Pusat Asasi Sains Pertanian Jalankan Program Bright Spark | PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» BERITA » Pusat Asasi Sains Pertanian Jalankan Program Bright Spark

Pusat Asasi Sains Pertanian Jalankan Program Bright Spark

11 September 2019 – Pusat Asasi Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah melaksanakan satu program yang diberi nama program Bright Spark 2019. Program ini telah diadakan di SMK Rantau Panjang, Klang, Selangor pada 11 September 2019 melibatkan 10 orang Tenaga Pengajar yang terdiri daripada Pensyarah dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dari Unit Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik, dan diketuai oleh Dr Ikhwan Syafiq bin Mohd Noor. Seramai 65 orang pelajar tingkatan empat dan 4 orang guru di sekolah tersebut telah melibatkan diri dalam program ini.

  

Objektif utama Program Bright Spark 2019 ini diadakan bertujuan untuk menjana dan memupuk minat terhadap subjek sains dan matematik terutama kepada pelajar luar bandar dengan menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan projek. Di samping itu, program ini dilaksanakan bagi merangsang daya pemikiran dan kesedaran pelajar tentang kepentingan sains dan matematik dalam menyelesaikan masalah serta mengubah persepsi dan mempertingkat penghayatan pelajar terhadap subjek sains dan matematik. Aktiviti yang dilakukan oleh para pelajar dikaitkan dengan konsep teori sains dan matematik. Pendekatan pembelajaran melalui projek ini berupaya menyemai pemikiran aras tinggi pelajar dalam memahami konsep serta menyelesaikan masalah berkaitan sains dan matematik disamping menjana minda kelas pertama dalam mengejar arus teknologi di masa hadapan.

   

 

Pengenalan kepada bidang STEM (science, technology, engineering dan mathematics) bersepadu merujuk kepada dasar pendidikan dan pilihan kurikulum sekolah adalah untuk meningkatkan daya saing dalam bidang sains serta teknologi kepada pelajar. Ini termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM 2013-2025) yang menekankan pendidikan STEM di peringkat sekolah melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum dengan sokongan menerusi pelbagai pihak berkepentingan dan Pusat Asasi Sains Pertanian UPM mengambil peranan sebagai pihak yang terlibat menjayakan PPPM 2013-2025 ini.

 

Dapat dilihat bahawa Program Bright Spark 2019 ini memberi impak positif kepada para pelajar terutama pelajar yang sedang mengikuti subjek sains tulen dimana ia dapat meningkatkan minat serta motivasi pelajar-pelajar dalam meneruskan kerjaya dalam bidang sains. Ini selari dengan pembelajaran abad ke-21 yang menekankan konsep berpandukan komponen 4C atau 4K iaitu komunikasi, kerjasama, kreativiti dan pemikiran kritikal serta kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

 

Sambutan baik yang diberikan oleh pihak sekolah membuktikan bahawa Program Bright Spark ini harus diteruskan pada masa akan datang. Kepada sekolah serta institusi yang berminat untuk diadakan program ini bolehlah berhubung dengan Pusat Asasi Sains Pertanian UPM.

 

 

 

Tarikh Input: 14/10/2019 | Kemaskini: 14/10/2019 | hasniah

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
SXEaAAQ~