ADA APA DENGAN KAMBING BOER? | CENTRE FOR FOUNDATION STUDIES IN SCIENCE OF UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTICLE » ADA APA DENGAN KAMBING BOER?

ADA APA DENGAN KAMBING BOER?

Daging merupakan sumber protein yang penting. Rakyat Malaysia boleh memperoleh sumber daging daripada ternakan ruminan (kambing, lembu, kerbau dan rusa) dan bukan ruminan (ayam, itik, arnab dan khinzir). Mengikut data yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia bagi tahun 2017 hingga 2021 menunjukkan kadar tahap sara diri bagi daging ruminan masih lagi rendah berbanding bukan ruminan. Ini bermaksud, negara Malaysia masih bergantung besar dengan daging ruminan yang dibekalkan dari luar negara seperti India dan Australia.

Oleh itu, bagi mengatasi masalah ini, pasukan penyelidik MARDI telah membawa masuk kambing Boer berpedegri dari Afrika Selatan untuk dijadikan sebagai pembiak baka. Kambing Boer ini telah diternak untuk pengeluaran daging di bawah sistem pengeluaran intensif dan separa intensif.

Hasil pemerhatian dan kajian yang dijalankan oleh MARDI didapati baka kambing Boer mempunyai prestasi pengeluaran daging yang tinggi berbanding baka kambing tempatan, Katjang. Anak kambing Boer jantan dan betina masing-masing mempunyai berat sekitar 3.0 – 5.0 kg dan 2.5 – 4.0 kg berbanding berat lahir anak kambing Katjang sekitar 1.2 -2.5 kg sahaja. Manakala bagi berat matang kambing Boer jantan dan betina pula masing-masing antara 65-90 kg dan 45-65 kg berbanding dengan kambing Katjang jantan (25-35 kg) dan Katjang betina (15-25 kg).

Selain itu, antara kelebihan lain bagi baka kambing Boer adalah dapat beradaptasi dengan cuaca dan persekitaran yang mencabar dan tidak menentu.  Baka Boer juga tidak mudah dijangkiti penyakit dan disusuli dengan kadar kematian yang rendah.

Kesimpulannya, baka kambing Boer boleh memainkan peranan yang penting sebagai baka pembiak industry penternakan kambing jenis pedaging di Malaysia. Kaedah penternakan yang sistematik dan berteknologi tinggi disulami dengan baka kambing berkualiti dapat memajukan industri kambing negara sekaligus mengurangkan kadar kebergantungan Malaysia terhadap daging import. 

 

  • Baka kambing Boer. Mempunyai warna coklat di bahagian kepala dan berwarna putih pada badan.

 

 

  • Baka kambing tempatan iaitu Katjang. Baka Katjang mempunyai ketahanan penyakit yang tinggi dan tahan dengan keadaan iklim Malaysia tetapi menghasilkan pengeluaran daging yang rendah.

 

Penulis: Rafina Syhadilla Md. Rafi (2/5/2023)

Date of Input: 16/05/2023 | Updated: 16/05/2023 | hasniah

MEDIA SHARING

CENTRE FOR FOUNDATION STUDIES IN SCIENCE OF UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
SXEXQAp~