KSASPer REDAH GERAK MISI SUKARELAWAN BANTUAN BANJIR DI BANTING, SELANGOR | PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» BERITA » KSASPer REDAH GERAK MISI SUKARELAWAN BANTUAN BANJIR DI BANTING, SELANGOR

KSASPer REDAH GERAK MISI SUKARELAWAN BANTUAN BANJIR DI BANTING, SELANGOR

Pada 6 Januari 2022, Pusat Asasi Sains Pertanian dengan kerjasama pasukan Kelab Staf ASPer REDAH (KSASPer REDAH) telah sekali lagi berjaya melaksanakan misi bantuan pasca banjir. Kali ini pasukan sukarelawan yang terdiri daripada 15 orang staf PASP telah bertandang ke rumah Dr. Nur Hana Faujan di RTB Bukit Changgang, Banting, Selangor. Misi bertujuan membantu meringankan beban beliau dalam kerja-kerja pembersihan dan mengemas kawasan sekitar rumah, mengangkat pebagai perabot dan permaidani yang dijemur dan menyusunnya di dalam rumah, membasuh pinggan mangkuk yang dicemari lumpur serta membersihkan dinding yang terdapat kesan tanah.

 

    Pasukan berkumpul untuk bertolak ke lokasi yang ditetapkan 

 

Pasukan berkumpul seawal jam 8 pagi di Pusat Asasi Sains Pertanian dan mula bersarapan. Di samping itu, barang-barang keperluan juga mula diangkat dan dimasukkan ke dalam bas yang dipinjamkan oleh pihak UPM yang telah sedia menunggu di bangunan PASP seawal jam 8 pagi. Perjalanan dimulakan dengan sesi bergambar serta taklimat operasi dan bacaan doa oleh Tuan Haji Mat Razi Abdullah. Bas mula bergerak pada jam 8.45 pagi dengan diiringi lambaian pelepasan oleh Pengurusan dan staf PASP yang tidak dapat ikut bersama.

 

Pasukan tiba di lokasi pada jam 9.40 pagi dan disambut dengan mesra oleh tuan rumah. Setelah berbincang dan beramah mesra kerja-kerja pun bermula. Sukarelawan mencurahkan tenaga dengan penuh semangat. Kerja-kerja yang dirancang untuk dilaksanakan dapat diselesaikan dengan baik bersama tuan rumah yang turut bersama sukarelawan berganding bahu. Sukarelawan ceria dan lebih bersemangat dengan kehadiran Pengarah Pusat Asasi Sains Pertanian pada jam 11.30 pagi yang datang melawat lokasi selepas beliau menghadiri mesyuarat pada pagi harinya.

 

Semua sukarelawan sedang melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan susun semula barangan yang dicuci

 

Pasukan selesai beramal dan berbakti pada jam 12.40 tengahari. Selepas membersihkan diri pasukan menjamu selera makanan tengahari. Makanan pagi dan tengahari adalah sumbangan dari Pengurusan PASP. Air mineral dan air kotak adalah sumbangan dari staf PASP. Barangan keperluan pula adalah sumbangan Kelab Staf ASPer. Sokongan dan bantuan dari pelbagai pihak memudahkan pengurusan dan pengoperasian misi bantuan pasca banjir yang diadakan.

 

Sesi bergambar bersama Pengarah PASP di lokasi misi bantuan pasca banjir

 

Selepas melakukan pemeriksaan peralatan, pasukan mula menaiki bas dan bergerak pulang ke UPM pada jam 1.30 tengahari. Pasukan tiba dengan selamat di PASP lebih kurang jam 2.30 petang. Semua gembira dan bersyukur atas peluang yang diberikan untuk berkhidmat sebagai sukarelawan. Semoga usaha sebegini dapat diteruskan lagi.

 

Tarikh Input: 07/01/2022 | Kemaskini: 31/03/2022 | hasniah

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
SXEdDA7~