Pemulihan Terumbu Karang: Pendekatan Saintifik Dan Global | CENTRE FOR FOUNDATION STUDIES IN SCIENCE OF UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTICLE » Pemulihan Terumbu Karang: Pendekatan Saintifik dan Global

Pemulihan Terumbu Karang: Pendekatan Saintifik dan Global

(https://www.ecowatch.com/coral-reefs-facts-ecowatch.html)

Terumbu karang merupakan antara ekosistem paling pelbagai dan produktif di dunia. Ianya adalah struktur besar dan kompleks yang terbentuk di dasar laut, terutamanya di kawasan tropika, yang terdiri daripada karang (coral) iaitu gabungan polip, rangka kalsium karbonat, dan alga simbiotik zooxanthellae. Terumbu karang juga menjadi tempat tinggal bagi pelbagai jenis ikan dan invertebrata laut seperti landak laut, siput, ketam dan udang, serta alga dan tumbuhan laut sebagai sumber makanan. Ia juga menjadi rumah bagi pelbagai mirkoorganisma seperti bakteria dan plankton yang memainkan peranan penting dalam kitaran nutrien. Kesemua komponen ini saling bekerjasama untuk mengekalkan keseimbangan ekosistem dan menyokong biodiversiti laut.

(https://www.usgs.gov/media/images/simplified-coral-anatomy)

Walaubagaimanapun terumbu karang semakin merosot akibat tekanan persekitaran dan aktiviti manusia. Salah satu punca utama ialah perubahan iklim, terutamanya peningkatan suhu laut. Apabila suhu melebihi tahap toleransi, karang akan melepaskan alga simbiotik yang hidup di dalam tisu mereka. Keadaan ini akan membawa kepada pemutihan karang (coral bleeching), iaitu tindak balas tekanan yang melemahkan karang dan meningkatkan risiko kematian jika suhu tinggi yang berterusan. Selain itu, pengasidan laut (ocean acidification) akibat peningkatan penyerapan karbon dioksida ke dalam air laut mengurangkan keupayaan karang membina rangka kalsium karbonat lalu menjadikannya lebih rapuh dan mudah pecah.
Kesan kepada karang ini juga dipercepat oleh aktiviti. Penangkapan ikan yang berlebihan menggangu keseimbangan ekologi dengan mengurangkan spesies penting yang mengawal pertumbuhan alga. Tanpa herbivor ini, alga boleh membiak secara berlebihan dan menenggelamkan karang. Pencemaran dari daratan, termasuk limpahan pertanian, pembuangan sisa, dan pemendapan sedimen akibat pembangunan, menurunkan kualiti air serta menghalang kemasukan cahaya matahari yang penting untuk fotosintesis. Kerosakan fizikal daripada aktiviti pelancongan yang tidak beretika, aktiviti kapal berlabuh, dan kaedah penangkapan ikan merosakkan (destructive fishing) turut menyumbang kepada kemusnahan terumbu karang.
Sebagai respon kepada kemusnahan terumbu karang ini, saintis memperkenalkan pelbagai teknik pemulihan terumbu karang. Salah satu kaedah berkesan ialah pertanian karang (coral gardening), di mana serpihan karang yang sihat diternak di tapak semaian lalu dipindahkan ke kawasan terumbu yang rosak. Penggunaan teknik mikrofragmentasi dengan memotong karang kepada cebisan kecil supaya penyembuhan dan pertumbuhan karang menjadi lebih cepat. Penyelidik juga mengkaji karang yang tahan haba melalui pembiakbakaan terarah (selective breeding) dan evolusi dibantu (assisted evolution) yang dapat membantu menghasilkan spesies karang yang lebih kebal kepada pemanasan global. Penguatkuasaan kawasan perlindungan marin (marine protected areas) turut membantu mengurangkan penangkapan ikan yang berlebihan dan berbahaya di kawasan terumbu karang.

(Kredit: Indo-Pacific Films)

Namun, pemulihan terumbu karang hanya akan berjaya jika semua pihak dapat bekerjasama. Ia memerlukan usaha global yang komprehensif, termasuk pengurangan perubahan iklim, kawalan pencemaran laut, pengurusan penangkapan ikan secara lestari, serta perlindungan habitat marin yang kritikal. Usaha pemulihan juga perlu disokong oleh penyelidikan saintifik, pendidikan awam, dan penglibatan komuniti tempatan bagi memastikan kesedaran dan tindakan berterusan. Tanpa tindakan menyeluruh dan bersepadu, terumbu karang akan terus merosot, mengancam biodiversiti marin, mengurangkan hasil perikanan, melemahkan perlindungan pantai, dan menjejaskan jutaan manusia yang bergantung kepada sumber laut untuk makanan, pekerjaan, dan kehidupan seharian. Oleh itu, pemulihan terumbu karang memerlukan gabungan sains, polisi, dan penglibatan masyarakat untuk menjamin kelestariannya bagi generasi masa depan.


Rujukan:


Anthony, K. R. N., Kline, D. I., Diaz-Pulido, G., Dove, S., & Hoegh-Guldberg, O. (2011). Ocean acidification and coral reefs: Effects on breakdown, dissolution, and net ecosystem calcification. Biogeosciences, 8(6), 1521–1538.
Fabricius, K. E. (2005). Effects of terrestrial runoff on the ecology of corals and coral reefs: Review and synthesis. Marine Pollution Bulletin, 50(2), 125–146.
Hughes, T. P., Kerry, J. T., Álvarez-Noriega, M., Anderson, K. D., Connolly, S. R., Cooper, A. L., Wilson, S. K. (2017). Global warming and recurrent mass bleaching of corals. Nature, 543(7645), 373–377.
Mumby, P. J., Hastings, A., & Edwards, H. J. (2007). Thresholds and the resilience of Caribbean coral reefs. Nature, 450(7166), 98–101.
Page, C. A., Muller, E. M., & Vaughan, D. E. (2018). Microfragmentation as a restoration tool for threatened coral species: A case study. Restoration Ecology, 26(4), 567–575.
Rinkevich, B. (2014). Rebuilding coral reefs: Does active reef restoration lead to sustainable reefs? Current Opinion in Environmental Sustainability, 7, 28–36.
van Oppen, M. J. H., Oliver, J. K., Putnam, H. M., & Gates, R. D. (2015). Building coral reef resilience through assisted evolution. Proceedings of the National Academy of Sciences, 112(8), 2307–2313.


Disediakan oleh:
Muhammad Amiruddin bin Ibrahim
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan
Unit Biologi

Date of Input: 15/12/2025 | Updated: 15/12/2025 | hasniah

MEDIA SHARING

CENTRE FOR FOUNDATION STUDIES IN SCIENCE OF UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
F, (07:03:20am-07:08:20am, 30 Mar 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]