Pertandingan Debat Piala Dato’ Menteri Besar Selangor Tahun 2024 | PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» BERITA » Pertandingan Debat Piala Dato’ Menteri Besar Selangor Tahun 2024

Pertandingan Debat Piala Dato’ Menteri Besar Selangor Tahun 2024

9 Mac 2024 – Dua pelajar Program Asasi Sains Pertanian telah mewakili Universiti Putra Malysia (UPM) ke Pertandingan Debat Piala Dato’ Menteri Besar Selangor Tahun 2024 bagi kategori Pra-Universiti. Pertandingan ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pendidikan dan Modal Insan Negeri Selangor dengan Kerjasama Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM). Pertandingan ini menggunakan format Debat Ala Parlimen British dan berlangsung selama dua hari di Selangor Technical Skills Development Centre (STDC), Bandar Melawati Selangor.

Timbalan Pengarah II ASPutra, Dr. Muhammad Alif Muhammad Latif telah mencari dua pelajar yang berbakat dalam debat untuk mewakili ASPutra ke pertandingan ini. Terdapat beberapa pelajar berminat untuk menyertai namun yang terpilih untuk mewakili ASPutra adalah Muhammad Danish Izham dan Rais Syahmi Ramli. Kedua pelajar ini juga pernah menyertai Pertandingan Debat Antara Asasi Universiti Awam (PeDAA) lalu. Berbekalkan latihan dan pengalaman terdahulu, mereka bersemangat untuk mencuba nasib di pertandingan kali ini. Walaupun sibuk membahagi masa di antara kuliah, ujian dan latihan, mereka tetap bersemangat untuk memberikan yang terbaik. Berkat usaha dan ketekunan, mereka mara ke peringkat separuh akhir. Namun, rezeki tidak menyebelahi pasukan ASPutra. Pemenang bagi kategori Pra Universiti bagi tahun ini adalah dari Asasi Universiti Malaya.

Tahniah diucapkan kepada adik Rais Syahmi Ramli dan Muhammad Danish Izham kerana telah mendapat kedudukan ke-12 dan ke-14 dari 25 pendebat keseluruhan untuk peringkat Pra Universiti. Kedudukan ini adalah berpandukan keputusan pusingan awal setelah tamat empat pusingan utama.  Syabas juga diucapkan kepada pasukan debat Asasi UPM kerana mendapat kedudukan ke-4 dari 13 penyertaan keseluruhan. Antara asasi yang menyertai pertandingan ini adalah dari Asasi Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Asasi Universiti Malaya (UM), Asasi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Asasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Asasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan beberapa asasi lain lagi. Setinggi penghargaan diberikan kepada pendebat ASPutra ini, atas usaha dan komitmen yang diberikan dalam mewakili ASPutra dan UPM.

 

Disediakan Oleh,

Aina Suhaiza Binti Mohamad Nazir

 

Tarikh Input: 14/03/2024 | Kemaskini: 14/03/2024 | hasniah

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
SXEYHAY~