MAJLIS IKRAR PELAJAR BAHARU PROGRAM ASASI SAINS PERTANIAN SESI 2023/2024 BERSAMA PENGURUSAN UNIVERSITI | CENTRE FOR FOUNDATION STUDIES IN SCIENCE OF UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» NEWS » MAJLIS IKRAR PELAJAR BAHARU PROGRAM ASASI SAINS PERTANIAN SESI 2023/2024 BERSAMA PENGURUSAN UNIVERSITI

MAJLIS IKRAR PELAJAR BAHARU PROGRAM ASASI SAINS PERTANIAN SESI 2023/2024 BERSAMA PENGURUSAN UNIVERSITI

22 Ogos 2023 – Majlis Ikrar Pelajar Baharu bagi Program Asasi Sains Pertanian (ASPer) Sesi 2023/2024 telah diadakan dengan jayanya pada malam 22 Ogos 2023 (Selasa) di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM). Majlis tersebut telah dihadiri oleh seramai 723 orang pelajar baharu yang telah mendaftar pada 26-27 Julai 2023 yang lalu.

Majlis ikrar tersebut telah diserikan dengan kehadiran Naib Canselor UPM, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Roslan Sulaiman. Beliau turut diiringi oleh YBhg. Prof. Dr. Ismi Arif Ismail, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), YBrs. Pn. Hjh. Izariahwati Mohd Isa, Bursar, YBrs. En. Muhammad Adil Ahmad Tajuddin, Penasihat Undang-Undang, YBrs. Prof. Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah, Pengarah Pusat Asasi Sains Pertanian (PASP), barisan pengurusan dan tenaga pengajar Pusat Asasi Sains Pertanian serta pegawai-pegawai Universiti Putra Malaysia.

        

Ketibaan Naib Canselor UPM, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Roslan Sulaiman diiringi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), YBhg. Prof. Dr. Ismi Arif Ismail serta pegawai-pegawai Universiti Putra Malaysia

Majlis ikrar dimulakan dengan bacaan doa bagi memanjatkan kesyukuran kerana dapat berhimpun bersama-sama antara para pelajar ASPer yang baharu bersama Pengurusan Universiti disamping memohon keberkatan majlis dari Allah S.W.T. Majlis dimeriahkan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Putra Gemilang oleh semua yang berada di dalam dewan dalam suasana yang penuh semangat. Ucapan alu-aluan Pengarah PASP, YBrs. Prof. Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah dimulakan dengan menyampaikan ucapan ribuan terima kasih kepada Naib Canselor, Universiti Putra Malaysia, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Roslan Sulaiman atas kesudian beliau meluangkan masa bersama para pelajar ASPer pada malam tersebut. Pelbagai nasihat telah dikongsikan sepanjang ucapan beliau selain turut menyatakan asas dalam bidang sains dan pertanian menjadi titik permulaan kepada para pelajar ASPer yang baharu sebelum mereka melangkah ke program ijazah.

Majlis ikrar diteruskan dengan ucapan dari Naib Canselor, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Roslan Sulaiman. Beliau telah menitipkan pesanan dan nasihat-nasihat yang sangat berguna kepada para pelajar ASPer termasuklah mengingatkan para pelajar untuk menjadikan UPM sebagai rumah selama setahun. Beliau menegaskan, para pelajar ASPer seharusnya menggunakan segala ruang dan peluang yang ada di universiti ini dengan sebaiknya serta meraih keputusan yang cemerlang selama dua semester sebelum melangkah masuk ke pengajian ijazah sarjana muda kelak. Para pelajar ASPer juga dinasihatkan untuk menyasarkan sekurang-kurangnya 3.75 CGPA sepanjang setahun pembelajaran di program asasi bagi memudahkan para pelajar menyambung pengajian seterusnya dalam apa sahaja bidang yang mereka minati dan impikan. Beliau juga sempat merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada para pelajar ASPer yang baharu yang memilih UPM sebagai destinasi utama dalam melanjutkan pengajian selepas tamat SPM.

  

Foto sekitar ucapan Naib Canselor, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Roslan Sulaiman dan Pengarah PASP, YBrs. Prof. Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd Tah serta bacaan doa oleh wakil pelajar ASPer yang baharu

Bacaan ikrar pelajar telah diketuai oleh wakil pelajar ASPer yang baharu, Hasif Farhan Hamzah. Majlis ikrar tersebut telah menjadi saksi akur janji para pelajar baharu terhadap semua akta universiti dan kolej, di samping kesediaan mereka dalam menjaga etika, imej dan adab yang baik serta mengekalkan kecemerlangan sepanjang berada di program asasi di UPM. Tayangan montaj dan persembahan para pelajar ASPer yang baharu telah menambahkan kemeriahan majlis ikrar tersebut.

  

Foto sekitar Majlis Ikrar Pelajar Baharu Program Asasi Sains Pertanian Sesi 2023/2024 bersama Pengurusan Universiti

Pada jam 10.30 malam, majlis ikrar melabuhkan tirai selepas sesi bergambar kenangan dijalankan. Majlis telah berjalan dengan lancar dan berakhir dengan jayanya. Diharapkan majlis ikrar ini, dapat menyunting lebih semangat dalam diri para pelajar baharu dalam menempuh pelbagai cabaran di peringkat asasi mahupun di peringkat yang lebih tinggi kelak.

 

Disediakan oleh,
Dr. Khairun Nisak Muhammad
AJK Penulisan Laman Web dan Laporan, Majlis Ikrar Pelajar Baharu Sesi 2023/2024

 

  

Date of Input: 11/09/2023 | Updated: 11/09/2023 | hasniah

MEDIA SHARING

CENTRE FOR FOUNDATION STUDIES IN SCIENCE OF UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
SXEbOAM~