Suara manusia ialah bunyi yang dihasilkan oleh getaran pita suara. Bunyi ini terhasil apabila udara dari paru-paru melalui pita suara yang bergetar. Manusia menggunakan suara untuk bercakap, menyanyi, atau mengekspresikan emosi. Gerak kerja penghasilan suara melibatkan gabungan empat sistem yang berbeza, iaitu sistem pernafasan, sistem fonasi, sistem resonansi, dan sistem artikulasi.
Sistem pertama berperanan sebagai sumber tenaga bunyi, yang bermula daripada sistem pernafasan. Suara bermula dengan udara yang dihembus keluar dari paru-paru, dimana ianya adalah sumber tenaga bagi penghasilan suara. Diafragma dan otot interkostal adalah di dalam keadaan rehat, semasa udara ditolak keluar semasa pernafasan.
Seterusnya, sumber tenaga bunyi iaitu udara akan melalui pita suara. Keadaan pita suara berubah mengikut situasi, samaada sedang bernafas (mendiamkan diri), atau sedang bercakap. Ketika bernafas, pita suara akan terbuka luas menyebabkan udara masuk ke ruang dada. Ketika menghembus nafas pula, pita suara akan tertutup rapat. Walaupun pita sedang tertutup, namun ianya boleh bergetar apabila menerima udara. Oleh itu, getaran ini adalah peringkat penghasilan bunyi asas sahaja, dimana bunyi ini memerlukan langkah seterusnya supaya ianya menjadi suara manusia dan bukan sekadar bunyi sahaja.
Bunyi asas daripada kotak suara memerlukan bantuan daripada sistem seterusnya, iaity sistem resonansi. Sistem ini berperanan untuk menguatkan dan mengubah bunyi asas menjadi suara manusia dengan kualiti tertentu, dimana sistem ini melibatkan faring, mulut, dan rongga hidung.
Akhirnya, penyampaian suara dibantu dan diperkemaskan oleh sistem artikulasi, iaitu lidah, bibir, gigi, dan lelangit. Penghasilan suara yang melibatkan bunyi konsonan, vokal, dan jenis bunyi lain adalah hasil peranan sistem artikulasi, dimana jenis bunyi ini dihasilkan dengan memanipulasikan aliran udara di dalam sistem ini. Tanpa sistem artikulasi, kita tidak mampu membezakan samada suara itu mempunyai elemen vokal, konsonan, dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, keempat-empat sistem ini diselia oleh sistem saraf pusat yang terdiri daripada otak dan saraf kranial. Fungsi otak adalah sebagai pusat kawalan yang merancang, menyelaras, dan mengawal semua otot yang terlibat dalam penghasilan suara dan ucapan yang berkesan. Seterusnya, saraf kranial pula berfungsi sebagai medium komunikasi antara otak dan otot yang menghasilkan suara.
Keadaan pita suara semasa manusia bersuara boleh difahami dengan melihat kepada situasi berikut:
a) Tidak bercakap: Pita suara terbuka sepenuhnya untuk menyedut udara
b) Bercakap dengan nada rendah: Pita suara merapat dan wujud sedikit regangan.
c) Bercakap dengan nada tinggi: Regangan bertambah dan pita suara tertutup, berbanding situasi suara bernada rendah.
d) Bercakap dengan nada yang sangat tinggi: Sekiranya manusia cuba melontarkan suara melebihi had maksimum, pita suara akan tertutup sangat rapat dan tiada lagi suara dapat dilontarkan.
“Rajah 1: Keadaan pita suara (vocal fold) yang terbuka, dan cenderung untuk tertutup apabila bersuara. Daripada "Anatomy of the larynx, trachea and bronchi," oleh E. Burdett & V. Mitchell, 2011, Anaesthesia & Intensive Care Medicine, 12(8), hlm. 335-339. Hak cipta 2011 oleh Elsevier."
Rujukan:
1. http://www.voicescienceworks.org/inside-the-larynx.html
2. https://belajarvokal.wordpress.com/2014/07/18/komponen-2-suara/
3. Burdett, E., & Mitchell, V. (2011). Anatomy of the larynx, trachea and bronchi. Anaesthesia & Intensive Care Medicine, 12(8), 335-339.
Penulis:
DR. SITI SUZILLIANA PUTRI BINTI MOHAMED ISA
Date of Input: 31/01/2025 | Updated: 01/02/2025 | emma
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor
Hotline : 011-39659550