Serdang, 26 Januari – Pusat Asasi Sains, Universiti Putra Malaysia (ASPutra) telah menganjurkan Program My Future Journey (MFJ) 2026 pada hari Isnin bertempat di Bilik Kuliah, Kompleks Akademik E (KAE), Universiti Putra Malaysia (UPM).
Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar, khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mengenai program asasi serta kursus-kursus yang ditawarkan oleh fakulti-fakulti di UPM. Selain itu, program ini turut menjadi medium interaksi antara pelajar, guru dan wakil fakulti dalam membantu pelajar merancang hala tuju pendidikan mereka.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai pengisian telah diadakan termasuk sesi pameran dan perkongsian maklumat oleh wakil Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang terlibat. Para pelajar berpeluang mendapatkan penerangan terperinci berkaitan program pengajian, syarat kemasukan serta prospek kerjaya dalam pelbagai bidang.
Antara PTJ yang mengambil bahagian dalam program ini ialah Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Fakulti Sains, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, Bahagian Kaunseling UPM, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Fakulti Perubatan Veterinar, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS), Bahagian Kemasukan & Bahagian Urus Tadbir Akademik, Fakulti Pertanian serta Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan.
Penganjuran program ini dilihat berjaya mencapai objektifnya dalam memberikan gambaran jelas kepada pelajar mengenai pilihan pengajian di peringkat lebih tinggi. Di samping itu, program ini turut membantu pelajar membuat keputusan yang lebih tepat berdasarkan minat, kebolehan dan peluang kerjaya masa hadapan.
Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua wakil fakulti, Pusat Tanggungjawab (PTJ), guru-guru serta pelajar yang telah hadir dan memberi sokongan dalam menjayakan program ini. Tidak dilupakan juga penghargaan khas kepada jawatankuasa pelaksana yang telah bertungkus-lumus dalam memastikan kelancaran perjalanan program dari awal hingga akhir.
Secara keseluruhannya, Program My Future Journey 2026 berjaya menjadi platform yang efektif dalam membimbing pelajar ke arah perancangan masa depan akademik yang lebih terarah dan berinformasi. Pihak penganjur berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar.
Disediakan oleh,
Wan Nur Atikah Wan Mohd Adnan,
Setiausaha I,
Program My Future Journey, MFJ 2026
Tarikh Input: 20/04/2026 | Kemaskini: 20/04/2026 | hasniah

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor