KSASPer REDAH GERAK MISI BANTUAN BANJIR DI KARAK, PAHANG | PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» BERITA » KSASPer REDAH GERAK MISI BANTUAN BANJIR DI KARAK, PAHANG

KSASPer REDAH GERAK MISI BANTUAN BANJIR DI KARAK, PAHANG

Pada 29 Disember 2021 (Rabu), Pusat Asasi Sains Pertanian (PASP) telah menggerakkan Pasukan sukarelawan KSASPer REDAH di bawah Kelab Staf ASPer untuk sebuah misi bantuan mangsa bencana banjir. Misi bantuan yang pada asalnya untuk digerakkan ke rumah-rumah staf PASP yang terlibat bencana di Banting, Selangor yang hampir dibatalkan kerana rumah terlibat telah selesai dibantu sukarelawan lain terlebih awal akhirnya mendapat sinar baharu apabila mendapat maklumbalas lokasi baharu di Karak, Pahang. Dengan bantuan Bilik Operasi Bencana Banjir, Universiti Putra Malaysia pasukan ini dapat menunaikan impian murni mereka untuk turut serta terlibat membantu meringankan beban mangsa bencana. Pasukan ini juga mendapat peruntukan operasi hasil sumbangan dari pihak Pengurusan dan warga PASP yang tegar menyokong operasi bantuan oleh pasukan sukarelawan KSASPer REDAH.

Pasukan seramai 22 staf dan seorang pelajar yang diketuai Dr. Emma Ziezie Mohd Tarmizi serta diiringi dua wakil pengurusan PASP iaitu Dr. Siti Nurul Ain Md. Jamil dan Tn. Hj Mat Razi Abdullah telah memulakan perjalanan seawal 8.30 pagi dengan menaiki bas yang disediakan oleh pihak UPM. Pengarah PASP, Prof. Madya Dr. Marina binti Mohd. Top @ Mohd. Tah juga selaku Ketua Operasi misi bantuan ini bersama staf PASP yang lain meraikan kepergian wira-wira PASP dengan kibaran bendera UPM dan kata-kata penuh semangat semasa bas mula bergerak menuju destinasi.

Pasukan tiba di lokasi pada jam 11 pagi disambut dengan lumpur setinggi betis yang memenuhi pemandangan. Disambut oleh Ketua Kampung dan tuan rumah bernama Puan Shila yang peramah dan baik hati menguatkan lagi semangat semua para sukarelawan ASPer untuk membantu dengan kederat yang padu bersama. Operasi berjalan dengan lancar dan masing-masing memberikan segala yang boleh untuk membersihkan rumah yang dipenuhi lumpur serta mengorek dan membuang lumpur yang memenuhi sekitar rumah.

Operasi penuh selut dan tanah liat di bawah terik matahari berlangsung sehingga jam 5 petang. Di dalam kepenatan sukarelawan KSASPer REDAH tetap ceria dan mengukir senyum apabila gambar mereka diambil sebagai kenangan terindah. Bas bergerak dari Karak menuju UPM pada jam 6 petang dan selamat tiba pada jam 8 malam.

Syukur kepada Tuhan yang telah memberikan peluang kepada insan-insan terpilih di kalangan warga PASP untuk menyumbang masa dan keringat bagi membantu mereka yang di dalam kesusahan ditimpa bencana. Semoga usaha semua mereka yang terlibat di lapangan dan juga usaha mereka yang terlibat merancang dan membantu menjayakan misi ini secara langsung atau tidak langsung dari awal sehingga akhir diberkati oleh Allah S.W.T. Penghargaan dan doa juga diiringkan kepada insan-insan berhati mulia menyumbang tunai dan barangan untuk kejayaan misi ini. Hanya Allah S.W.T yang mampu membalasnya.

   

Pasukan Sukarelawan KSASPer REDAH di bawah Kelab Staf ASPer berkumpul untuk bertolak ke karak 

 

  

 

         

Pasukan Sukarelawan KSASPer REDAH sedang bertungkus lumus menjalankan operasi bantuan banjir.

 

Tarikh Input: 30/12/2021 | Kemaskini: 29/04/2022 | emma

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
SXEdIAg~