SERDANG, 11 Mei – Dalam dunia yang menghadapi cabaran seperti perubahan iklim dan krisis makanan, pemahaman tentang pertanian adalah kunci untuk mengatasi cabaran ini. Sektor pertanian juga sangat penting dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi kerana sektor ini secara langsung boleh memberi kesan kepada sektor-sektor yang lain.
Oleh hal yang demikian, Pusat Asasi Sains Universiti Putra Malaysia (ASPutra), dengan kerjasama Southeast Asian Regional Center for Graduate Study and Research in Agriculture (SEARCA) telah melaksanakan program ‘Sowing Seeds: Cultivating Youth’s Future in Argiculture’ sebagai usaha menarik minat para pelajar untuk memahami dan mempelajari bidang pertanian, di sini, semalam. Program yang telah dihadiri oleh 40 orang pelajar Program Asasi Sains Pertanian (ASPer 19) dan 10 orang tenaga pengajar ASPutra telah bermula pada jam 3.00 petang dan berakhir pada jam 5.00 petang.
Pengarah ASPutra, Prof. Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah berkata program bersama SEARCA, merangsang minat pelajar terhadap potensi serta cabaran yang ada dalam industri pertanian. Secara tidak langsung program ini memberi perspektif dan pengalaman baharu dalam bidang pertanian dan mewujudkan rangkaian industri antarabangsa kepada para pelajar ASPutra yang akan menyambung pengajian ke peringkat bacelor di UPM.
"Pertanian menjamin keterjaminan makanan. UPM juga komited untuk memacu kecemerlangan dalam bidang pertanian untuk membantu kerajaan menangani bersama isu keterjaminan makanan dan kenaikan harga makanan yang sedang dihadapi,” katanya.
Timbalan Pengarah program SEARCA, Prof. Madya. Ts. Dr. Nur Azura Adam, berkata program ini memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai pelbagai peluang kerjaya yang ada di dalam bidang pertanian. Melalui pengetahuan pelajar ASPutra tentang sistem pertanian, pada masa hadapan mereka boleh menyumbang kepada pembangunan teknologi dan amalan pertanian yang lebih efisien, lestari, dan tahan bencana. Hal ini termasuk penggunaan teknologi maklumat untuk meramalkan cuaca, teknik pertanian yang lebih efisien dari segi penggunaan air dan tenaga, dan pembangunan varieti tanaman yang tahan kejadian cuaca ekstrem.
Prof. Madya. Ts. Dr. Nur Azura berkata pelajar yang terlatih dalam bidang pertanian dapat menyumbang kepada pertumbuhan dan kelestarian sektor pertanian negara. “Ini penting untuk membantu pelajar membuat keputusan yang lebih baik dalam memilih kerjaya dan memperluaskan wawasan mereka mengenai industri pertanian. Pelajar juga didedahkan untuk mencari penyelesaian kreatif terhadap cabaran-cabaran dalam industri pertanian. Banyak cabang pertanian yang boleh disertai oleh pelajar seperti perniagaan tani, teknologi pertanian dalam kecerdasan buatan (AI), saintis pertanian bahkan pembelajaran sains haiwan seperti sains serangga (entomologi) juga merupakan salah satu skop bidang pertanian.” katanya.
Salah satu keutamaan semasa SEARCA adalah untuk meningkatkan usaha dalam mempromosikan pertanian dalam kalangan belia Asia Tenggara dan menjadikannya sebagai peluang kerjaya yang berdaya maju.
Hadir sama di majlis ialah Prof. Madya Dr. Noor Azmi Shaharuddin; Timbalan Pengarah I ASPutra, Dr. Muhammad Alif Mohammad Latif; Timbalan Pengarah II ASPutra, Pn. Shaerin Azlin Ab Rahman; Penolong Pendaftar Kanan ASPutra dan wakil SEARCA yang terdiri daripada Pn. Loise Ann Carandang; Pegawai Kanan Komunikasi, Pn. Sharon Malaiba; Ketua Unit Jaringan, Pn. Leah Lyn D. Domingo; Pakar Perhubungan Awam dan Pn. Corinta C. Guerta; Penasihat Teknikal.
![]() |
![]() |
Date of Input: 06/06/2024 | Updated: 06/06/2024 | hasniah
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor
Hotline : 011-39659550