Program Healing With Nature Menyuntik Nilai Kerohanian | PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» BERITA » Program Healing with Nature Menyuntik Nilai Kerohanian

Program Healing with Nature Menyuntik Nilai Kerohanian

Ahad, 1 Sept 2024 - Seramai 48 orang pelajar Program Asasi Sains Pertanian (ASPer), Pusat Asasi Sains Universiti Putra Malaysia (ASPutra) telah mengikuti program Healing with Nature anjuran Sekretariat Kerohanian dan Perpaduan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP UPM) dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Islam (PMI UPM). Pelajar diiringi oleh dua Pegawai Perkhidmatan Pendidikan ASPutra, Cik Aina Suhaiza Mohamad Nazir dan Cik Ermelia Rohayu Ramlan.

 

Program yang telah berlangsung di Taman Botani Negara, Shah Alam ini bertujuan untuk memberi bimbingan pelbagai aspek meliputi sahsiah, pembangunan diri dan pengisian rohani secara intensif dan sahih dengan menerapkan nilai murni dalam kehidupan sebagai pelajar. Disamping itu, program ini turut menjadi medium khusus kepada pelajar untuk mengadakan perbincangan ilmu dan saling berinteraksi bagi meningkatkan kemahiran insaniah serta melahirkan tenaga kerja yang mempunyai nilai kepimpinan dan

sahsiah terpuji serta nilai kebolehpasaran yang tinggi sejajar dengan keperluan masa kini.

 

Antara perkongsian daripada peserta menerusi aktiviti Jelajah Alam Sekitar yang dilakukan secara eksplorasi adalah, "Program ini dapat memberi peluang kepada mereka untuk bertaaruf dan berkenalan dengan rakan kuliah lain". Selain itu, peserta kedua pula berkongsi, “Sebagai seorang pencari ilmu, kita perlu sentiasa berlapang dada semasa menimba ilmu dan berbakti dengan ilmu yang diperolehi".

 

Pengisian aktiviti petang pula disampaikan oleh Dr. Mohammad Nizam Abdul Kadir, Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia UPM. Perkongsian bertajuk "I'Jaz Al-Quran dan Alam Sekitar ini mendedahkan pelajar mengenai kepentingan untuk memahami ilmu yang diamalkan agar dapat mengelak diri daripada mempercayai ajaran sesat yang semakin berleluasa  serta cara menanganinya.

 

Program Healing with Nature juga turut mendapat tajaan daripada Blueprint Panda dan Rotiwap. Wakil dari pihak Blueprint Panda, En. Muhammad Norirfan Norazam dan En. Budiman Hakim, En. Lukman Hakim, Timbalan Pengasas Rotiwap dan Dr. Muhammad Alif bin Mohammad Latif, Timbalan Pengarah II ASPutra juga turut serta menghadiri sesi penutupan program dan penyampaian hadiah kepada peserta. Program ini tamat pada jam 6.00 petang dan semua peserta bergerak pulang semula ke kolej kediaman.

 

Gambar 1: Pelajar riang melakukan aktiviti Jelajah Alam Sekitar.

Gambar 2: Antara aktiviti yang dilakukan ketika aktiviti Jelajah Alam Sekitar.

Gambar 3: Perkongsian oleh En. Muhammad Norirfan Norazam daripada Blueprint Panda.

Gambar 4: Minum petang tajaan Blueprint Panda dan Rotiwap.

Gambar 5: Barisan peserta program Healing with Nature

 

Disediakan Oleh,

 

Cik Aina Suhaiza Mohamad Nazir dan Cik Ermelia Rohayu Ramlan

Pegawai Perkhidmatan Pendidikan

Tarikh Input: 30/09/2024 | Kemaskini: 30/09/2024 | hasniah

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
S.2025/3/17:1:49:39~noCache