Selamat Tinggal Dan Selamat Datang! | PUSAT ASASI SAINS PERTANIAN
» BERITA » Selamat Tinggal dan Selamat Datang!

Selamat Tinggal dan Selamat Datang!

SELAMAT TINGGAL, SEHINGGA BERTEMU LAGI!

Serdang, Sept 30 – Pusat Asasi Sains Pertanian mengucapkan selamat tinggal kepada mantan Ketua Bidang Bahasa Inggeris, Puan Azean Abu Samah. Bagi menghargai jasa beliau, Kelab Staf ASPer telah mengadakan majlis perpisahan pada 30 September 2019 bertempat di ASASI 1. Beliau telah berkhidmat di Pusat Asasi bermula dari 1 Ogos 2018 dan sekaligus dilantik menjadi Ketua Bidang Bahasa Inggeris yang pertama.

“Pusat Asasi telah menyediakan saya platform dan peluang untuk mengenali diri sendiri dengan lebih mendalam apabila diberi kepercayaan untuk mengetuai bidang Bahasa Inggeris. Di sini saya berkesempatan untuk mengenali ramai rakan sekerja yang sudi menghulurkan bantuan. Tambahan pula, saya merasa seronok mengajar pelajar-pelajar ASPer yang aktif dan memberi respon yang memberangsangkan,” katanya.

“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada keluarga besar ASPer kerana mewarnai perjalanan kerjaya saya dengan pelbagai warna. Setiap pengakhiran adalah pembuka kepada satu lembaran yang lain! Semoga Allah meredhai anda semua. Selamat tinggal dan jaga diri,” katanya lagi.

Dalam kesedihan pasti ada sinar. Bidang Bahasa Inggeris berbesar hati menerima pelantikan ketua bidang yang baru iaitu Puan Siti Norbaiti Yahaya. Tahniah!

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada guru-guru Bahasa dan juga Puan Azean kerana meletakkan kerpercayaan kepada saya. Saya akan cuba melakukan yang terbaik demi kesejahteraan bidang Bahasa Inggeris dan Pusat Asasi,” beliau berkata.

Puan Azean turut berkongsi amanat terakhir kepada Puan Siti Norbaiti sebelum beliau mengundurkan diri, “Tahniah dan terima kasih kepada Baiti kerana sudi menggalas tugas sebagai Ketua Bidang yang baru. Saya yakin anda akan mengetuai bidang ini dengan sebaiknya.”

Tarikh Input: 14/10/2019 | Kemaskini: 14/10/2019 | hasniah

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ASASI SAINS PERTANIAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
C1596480422