
15 Mei 2024 – Program ASPutra Physics Exhibition 2024 (APEx2024) anjuran Kelab Fizik ASPutra (ASICS) dengan kerjasama unit Fizik, Pusat Asasi Sains Universiti Putra Malaysia telah diadakan. Penganjuran APEx2024 adalah usaha untuk memberikan impak yang tinggi dalam budaya penciptaan, inovasi dan kreativiti dalam bidang fizik terutama dalam kalangan pelajar ASPutra sejajar dengan transformasi pendidikan kebangsaan yang kini memberi tumpuan kepada kepentingan pendidikan dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi melahirkan modal insan yang sangat mahir dan inovatif. APEx merupakan platform bagi pelajar untuk menyalurkan buah fikiran baharu yang cemerlang berkaitan dengan sains fizikal terutamanya dalam konsep mekanik, gelombang, terma, elektrik dan elektromagnet serta untuk menunjukkan ciptaan kreativiti mereka.
Program ini dibuka kepada 20 kumpulan kuliah pelajar ASPer 19 dengan 1 penyertaan dari setiap kuliah. Bilangan peserta dalam setiap kumpulan adalah tidak melebihi 6 orang termasuk mentor. Program ini telah berlangsung pada jam 2.30 petang hingga 4.30 petang di Makmal Fizik 1&2, Bangunan Asasi 4.
Pertandingan ini telah dijurikan oleh timbalan pengarah 1 ASPutra, Prof. Madya Dr. Noor Azmi Shaharuddin, seorang pengajar unit Kimia, En. Zikry Hamizan Md Zakri, tujuh orang pensyarah dari Fakulti Sains UPM, Prof. Madya Dr. Muhammad Khalis Abdul Karim, Dr. Nizam Tamchek, Dr. Nor Kamilah Sa'at, Dr. Mazliana Ahmad Kamarudin, Dr. Nur Biha Mohamed Nafis, Dr. Tan Sin Tee, dan Dr. Josephine Ying Chyi Liew, dan seorang guru dari SMK Tunku Kurshiah, Pn. Siti Nor Azidah Azman.
Tiga pemenang utama (tempa pertama, tempat kedua dan tempat ketiga) dan tujuh pemenang saguhati telah diumumkan pada penhujung program. Prof. Madya Dr. Noor Azmi Shaharuddin telah menyempurnakan penutupan program sekaligus menyampaikan hadiah kepada 3 pemenang utama.



Keputusan Rasmi:
Tempat Pertama: Magnergy Steps
Tempat Kedua: Noise Sensitive Light
Tempat Ketiga: Mini Tesla Towerkit
Saguhati:
- I-BARN
- Barrier Buster
- SAHARA: Autosensor Light
- Ping Pong Chop N' Catch
- Fingerprint Lock
- FlowGen (Water Wheel Hydroelectric Generator)

Sesi bergambar bersama pengurusan ASPutra, AJK program dan para pelajar.
Tahniah diucapkan kepada semua pemenang dan jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak pengurusan Pusat Asasi Sains Universiti Putra Malaysia, ahli jawatankuasa APEx2024, juri jemputan, tetamu jemputan daripada SMK Seri Serdang dan hadirin yang telah hadir menjayakan dan memeriahkan program ini.
Disediakan oleh,
Nur Ain Asyiqin Anas dan Noor Wahidah Zainol Jamil
Penyelaras Program ASPutra Physics Exhibition 2024 (APEx2024)
Date of Input: 17/05/2024 | Updated: 17/05/2024 | hasniah

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor