Suasana Hari Pendaftaran Pelajar Baharu Bagi Sesi Akademik 2023/2024 | CENTRE FOR FOUNDATION STUDIES IN SCIENCE OF UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» NEWS » Suasana Hari Pendaftaran Pelajar Baharu bagi Sesi Akademik 2023/2024

Suasana Hari Pendaftaran Pelajar Baharu bagi Sesi Akademik 2023/2024

Pendaftaran para pelajar baharu telah berlangsung selama dua hari iaitu pada 26 dan 27 Julai 2023 yang bertempat di Kolej Tan Sri Aishah Ghani (KTAG). Pendaftaran telah bermula seawal 8.00 pagi sehingga 4.30 petang. Antara perkara yang menarik perhatian sepanjang pendaftaran tersebut adalah pendaftaran seorang pelajar orang kekurangan upaya (OKU), Humaira Mohd Aidil Shah yang buta sebelah matanya. Kekurangan beliau menjadi pemangkin semangatnya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Selain itu, pendaftaran oleh pasangan kembar, Tun Nurin Syahidah Ahmad Bakri dan Tun Nurin Syuhadah Ahmad Bakri juga mencuri perhatian di hari pendaftaran tersebut. Jumlah keseluruhan pelajar baharu yang telah mendaftar di Pusat Asasi Sains Pertanian (PASP) adalah seramai 723 orang pelajar yang terdiri daripada 258 orang pelajar lelaki dan 465 orang pelajar perempuan.

 

Pelajar OKU dan pasangan kembar antara pelajar baharu yang telah mendaftar.

Di samping itu, hari pendaftaran pelajar baharu turut diserikan dengan kehadiran Yang Berbahagia Prof. Dr. Ismi Arif Ismail, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM. Beliau telah meluangkan masa mengadakan lawatan ke kampus kediaman KTAG bagi melihat suasana sesi pendaftaran pelajar baharu pada hari kedua pendaftaran. Beliau juga berkesempatan menyantuni dan beramah mesra dengan para pelajar dan keluarga yang hadir pada hari tersebut.

Kehadiran beliau telah diiringi oleh Prof. Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah, Pengarah PASP, Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad Shukri Muhammad Noor, Pengetua KTAG, En. Mohd Nazri Md Yasin, Ketua Pentadbiran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Tuan Haji Ahmad Fouzi Abdul Tahir dari Seksyen Kemasukan, Bahagian Akademik, UPM, pengurusan tertinggi PASP, Prof. Madya ChM. Dr. Siti Nurul Ain Md. Jamil, Timbalan Pengarah 1 (Akademik dan Penyelidikan), Prof. Madya Dr. Mohamad Amran Mohd Salleh, Timbalan Pengarah 2 (Hal Ehwal Pelajar & Jaringan Industri dan Masyarakat) dan Puan Shaerin Azlin Ab Rahman, Penolong Pendaftar Kanan.

TNCA meluangkan masa melawat dan beramah mesra di hari pendaftaran pelajar baharu.

Suasana di perkarangan kampus kediaman KTAG sangat meriah dengan kehadiran para pelajar baharu bersama keluarga masing-masing. Jelas terpancar keceriaan dan senyuman yang tidak lekang dari bibir mereka terutama dalam kalangan ibu bapa. Nyatanya, merekalah antara orang yang terpaling bahagia menghantar anak-anak mereka belajar dengan pengharapan yang tinggi supaya anak-anak mereka akan lebih berjaya kelak.

Seusai mendaftar, para pelajar terus bergerak ke bilik kolej kediaman dengan membawa barang-barang keperluan mereka. Memandangkan pelajar baharu yang bakal mendaftar dijangka melebihi 600 orang pelajar, maka pihak kolej bekerjasama dengan urusetia PASP telah memastikan tiada kenderaan yang masuk ke perkarangan kediaman kolej tersebut. Oleh itu, bagi memastikan kelancaran dan memudahkan perjalanan sepanjang pendaftaran pelajar baharu untuk kedua-dua hari, kenderaan keluarga para pelajar perlu diparkir ditempat yang telah disediakan yang terletak di luar kawasan kolej kediaman KTAG. Dikongsikan suasana di sekitar kediaman kolej KTAG sepanjang dua hari pendaftaran.

 

Gambar sekitar hari pertama pendaftaran.

 

Gambar sekitar hari kedua pendaftaran.

Antara sorotan penting sepanjang pendaftaran pelajar baharu termasuklah penyediaan buggy yang memudahkan proses mengangkat dan membawa barang-barang yang berat dan besar para pelajar ke bilik kolej kediaman mereka. Lokasi parkir yang agak jauh dari bilik kolej, menjadi faktor buggy sangat diperlukan. Dikongsikan gambar-gambar penggunaan buggy di hari pendaftaran pelajar baharu.

 
 
 
   
   

Penggunaan buggy di hari pendaftaran pelajar baharu.

Hari pendaftaran pelajar baharu telah berakhir dengan jayanya dengan bantuan semua urusetia dan fasilitator yang terlibat. Cuaca yang sangat baik juga membantu kelancaran proses pendaftaran tersebut. Seluruh warga PASP sangat mengalu-alukan kehadiran pelajar baharu ke PASP dan berharap dapat membina ikatan yang lebih harmoni sesama pelajar dan membina memori terindah bersama.

 

Disediakan oleh,

Dr. Khairun Nisak Muhammad

AJK Penulisan Laman Web dan Laporan, MPP 2023

Date of Input: 29/07/2023 | Updated: 29/07/2023 | hasniah

MEDIA SHARING

CENTRE FOR FOUNDATION STUDIES IN SCIENCE OF UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
SXEbRA1~