SERDANG, 13 Mac - Komuniti Pusat Asasi Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menjayakan Program Bubur Lambuk ASPutra 2026 sebagai salah satu aktiviti sempena bulan Ramadan. Program ini merupakan hasil sumbangan ikhlas staf ASPutra yang bersama-sama menyokong penganjurannya.
Persiapan program telah dimulakan sehari lebih awal iaitu pada 12 Mac 2026 yang melibatkan pembelian bahan mentah serta penyediaan peralatan memasak. Aktiviti memasak bubur lambuk pula bermula pada pagi 13 Mac 2026 dengan penglibatan staf sukarelawan yang berkelapangan pada waktu tersebut, sekali gus mencerminkan semangat kerjasama dan gotong-royong dalam kalangan warga ASPutra.
Program ini telah dirasmikan oleh Pengarah Pusat Asasi Sains, Profesor Madya Dr Marina Mohd Top @ Tah yang menyampaikan bubur lambuk kepada Penyelaras Program, Dr Emma Ziezie Mohd Tarmizi sebagai simbolik perasmian sejurus selepas selesai proses penyediaan bubur lambuk.
Melalui sumbangan yang diterima, pihak penganjur bukan sahaja berjaya menyediakan bubur lambuk yang dimasak sendiri, malah lebihan dana turut dimanfaatkan dengan menempah hidangan tambahan berupa ayam percik dan tepung pelita sebagai juadah berbuka puasa kepada staf.
Edaran makanan kepada warga ASPutra telah bermula sekitar jam 3.00 petang dan berlangsung sehingga kira-kira jam 5.30 petang, melibatkan penyediaan makanan kepada lebih daripada 80 orang staf ASPutra. Sebahagian bubur lambuk turut dikongsi dengan beberapa pihak luar sebagai tanda perkongsian rezeki dan semangat Ramadan.
Penganjuran program ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga ASPutra melalui aktiviti gotong-royong sempena bulan Ramadan. Selain memupuk semangat kebersamaan dan kerjasama antara staf, program ini juga menghidupkan amalan berkongsi rezeki dalam kalangan warga universiti. Secara tidak langsung, program ini turut memperkukuhkan ukhuwah dan semangat kekeluargaan dalam kalangan staf di samping mewujudkan suasana Ramadan yang lebih bermakna.









Disediakan oleh : Dr. Emma Ziezie Mohd Tarmizi
Penyelaras Program Bubur Lambuk ASPutra 2026
Tarikh Input: 16/03/2026 | Kemaskini: 16/03/2026 | emma

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor