ASPER HEAD START PROGRAM TRANSISI DARI SEKOLAH KE KAMPUS | CENTRE FOR FOUNDATION STUDIES IN SCIENCE OF UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» NEWS » ASPER HEAD START PROGRAM TRANSISI DARI SEKOLAH KE KAMPUS

ASPER HEAD START PROGRAM TRANSISI DARI SEKOLAH KE KAMPUS

ASPER HEAD START PROGRAM TRANSISI DARI SEKOLAH KE KAMPUS

Pelajar baharu Asasi Sains Pertanian sesi 2022/2023 merupakan kelompok ASPer 18 yang telah mendaftar di Kolej 13, UPM pada 30 dan 31 Julai 2022 dan seterusnya akan menjalani program orientasi Minggu Putra Perkasa secara hibrid bermula dari 31 Julai sehingga 6 Ogos 2022.

Buat pertama kalinya pelajar baharu Asasi Sains Pertanian sesi 2022/2023 menjejakkan kaki ke Pusat Asasi Sains Pertanian adalah menerusi kehadiran mereka di ASPer Head Start. Program ASPer Head Start ini mula diperkenalkan sejak tahun 2015 dan saban tahun pengisian program sentiasa ditambah baik bagi memenuhi keperluan pelajar baharu. Program ini merupakan satu program transisi kepada pelajar baharu untuk lebih mengenali UPM dan Program Asasi Sains Pertanian agar proses adaptasi diri dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan teratur.

ASPer Head Start 2022 ini telah diadakan pada 1 Ogos 2022 bertempat di Kompleks Akademik E dan dikendalikan sepenuhnya oleh Penasihat Akademik yang dilantik sebagai Fasilitator. Setiap pelajar baharu telah dipecahkan kepada 20 kumpulan kuliah dan setiap pelajar diberikan Penasihat Akademik bagi membantu mereka sepanjang mengikut program Asasi Sains Pertanian selama 2 semeter iaitu setahun pengajian.

Pengisian ASPer Head Start 2022 dimulakan dengan sesi Ice Breaking sebagai satu asas permulaan untuk membentuk ukhwah yang pastinya bagi mewujudkan satu suasana santai dan lebih mesra di kalangan ahli kumpulan. Menerusi sesi Ice Breaking ini, pastinya memberikan peluang kepada pelajar ASPer 18 untuk saling berkenalan di antara satu sama lain dalam suasana yang menyeronokkan. Susulan dari itu, Fasilitator akan meneruskan program dengan slot 1 yang dinamakan Smart ASPer yang memberikan penekanan kepada topik pertama iaitu proses Adaptasi Diri iaitu bagaimana pelajar baharu menyesuaikan diri dengan cepat di UPM. Menerusi slot ini, Fasilitator akan membantu memberikan panduan dari segi pengurusan masa, pengurusan diri dan kepentingan komunikasi iaitu kunci kepada penyelesaian masa. Topik kedua yang diberi penekanan ialah Peranan Pelajar dimana pentingnya untuk pelajar memahami segala kelakuan mereka di UPM adalah menjadi tanggungjawab mereka sendiri. Menerusi topik ini, Fasilitator telah memfokuskan kepada pentingnya adab sebagai pelajar, adab kepada pengajar, cara komunikasi yang berhemah serta keperluan mengenali staf dan pengajar di Pusat Asasi Sains Pertanian. Seterusnya, menerusi topik ketiga melibatkan Etika dan Peraturan yang memfokuskan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti Perlembangaan Universiti Putra Malaysia (Kaaedah-Kaedah Universiti Putra Malaysia [Perkara Akademik Asasi] 20210, etika dan penampilan pelajar serta memberikan penekanan kepada pelajar agar tidak terlibat dengan aktiviti luar yang boleh menjejaskan nama baik Pusat Asasi Sains Pertanian dan Universiti Putra Malaysia.

Gambar 1: Dr. Nadiatul Hafiza binti Hasan salah seorang fasilitator sedang menyampaikan informasi modul-modul ASPer Head Start bersama kumpulan kuliah 1 Asasi Sains Pertanian sesi 2022/2023

 

Slot II ASPer Head Start diberi tajuk ASPer the Right Choice dengan pengisian dua topik iaitu We Love ASPer dan Topik Akademik. Pengisian topik ini menjurus kepada pendedahan kaedah pembelajaran di ASPer agar pelajar boleh merancang dengan baik seawal hari pertama bagaimana untuk terus merencana kecemerlangan di ASPer. Selain itu, Fasilitator turut menekankan rasa sayangkan UPM dan menanam rasa syukur dalam kalangan pelajar kerana terpilih mengikut program Asasi di Universiti Awam dari ribuan pelajar yang memohon.

Slot ASPer Head Start ini dikendalikan secara santai menerusi kepelbagaian aktiviti dalam kumpulan mengikut kreativiti setiap Fasilitator. Berdasarkan maklum balas program 98.3% pelajar menyatakan “Pemahaman dan pengetahuan pelajar tentang Asasi Sains Pertanian meningkat berbanding sebelum mengikuti program”.  Hasrat Pusat Asasi Sains Pertanian agar Head Start 2022 ini dapat membantu pelajar menjalani fasa transisi dari pembelajaran alam persekolahan kepada alam kampus dan sekaligus kegemilangan dan kejayaan yang ditempa sewaktu SPM diteruskan dan pelajar ASPer 18 menamatkan program Asasi Sains Pertanian dengan penuh kejayaan.

Sisipan sewaktu Program ASPer Head Start 2022 turut diadakan Sesi Taklimat Putra VID, Sesi Taklimat Pendaftaran Kursus, Sesi Taklimat Khas khusus untuk Pelajar Antarabangsa dan Pelajar Kemasukan ASPer menerusi Young Talent Development Programme MARA dan diakhiri dengan sesi lawatan di sekitar Pusat Asasi Sains Pertanian dengan bantuan petugas Minggu Putra Perkasa sesi 2022/2023.

 

Gambar 2: Aktiviti berkumpulan secara santai dilaksanakan mengikut kreativiti fasilitator oleh Pn. Noor Ashira binti Yusran dan Dr. Siti Suziliana Putri bersama kumpulan kuliah 2 Asasi Sains Pertanian sesi 2022/2023.

 

 

 

Oleh:

Che Zailawati binti Abdul Ghani

 

 

Date of Input: 16/08/2022 | Updated: 17/08/2022 | hasniah

MEDIA SHARING

CENTRE FOR FOUNDATION STUDIES IN SCIENCE OF UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
SXEbRAC~