jelas pilihan program ijazah yang ditawarkan kepada mereka.

 

Disediakan oleh: Dr. Khairun Nisak Muhammad, Penyelaras Jerayawara FSTM

 

Tarikh Input: 07/03/2025 | Kemaskini: 07/03/2025 | hasniah

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
S.2025/3/17:2:01:26~noCache